Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peralihan kepimpinan barisan Mufti dirancang awal

Sejak peralihan kepimpinan di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) diumumkan minggu lalu, mungkin terdetik pelbagai persoalan timbul di hati sebilangan anggota masyarakat mengenai Mufti Negara sekarang, Ustaz Dr Fatris Bakaram. Ini jawapan Dr Fatris...

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak peralihan kepimpinan di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) diumumkan minggu lalu, mungkin terdetik pelbagai persoalan di hati sebilangan anggota masyarakat mengenai Mufti Negara sekarang, Ustaz Dr Fatris Bakaram.

Lebih khusus lagi mungkin ada yang tertanya apakah peranan masyarakat yang akan dimainkan Ustaz Dr Fatris selepas beliau melepaskan jawatannya bulan depan?

Persoalan tersebut dijawab Mufti Fatris dalam satu sesi wawancara dengan media pada Khamis (16 Jan).

Beliau malah mendedahkan bahawa soal peralihan kepimpinan Mufti sebenarnya sudah difikirkan "sebelum" dirinya dilantik sebagai Mufti.

PERALIHAN SUDAH DIRANCANG LEBIH AWAL

Sejurus selepas Dr Fatris diumumkan akan meletak jawatan selaku Mufti Negara dan akan diambil oleh Ustaz Dr Nazirudin Nasir pada 1 Mac nanti, timbul tanda tanya dalam kalangan masyarakat: Mengapa beliau 'bersara' pada usia semuda 49 tahun?

Ustaz Fatris minggu lalu sudahpun menyatakan, ia demi memberi laluan kepada darah baru, dan masanya juga tepat untuk berbuat demikian sekarang.

Mendedahkan lebih banyak perincian hari ini semasa bercakap kepada media dalam berbahasa Inggeris, Dr Fatris berkata isu penggantian kepimpinan mufti sebenarnya sudah dimulakan dalam MUIS sebelum beliau dilantik sebagai Mufti, dan bukan selepas beliau melahirkan hasrat untuk berundur.

"Siapa yang akan menjadi Mufti selepas saya sudah difikirkan sebelum saya dilantik menjadi Mufti. Jadi, apabila tiba masanya, saya melihat kita mempunyai individu-individu yang kita sudah melihat potensi mereka, saya rasa adil untuk saya memberikan tanggungjawab saya dan mempunyai kepercayaan bahawa kita mempunyai seseorang yang boleh memberikan idea-idea baru, yang boleh memberi kesegaran kepada jawatan di dalam pejabat," kata Dr Fatris.

Ustaz Dr Fatris Bakaram (Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

Ustaz Dr Fatris Bakaram (Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

Beliau berkongsi bahawa langkah-langkah sudah tersusun rapi sebelum ini untuk memastikan individu-individu berpotensi dibangunkan keupayaan mereka, sebagai sebahagian rancangan peralihan kepimpinan di MUIS.

"Sebagai contoh, saya dihantar bagi menjalani program PhD. Tidak lama kemudian, Ustaz Nazirudin pula melanjutkan pengajian sarjana di London dan kemudiannya ke peringkat PhD di Oxford, dan terdapat beberapa lagi pegawai yang ditaja dan diberi biasiswa - sebenarnya ini semua sebahagian rancangan pembaharuan kepimpinan," kata Dr Fatris kepada para wartawan.

KEPIMPINAN "KOLEKTIF", MANFAATKAN PENGALAMAN

Beliau juga mendedahkan berasa gembira apabila pihak pengurusan Muis dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli bersetuju bahawa jawatan Mufti akan seterusnya dipimpin secara "kolektif", bukan oleh "seorang Mufti" sahaja.

Lantaran itulah dua Timbalan Mufti dilantik dan beliau menekankan bahawa Timbalan Mufti bukan secara automatik akan dilantik sebagai Mufti nanti, tetapi demi memberi sokongan dan kemantapan kepada Mufti seterusnya.

(Gambar: MUIS)

(Dari kiri) Ustaz Dr Hannan Hassan, Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir dan Ustaz Mohd Murat Md Aris. (Gambar: MUIS) (Gambar: MUIS)

"Ada yang bertanya, jika disebut tentang pembaharuan kepimpinan, mengapa dua Timbalan Mufti lebih berusia berbanding saya. Namun pada saya, peranan Timbalan Mufti tidak semestinya secara automatik dilantik sebagai Mufti baru. Ia bagi memberi sokongan, memberi kestabilan dan mengukuhkan (kepimpinan) Mufti dengan pengalaman mereka yang bertahun-tahun lamanya," jelas Ustaz Dr Fatris.

Beliau menekankan lagi: "Inilah yang diperlukan, memandangkan cabaran baru, jangkaan baru dan keperluan masyarakat serta negara berhubung isu-isu agama dan nasional."

RANCANGAN SETERUSNYA BUAT DR FATRIS?

Dr Fatris juga menjawab soalan berhubung peranan masyarakat yang akan dimainkannya selepas melepaskan jawatan nanti.

Beliau menggariskan tiga rancangan utamanya untuk kekal aktif dan terus berkhidmat.

Pertama, beliau akan kembali mengajar kelas-kelas agama di beberapa masjid sebagaimana yang dilakukannya sebelum menjadi Mufti.

(Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

"Minat saya sejak dahulu adalah mengajar. Saya dahulu banyak mengadakan kelas di beberapa masjid sebelum dilantik sebagai menjadi Mufti dan saya benar-benar menikmati setiap saat diberi peluang mendampingi masyarakat," kongsi Mufti Negara. "Saya mahu memulakan itu lagi dan saya mahu berinteraksi lebih banyak lagi dengan masyarakat. "

Kedua, beliau mahu terus meningkatkan pembangunan syariah Islam di negara ini dari segi fatwa.

Lantaran itu Ustaz Dr Fatris akan terus duduk dalam Jawatankuasa Fatwa.

"Saya merasa bangga dengan kebolehan dan kejayaan kita dalam menyemak dan mempertimbangkan fatwa, sehingga kita menyemak fatwa-fatwa lama supaya ia seiring dengan keperluan masyarakat," kata beliau.

Ketiga, beliau yang kini Pengerusi Jawatankuasa Panduan Quran di bawah Lembaga MUIS, akan terus memegang tanggungjawab yang sama.  

Sumber : BERITA Mediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan