Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peraduan 'Baca Berita: Cabaran Autocue' bakal diperluaskan kepada golongan pelajar

Dengan sambutan menggalakkan bagi peraduan 'Baca BERITA: Cabaran Autocue' yang diadakan di acara Mediacorp Untukmu@One Punggol baru-baru ini, BERITAmediacorp merancang untuk meluaskannya kepada golongan pelajar.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Dengan sambutan menggalakkan bagi peraduan 'Baca BERITA: Cabaran Autocue' yang diadakan di acara Mediacorp Untukmu@One Punggol baru-baru ini, BERITAmediacorp merancang untuk meluaskannya kepada golongan pelajar.

Dalam tempoh empat jam peraduan itu diadakan, lebih 100 peserta mengambil bahagian.

Selain membantu memperkasa penguasaan Bahasa Melayu, ia diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran bagi mendapatkan berita dari sumber-sumber yang boleh dipercayai dan memastikannya sahih.


"Rancangan kami selanjutnya adalah untuk memberi tumpuan kepada pelajar. Kami berharap peraduan seumpama ini akan mendorong mereka untuk mahu menguasai bahasa Melayu, menggunakan sebutan yang tepat, mengenali ejaan yang betul serta membuat penyampaian yang baik lagi berkesan.

"Dalam pada pelajar melakukan semua itu, harapnya secara tidak langsung meningkatkan pemahaman mereka tentang perbezaan antara berita sahih dengan berita palsu," kata Wartawan Kanan dan Penyampai Unit Berita dan Ehwal Semasa Melayu, Mediacorp, Fariza Abdul Aziz.

Pertandingan 'Baca BERITA: Cabaran Autocue' diadakan buat julung-julung kalinya semasa acara Mediacorp Untukmu@One Punggol pada Sabtu (25 Feb).

Di akhir acara itu, seramai 10 peserta terbaik daripada tiga kategori - pelajar, dewasa lelaki dan dewasa wanita dipilih membawa pulang hadiah termasuk baucar, cenderahati BERITAmediacorp dan trofi.

Antara pemenang pada malam itu ialah Nuha Md Nizam, 11 tahun yang mengungguli kategori pelajar.

Meskipun berasa gementar, keyakinan dan kelancaran yang dipamerkannya sepanjang dua minit menyampaikan berita dalam pertandingan itu berjaya memukau hati para pengadil.

Berbekalkan impian serta sokongan keluarga dan guru-guru, pelajar Sekolah Rendah Punggol View ini gigih berlatih setiap hari menjelang hari pertandingan.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Cikgu saya ada membuatkan skrip jadi saya berlatih di rumah sendiri. Banyak kali saya mengulangkannya sampai saya dapat," kata Nuha.

Ibunya Cik Ruzanah Abdul Rahman menambah, "Hari-hari dia berlatih. Saya naik penat tengok. Nanti dia tengok video TikTok yang BERITAmediacorp ada".

SETAPAK MAJU KE IMPIAN

Bagi anak kedua tiga beradik yang gemar mencuba pelbagai pertandingan menyanyi juga, usahanya berbaloi kerana beliau minat kepada bidang penyampaian.

"Cita-cita saya satu hari untuk menjadi penyampai berita dan radio juga kerana saya suka bercakap. Saya rasa saya setapak lebih dekat kepada impian saya," kata Nuha.

Minat kepada menonton buletin berita sudahpun Cik Ruzanah terapkan dalam diri anak-anaknya sejak kecil lagi.

Beliau mendedahkan anak-anaknya kepada bahan berita untuk meningkatkan pengetahuan mereka tentang ehwal semasa.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Kami biasanya membincangkan tentang berita yang kita tonton. Saya suka tonton berita, saya baca berita. Jadi saya biasanya akan memberitahu mereka apa yang berlaku dalam dunia," ujar Cik Ruzanah.

Sebagai ibu, beliau turut memuji usaha pertandingan ini untuk mendedahkan golongan muda terhadap bahasa Melayu dalam cara yang menarik.

"Agak sedih kerana ramai pelajar, penguasaan bahasa Melayu mereka tidak kuat. Mereka lebih kuat dalam bahasa lain. Jadi ini membimbangkan saya. Saya tidak mahu anak-anak saya seperti itu," jelas Cik Ruzanah.

Pandangan serupa turut dikongsi pemenang utama kategori dewasa wanita, Cik Sapiah Abas.

Beliau berharap pertandingan itu dapat mencetus inspirasi bagi golongan muda.

"Ini satu pendedahan yang baik untuk anak-anak muda terutama sekali bagi mereka yang mungkin bercita-cita untuk menjadi pembaca berita. Satu platform atau satu landasan yang mungkin boleh juga lebih selalu diadakan untuk masyarakat," kata Cik Sapiah.

USIA BUKAN PENGHALANG TUNJUK BAKAT

Meskipun berasa kurang yakin pada awalnya, suri rumah berusia 63 tahun itu memberanikan juga dirinya untuk mencuba.

Bagi beliau, faktor usia bukan penghalang untuk mempamerkan bakat.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Ada satu peserta di belakang saya yang lebih berumur daripada saya. Umur dia 68 ke 69. Dia beritahu saya 'Oh saya suka-suka? Kita suka-suka sahaja kan? Betul kita suka-suka sahaja untuk mengikuti peraduan ini'. Memang tak sangka (boleh menang)," kata Cik Sapiah sambil tertawa.

Perincian bagi projek 'Baca BERITA: Cabaran Autocue' bagi para pelajar akan diumumkan tidak lama lagi.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan