Peranan masjid sangat penting perkasa umat Islam; asatizah tempatan perlu terus disokong untuk bimbing masyarakat

(Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)
SINGAPURA: Masjid-masjid di Singapura memainkan peranan yang sangat penting dalam menyokong program-program dan inisiatif-inisiatif yang mempertingkatkan usaha untuk memperkasa masyarakat.
Ini di samping memenuhi keperluan rohani umat Islam di Singapura.
Dalam catatan Facebooknya pada Selasa (22 Feb), Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli turut mendedahkan bahawa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan masjid-masjid setempat saling bekerja rapat untuk menyesuaikan program-program yang dianjurkan supaya sokongan dan perkhidmatan yang disediakan kepada masyarakat dapat berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
Menurut Encik Masagos, bimbingan asatizah amat diperlukan oleh masyarakat Islam terutamanya sewaktu mengharungi "masa-masa yang mencabar lagi mengelirukan ini."
Sehubungan itu, Encik Masagos mengalu-alukan sokongan pihak masjid dalam pembangunan asatizah menerusi program-program yang bermatlamat untuk meningkatkan kemahiran mereka membimbing masyarakat.
"Program Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) yang kini diikuti graduan pengajian Islam dari luar negara bertujuan untuk memupuk golongan asatizah profesional yang berkeyakinan dan mahir dalam membimbing masyarakat Islam Singapura untuk mengharungi persekitaran dunia moden yang rencam, penuh cabaran dan kepelbagaian," ungkap Encik Masagos.
Dengan kerjasama antara asatizah dengan para pemimpin masjid, Encik Masagos berharap masyarakat Islam Singapura akan semakin berkeyakinan.
"Mereka adalah nadi masyarakat dan saya berterima kasih atas pengorbanan dan kerja keras mereka dalam memastikan masjid kita terus berdiri teguh, subur dan mesra memenuhi keperluan jemaah walaupun dilanda pelbagai badai," kata Encik Masagos sebelum mengakhiri catatannya itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.