Peranan asatizah diperluas untuk juga tangani kes penderaan, keganasan keluarga yang meningkat
Dengan bilangan kes penderaan kanak-kanak yang disiasat mencecah 1,200 tahun lalu - iaitu naik 50 peratus berbanding purata 800 kes sepanjang lima tahun lalu - satu langkah baru kini diambil agar golongan asatizah juga memainkan peranan lebih aktif untuk membantu menangani keganasan dalam keluarga.
SINGAPURA: Dengan bilangan kes penderaan kanak-kanak yang disiasat mencecah 1,200 tahun lalu - iaitu naik 50 peratus berbanding purata 800 kes sepanjang lima tahun lalu - satu langkah baru kini diambil agar golongan asatizah juga memainkan peranan lebih aktif untuk membantu menangani keganasan dalam keluarga.
Latihan Kesedaran Keganasan Keluarga kini dijadikan sebahagian daripada latihan yang diberikan kepada para asatizah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS). Mereka akan dilatih mengenal pasti pelbagai bentuk keganasan keluarga dan simptom-simptom keganasan keluarga.
Latihan tersebut dikendalikan Kementerian Sosial dan Keluarga (MSF) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), dan berjalan mulai bulan ini (Julai) hingga Disember.
Demikian diumumkan oleh Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) merangkap Kementerian Pendidikan (MOE), Dr Muhammad Faishal Ibrahim, di Majlis Latihan Kesedaran Keganasan Keluarga, hari ini (19 Jul).
KES PENDERAAN KANAK-KANAK MENINGKAT 50 PERATUS PADA TAHUN LALU
Dalam ucapannya di majlis itu, Dr Faishal menekankan betapa masalah keganasan merupakan satu 'wabak' dan 'gejala' yang perlu ditangani oleh anggota masyarakat.
Ini setelah melihat kepada jumlah mereka yang mendaftarkan diri untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Peribadi (PPO) setiap tahun. Menurut Dr Faishal, jumlah tersebut secara purata merangkumi 3,000 orang.
Keganasan keluarga yang diberi perhatian oleh pihak MSF meliputi golongan yang tidak mampu untuk melindungi diri mereka daripada didera atau mereka yang terabai. Mereka termasuk golongan kanak-kanak, serta golongan dewasa yang berusia 18 tahun ke atas dan mengalami kecacatan mental atau fizikal.
Melihat kepada kes penderaan terhadap kedua-dua golongan tersebut, kes kanak-kanak yang didera lebih membimbangkan. Ini memandangkan adanya peningkatan ketara jumlah penderaan terhadap golongan tersebut pada tahun lalu.
Menurut Dr Faishal, perangkaan menunjukkan kes penderaan kanak-kanak meningkat daripada 800 kes secara purata dalam tempoh lima tahun, kepada 1,200 kes pada tahun lalu. Jelas, suatu lonjakan besar 50 peratus.
Malah lebih membimbangkan, hampir 90% pelaku dalam kes penderaan kanak-kanak yang disiasat oleh MSF berpunca daripada ahli keluarga membabitkan ibu bapa atau ibu bapa tiri.
Kes yang sama juga dilihat kepada golongan dewasa yang terdedah kepada penderaan. Kira-kira 80% pelakunya adalah anggota keluarga mangsa, termasuk anak dewasa, ibu bapa dan suami isteri.
Namun jumlah kes golongan dewasa yang terdedah kepada pengganasan lebih rendah berbanding golongan kanak-kanak. Dari tahun 2015 hingga 2017, MSF mengendalikan secara purata 110 kes setiap tahun yang melibatkan orang dewasa yang terdedah kepada penderaan dan pengabaian.
ELAKKAN SIFAT 'USAH JAGA TEPI KAIN ORANG'
Bertolak daripada keperluan dan kepentingan ini, Dr Faishal melahirkan rasa gembira bahawa ARS memutuskan untuk menyertai “usaha-usaha kolektif bagi menghentikan lingkaran keganasan dalam keluarga” dan akan dapat “mengambil langkah-langkah pencegahan dan proaktif untuk menghentikan keganasan keluarga” daripada berleluasa dalam masyarakat.
Malah, masyarakat harus mengetepikan sifat 'usah jaga tepi kain orang', katanya. Sikap tersebut menggusarkan beliau, kata Dr Faishal. Sebaliknya sudah tiba masanya untuk anggota masyarakat “berani masuk campur” dan menggembleng tenaga bersama-sama untuk menangani masalah ini seru Dr Faishal.
"Keganasan keluarga bukan soal privet; semua orang ada tanggungjawab untuk menghentikan keganasan keluarga,” tegas beliau sambil menambah bahawa “sebagai asatizah, anda memainkan peranan penting dalam memberikan bimbingan kerohanian dan moral kepada masyarakat Muslim.”
Setakat ini menurut Dr Faishal, MUIS dan masjid-masjid tempatan sudah melatih seramai 135 orang pendamping.
Peluasan peranan asatizah menjangkaui bidang tradisional juga sejajar dengan apa yang diumumkan oleh Dr Maliki Osman baru-baru ini, di bawah Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA) untuk meningkatkan set kemahiran asatizah, sesuai dengan cabaran masyarakat hari ini.
ASATIZAH SAMBUT BAIK
Rata-ratanya asatizah menyambut baik inisiatif tersebut.
Memberikan reaksinya, Ustaz Hafiz Kusairi berkata beliau mengalu-alukan inisitif tersebut.
"Kebiasaannya apabila masyarakat melihat dalam masalah keganasan rumah tangga ini sendiri, masyarakat tak dapat bezakan bahawa masalah keganasan rumahtangga ini juga merupakan masalah rumahtangga.
"Jadi kalau dikatakan masalah rumahtangga dalam fahaman tradisional kita pula, kita biasa menganggap ia berkait dengan kurang faham tentang agama, jadi skop, dimensi sangat terbatas, tapi kita meletakkan keganasan rumah tangga dengan pelbagai pengaruh dan faktor-faktor yang lain, maka masyarakat akan lebih tahu bahawa ini perkara bukan hanya terbatas kepada urusan agama semata-mata tapi boleh berlaku kepada orang yang mengamalkan agama," kongsinya.
Anggota Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB), Ustaz Ziyaudeen Ahmad Sirajuddeen pula berkata usaha tersebut akan melengkapkan asatizah muda hari ini dengan kemahiran baru.
"Ramai daripada kalangan asatizah yang ada sekarang ialah daripada kalangan yang muda-muda, jadi saya percaya, mereka dari segi persiapan untuk perkara ini dan juga pengalaman mereka sendiri masih kurang.
"Saya rasa kalau diberikan mereka kursus-kursus berkenaan, dan latihan 'hands-on', maka ia akan memberikan sangat impak kepada sumbangan mereka kepada masyarakat," kongsinya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.