Skip to main content

Singapura

Peranan bahasa Melayu dalam landskap geopolitik dan geoekonomi yang berubah-ubah diutarakan dalam Ceramah Arif Budiman

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Perubahan landskap geopolitik dan geoekonomi mempengaruhi pemikiran dan cara mengendalikan percaturan kuasa.

Di tengah-tengah perubahan itu, peranan bahasa semakin penting dalam mempengaruhi kehidupan masyarakat dan kestabilan politik sebuah negara.

Itulah antara inti pati ucaptama bertajuk "Menyelami Pemikiran dan Jati Diri Masyarakat Melayu Singapura: Cabaran dan Aspirasi" yang disampaikan mantan Setiausaha Parlimen Kanan Encik Yatiman Yusof di sesi ke-20 Ceramah Arif Budiman pada Khamis (25 Jul).

Encik Yatiman menarik perhatian bagaimana bahasa Melayu turut terpengaruh dengan perkembangan ekonomi sejagat serta cabaran untuk mempertahankan penggunaannya.

"Bahasa Melayu kita akan tersepit kerana kalau kita lihat bahasa Inggeris telah berkembang dengan begitu banyak sekali dan ia kini bukan sahaja menukar corak kurikulum di sekolah-sekolah kita tetapi di rumah pun ibu bapa kita mahu anak mereka menguasai bahasa Inggeris dengan baik supaya mereka boleh belajar Matematik, boleh belajar sains dengan lebih tekun dan lebih berhasil.

"Kami dalam keadaan yang agak sukar sekarang kerana pengajaran ekonomi mendesak kita menerima bahasa Inggeris sebagai bahasa perniagaan, bahasa komunikasi dan bahasa kita berurusan dengan orang lain," kata Encik Yatiman kepada wartawan Nurfazirah Azman.

EKONOMI ASIA BERI SAINGAN KEPADA NEGARA BARAT

Beliau menarik perhatian kepada kemunculan ekonomi Asia seperti China, Jepun dan Korea yang memberi saingan hebat kepada negara-negara barat.

Kini, bahasa Jepun dan Korea semakin banyak dipelajari kerana pencapaian mereka melalui dunia hiburan.

China pula dengan keupayaannya dalam membangun infrastruktur, menaikkan taraf hidup rakyatnya dan meningkatkan keupayaan teknologinya kini dilihat sebagai pesaing bagi Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa Barat yang lain.

"Kita telah pun mula melihat banyak anak-anak kita di benua Afrika yang menghantar anak-anak mereka itu ke Beijing untuk belajar bahasa Mandarin kerana pengaruh China di Afrika semakin meluas. Ini sama seperti dalam tahun-tahun 60-an apabila Iran menghantar ribuan anak-anak muda Iran ke Amerika Syarikat untuk belajar bukan sahaja kepandaian Amerika tapi bahasa Inggeris," kongsi Encik Yatiman.

Menurut beliau, antara strategi yang boleh diterapkan untuk memastikan bahasa Melayu terus kekal relevan dan berkembang maju sebagai komponen penting identiti dan warisan budaya adalah untuk melembagakan amalan dan mengutamakan penguasaan lebih dari satu bahasa dalam sistem pembelajaran.

"Formula ini telah ternyata dapat dilaksanakan di Eropah. Orang orang Denmark berbahasa Denmark, berbahasa Inggeris dan berbahasa Perancis. Anak-anak mereka ke sekolah belajar lebih dari satu bahasa dan itu menjadi satu sistem pembelajaran yang diabadikan dalam negara-negara itu.

"Kalau sekiranya amalan dwibahasa itu diperkembangkan dalam kalangan anak-anak kita, generasi akan datang akan tahu apa itu teknologi baharu, akan dapat berenang dalam lautan ekonomi global yang besar dan pada masa yang sama mempunyai jati diri yang tersendiri sebagai orang Melayu. Mereka faham bahasa Melayu dan mereka faham tentang budaya mereka dan ini dapat menolong menjadikan mereka itu manusia yang lebih sempurna," jelas Encik Yatiman.

SIRI CERAMAH ARIF BUDIMAN TERBITKAN BENTUK DIGITAL

Buat julung-julung kalinya juga, jilid kelima buku 'Siri Ceramah Arif Budiman' akan diterbitkan dalam bentuk digital.

Ia akan memaparkan ceramah empat tokoh tempatan yang pernah menyampaikan Ceramah Arif Budiman daripada edisi ke-17 hingga edisi ke-20 tahun ini.

Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS) turut melancarkan dua lagi bahan digital buat rujukan para pendidik di sekolah rendah, menengah dan maktab rendah.

"Bahan penerbitan yang kedua iaitu 'Bicara Budiman Suratman Markasan. Catatan seorang Cendekia'. Kami telah menghasilkan bahan pengajaran dan pembelajaran untuk dijadikan panduan oleh para pendidik kita bukan sahaja di peringkat sekolah rendah tapi juga sekolah menengah dan juga maktab rendah.

"Kami berharap sangat para guru dapat menggunakannya di bilik darjah untuk mengenali dengan lebih mendalam tokoh kita," kata Pengarah MLCS, Cik Norhayati Awang.

Beliau juga berharap dengan perkongsian daripada pakar-pakar melalui ceramah itu, para guru, pelajar dan masyarakat setempat dapat memperluas pengetahuan mereka tentang ilmu-ilmu berkaitan dengan bahasa, sastera, budaya dan juga sejarah bahasa Melayu.

Ceramah yang dijalankan di Pusat Bahasa Melayu di Bishan itu dihadiri lebih 90 peserta.

Ini juga kali pertama para pelajar dijemput kembali untuk menghadiri sesi ceramah itu selepas ia dihentikan pada tahun-tahun sebelumnya ekoran COVID-19.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita