Peraduan #InstaGeylang beri peluang jurugambar berbilang kaum teroka budaya & masyarakat Melayu di SG
Para pengunjung kini boleh menikmati sebanyak 34 foto menerusi lensa 28 jurugambar di WGS hingga 3 Julai 2023.
Gambar-gambar itu terpilih daripada hampir 1,000 penyertaan bagi edisi kedua peraduan fotografi, #Instageylang, yang dikelolakan atas usaha sama Wisma Geylang Serai dan Kamal Arts.
Antara syarat peraduan itu, para peserta harus memetik gambar di kawasan Jalur Budaya Geylang Serai seperti Haig Road, Pasar Geylang Serai, Tanjong Katong Complex dan Wisma Geylang Serai sewaktu bulan Ramadan.
Gambar-gambar itu kemudian dinilai oleh panel juri yang terdiri daripada para jurugambar profesional seperti Encik Luke Bartholomew Tan dan Encik Dino Hafian.
PELANCARAN PAMERAN INSTAGEYLANG
Datuk Bandar CDC Tenggara, Encik Fahmi Aliman yang melancarkan pameran itu, melahirkan keterujaan beliau dengan sambutan yang sangat memberangsangkan sepanjang dua edisi peraduan itu dianjurkan.
"Ini merupakan kali kedua kami membuat pertandingan #InstaGeylang dan saya gembira kerana banyak yang telah menyumbang agak-agak dalam rangka 2,500 gambar yang telah disumbangkan untuk InstaGeylang ini."
"Para juri yang memilih gambar-gambar ini pun mendapat kesukaran memilih satu pemenang tapi Alhamdulillah kita dapat lihat pada hari ini dan malam ini, ada lagi banyak gambar yang berkualiti yang boleh dipamerkan untuk masyarakat kita melihatnya," kata Encik Fahmi Aliman.
Beliau juga berharap para pengunjung dapat mengenang semula kemeriahan suasana di Geylang Serai pada bulan Ramadan.
"Saya berharap pengunjung dapat menghargai setiap cerita yang tersirat di sebalik gambar-gambar yang dipamerkan di pameran #InstaGeylang ini," ujar beliau.
AMBIL ILHAM DARIPADA MAKNA BULAN RAMADAN
Foto berilhamkan tema 'Raya Gemilang' Geylang Serai dan makna di sebalik bulan Ramadan oleh Encik Cheah Kin Wai berjaya menambat hati juri dan dinobatkan sebagai juara peraduan #InstaGeylang kali ini.
Beliau membawa pulang wang tunai S$1,000.
"Saya mengambil gambar ini kerana saya rasa gambar ini sangat bermakna. Dalam bulan Ramadan, derma yang diberikan kepada mereka yang memerlukan lebih bermakna berbanding fotografi kreatif. Jadi inilah saat terbaik untuk peraduan ini," kongsi Encik Cheah.
Beliau berharap peraduan ini dapat diteruskan sebagai sumber motivasi dan platform bagi para jurugambar lain untuk berkongsi dan menyumbang karya-karya mereka buat masyarakat.
"Saya rasa ia adalah contoh yang baik dan motivasi buat semua jurugambar kerana selama ini kami belum diberi peluang untuk berkumpul dan melihat gambar-gambar pemenang lain. Dengan peraduan ini, kami dapat memahami dan meneroka pelbagai masyarakat berbilang kaum di Singapura," kata Encik Cheah.
Lagi tiga pemenang hadiah sagu hati terpilih dan masing-masing mendapat S$300.
Orang ramai juga boleh melihat dengan lebih dekat lagi gambar-gambar itu di pameran #InstaGeylang di Kamal Arts Gallery di WGS hingga 3 Julai ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.