Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peranan aktif Dr Faishal & isteri sebagai ibu bapa jadi tangga kejayaan anak

Seperti pasangan lain, beliau dan isteri, Cik Hayati Haron, juga berdepan dengan cabaran sebagai ibu bapa. Kedua-duanya perlu mencari cara untuk terus mendampingi anak-anak mereka meskipun sibuk dengan kerjaya masing-masing. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ramai yang mengenalinya sebagai sosok yang menggalas tanggungjawab dalam sektor perkhidmatan awam. Namun, Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, juga seorang bapa kepada dua orang anak - Naqea Nabilah dan Muhammad Dhafer.

Seperti pasangan lain, beliau dan isteri, Cik Hayati Haron, juga berdepan dengan cabaran sebagai ibu bapa. Kedua-duanya perlu mencari cara untuk terus mendampingi anak-anak mereka meskipun sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Semua itu bagaimanapun tidak sekali-kali menjadi hambatan untuk terus mencurahkan kasih sayang kepada dua pelita kehidupan mereka. Malah, anak bongsu pasangan itu baru-baru ini mencapai kejayaan luar biasa selepas mendapat pengiktirafan besar sebagai penerima biasiswa paling berprestij Singapura - Biasiswa Presiden.

BERITAmediacorp bertemu keluarga empat beranak ini untuk mencungkil rahsia yang menjadi tunjang kejayaan dan keharmonian keluarga mereka.

Ibu bapa menjadi suri tauladan saya kerana mereka mentarbiahkan nilai-nilai untuk menyumbang kepada masyarakat. - Muhd Dhafer

CURI MASA BINA HUBUNGAN KELUARGA

Seperkara yang mungkin ramai tidak tahu tentang Dr Faishal, beliau juga selalu sibuk mencuri masa agar sentiasa ada untuk kedua-dua cahaya matanya.

"Ruang sembang WhatsApp bagi keluarga kami paling aktif dalam telefon bimbit saya," kongsi Anggota Parlimen GRC Nee Soon ini yang begitu menitikberatkan komunikasi dalam keluarga, apatah lagi kerana mereka sukar untuk meluangkan masa bersama.

"Tanggungjawab sebagai seorang bapa sentiasa ada. Ada tanggungjawab memberi kata-kata rangsangan kepada anak, berganding bahu dengan isteri untuk membentuk perwatakan dan menyemai nilai-nilai positif dalam diri mereka."

Namun, yang lebih menyerlah adalah pendekatan Dr Faishal dan isteri yang memilih untuk menjadi rakan karib kepada anak-anak yang sudah memasuki alam remaja.

Anak sulung mereka kini berusia 23 tahun dan sedang menceburi bidang perubatan. Dhafer pula akan melanjutkan pengajiannya di salah satu universiti terulung dunia - Universiti Stanford - selepas meraih gred A bagi kesemua tujuh subjek yang didudukinya semasa di Raffles Institution bagi Peperiksaan GCE Peringkat 'A'.

"Kami rasa pendekatan ini membolehkan anak-anak bersikap terbuka dan berkongsi apa sahaja masalah yang dihadapi selain mengekspresikan diri," kata Cik Hayati.

Bukan itu sahaja, setiap kali Cik Hayati dan Dr Faishal mempunyai masa bersama keluarga, mereka akan memanfaatkan masa itu dengan sebaik-baiknya.

NILAI TANGGUNGJAWAB PALING PENTING BAGI SAYA - DR FAISHAL

Bagi Dr Faishal, pelibatan dalam bidang politik membuka matanya kepada banyak perkara dan beliau menjadikan pengalaman dalam kehidupan sehariannya sebagai iktibar untuk keluarga.

Nilai-nilai yang dianggap penting pula terus-menerus diterapkan dalam diri anak-anaknya.

"Nilai tanggungjawab paling penting sekali. Seperti di Kementerian Pendidikan, kita inginkan generasi muda dengan sikap-sikap terpuji dan bersedia untuk berbakti kepada masyarakat," jelas Dr Faishal.

"Saya juga selalu mengingatkan anak-anak saya bahawa setiap cabaran boleh menjadi peluang mempelajari perkara baru."

Ciri-ciri inilah yang menyerlahkan Muhammad Dhafer sehingga melayakkannya menjadi penerima Biasiswa Presiden.

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) menilai keupayaan seseorang menceburi kerjaya dalam sektor awam secara holistik berdasarkan pelbagai kriteria, termasuk perwatakan dan iltizam mempertingkat mutu kehidupan rakyat Singapura.

Setiap penerima terlebih dahulu perlu menjalani beberapa pusingan penilaian bagi menentukan kebolehan mereka - antaranya termasuk daya kepimpinan yang cemerlang.

"Pencapaian Dhafer satu pencapaian memberangsangkan tetapi ia masih satu perjalanan baginya. Begitu juga dengan kanak-kanak lain.

"Singapura kecil. Setiap kejayaan bermakna. Mereka yang membina masa depan Singapura," ujar Dr Faishal.

FORMULA RAHSIA ANAK-ANAK CEMERLANG

Ditanya pula tentang rahsia kejayaan kedua-dua anak mereka, jelas Dr Faishal dan isteri sepakat dalam memupuk budaya membaca sejak anak-anak mereka kecil lagi.

"Saya sering membawa mereka ke perpustakaan di kawasan kejiranan dan saya membiarkan mereka memilih apa sahaja yang ingin dibaca," kata Cik Hayati.

"Saya masih ingat lagi mereka lari di perpustakaan. Dhafer akan pergi ke seksyen kegemarannya dan membaca peta atau meneroka hal ehwal semasa," tambah Dr Faishal sambil mengimbas zaman semasa dua anaknya masih kecil.

"Kami hidup secara sederhana, memanfaatkan segala prasana yang ada yang di sekitar kami. Bawa mereka ke perpustakaan juga 'murah'. Tidak perlu beli buku," seloroh Dr Faishal.

Budaya membaca yang dipupuk sejak anak-anak masih kecil lagi kini pula menjadi satu kelaziman bagi Naqea dan Dhafer. Mereka akan secara 'automatik' membaca apa sahaja bahan bacaan yang menarik perhatian mereka - sekali gus menimba pengetahuan luas.

Cik Hayati dan Dr Faishal turut memberi kebebasan kepada Naqea dan Dhafer untuk memilih bidang yang ingin diceburi. Namun, setiap langkah kehidupan yang diambil selalu dibincangkan secara bersama.

JADI IBU BAPA BAIK SATU PROSES BERTERUSAN

Dalam wawancara bersama BERITAmediacorp, Dr Faishal dan isteri menegaskan bahawa mereka juga seperti ibu bapa lain.

"Kita pun sebagai keluarga tidak sempurna. Kita menghadapi cabaran dan kita pun biasa seperti keluarga yang lain.

"Tapi satu aspek yang penting adalah bagaimana kita memberikan laluan kepada mereka, berikan sokongan," kata Dr Faishal.

Malah, beliau percaya ibu bapa perlu bersikap terbuka dan berkongsi pengalaman antara satu sama lain agar dapat memainkan peranan dengan lebih baik dalam membesarkan anak-anak.

Cik Hayati turut berkongsi, cara ibu bapa mendekati anak-anak perlulah disesuaikan mengikut tahap perkembangan mereka. Bagi dirinya, perkongsian tentang asam garam hidup menjadi antara cara beliau memastikan Naqea dan Dhafer mempunyai rasa empati terhadap masyarakat setempat.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan