Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peperiksaan pertengahan tahun bagi semua peringkat sekolah rendah, menengah akan digugurkan mulai 2023

Anggaran Waktu Membaca:
Peperiksaan pertengahan tahun bagi semua peringkat sekolah rendah, menengah akan digugurkan mulai 2023

(Gambar: Facebook/Chan Chun Sing)

Diterbitkan : 07 Mar 2022 05:40PM Dikemas Kini : 07 Mar 2022 06:15PM

SINGAPURA: Peperiksaan pertengahan tahun bagi semua peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah akan digugurkan menjelang 2023, umum Menteri Pendidikan Chan Chun Sing pada Isnin (7 Mac).

Semasa berucap di Parlimen bagi membahaskan peruntukan kementeriannya, Encik Chan menarik perhatian bahawa peperiksaan pertengahan tahun bagi murid Darjah 3 dan 5 serta Menengah 1 dan 3 sudah digugurkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kami nampak kesan positifnya. Sekolah dan guru boleh mengawal rentak dan mempertingkatkan pembelajaran para pelajar,” kata Encik Chan.

“Mereka menggunakan penilaian semasa untuk mengenal pasti apa yang sudah dikuasai pelajar serta bidang-bidang yang mereka menghadapi kesukaran. Para pelajar juga lebih fokus kepada pembelajaran mereka dan tidak lagi terlalu mengutamakan markah.”

Dengan meniadakan peperiksaan pertengahan tahun untuk semua peringkat sekolah rendah dan menengah, ia dapat menawarkan lebih banyak masa untuk "pembelajaran terarah kendiri dan membangunkan kecekapan abad ke-21", menurut Menteri Pendidikan itu.

Sekolah-sekolah boleh memilih untuk menggugurkan baki peperiksaan pertengahan tahun untuk sesetengah atau kesemua peringkat yang tinggal bagi 2022 jika mereka sudah "bersedia untuk berbuat demikian", menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dalam lembaran fakta yang berasingan.

Lebih sepertiga daripada sekolah menengah dan kira-kira satu daripada 14 sekolah rendah sudah menggugurkan peperiksaan pertengahan tahun untuk pelajar Menengah 2 dan murid Darjah 4 masing-masing, katanya.

Sekolah-sekolah akan terus menjalankan pelbagai penilaian, termasuk penilaian yang diberikan timbangan bagi setiap penggal.

Kementerian Pendidikan (MOE) juga sedang menyemak kandungan kurikulum dan tuntutan penilaian, kata Encik Chan.

"Mana-mana satu kurikulum standard tidak semestinya akan dapat memenuhi keperluan pembelajaran pelajar kita yang pelbagai," tambahnya.

“Mana-mana kurikulum secara purata semestinya bermakna ramai pelajar akan terbeban manakala yang lain akan mengalami sebaliknya. Oleh itu, kita mesti mempunyai pelbagai pilihan untuk menampung kebolehan dan keperluan pembelajaran pelajar kita yang pelbagai."

MEMPERLUASKAN DSA KE JC

MOE akan memperluaskan program Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) bagi semua maktab rendah pemerintah dan yang menerima bantuan pemerintah, menurut Encik Chan.

Ini adalah: Maktab Rendah Anderson Serangoon, Maktab Rendah Anglo-Chinese, Maktab Rendah Katolik, Maktab Rendah Eunoia, Maktab Rendah Jurong Pioneer, Maktab Rendah Kebangsaan, Maktab Rendah Nanyang, Maktab Rendah St. Andrew, Maktab Rendah Tampines Meridian, Maktab Rendah Temasek, Maktab Rendah Victoria dan Maktab Rendah Yishun Innova.

Menerusi urusan DSA-JC 2022, maktab-maktab rendah ini boleh menerima sehingga 20 peratus daripada pengambilan bukan Program Bersepadu melalui DSA, seganda lebih tinggi berbanding 10 peratus sekarang.

PROGRAM BAHASA KETIGA DAN LUAR NEGARA

Program Bahasa Ketiga Modular akan dirintis di sekolah supaya lebih ramai pelajar sekolah menengah boleh mempelajari bahasa baru dan mengenali budaya-budaya lain, kata Encik Chan.

Di bawah program itu, para pelajar boleh mengambil bahasa ketiga pada tahap yang berbeza, membina kemahiran mereka dan menyusun modul untuk mendapatkan sijil, tambahnya.

Para pelajar boleh mengambil "modul pembelajaran" pada permulaan setiap penggal dan "mendalami penguasaan" bahasa ketiga itu sepanjang tempoh persekolahan mereka di peringkat sekolah menengah, menurut lembaran fakta itu.

Program perintis itu akan membolehkan MOE untuk menilai kebolehlaksanaan pendekatan ini dan tahap minat dalam kalangan pelajar, katanya.

MOE juga akan menetapkan Raffles Institution (RI) sebagai pusat keempat bagi Program Elektif Bahasa Melayu untuk Sekolah Menengah (EMAS) mulai 2023.

Pusat-pusat lain adalah Bukit Panjang Government High School, Sekolah Menengah Tanjong Katong dan Sekolah Menengah Anderson.

Program EMAS menyokong pelajar dengan penguasaan yang kukuh dalam bahasa Melayu melalui aktiviti bahasa dan budaya seperti bengkel tempatan dan program penyerapan.

Ini akan membolehkan lebih ramai pelajar untuk mengakses program itu dan pelajar dari sekolah lain juga boleh menghadiri program tersebut di RI, kata Encik Chan.

Kementerian Pendidikan juga mahu setiap sekolah mempunyai kerjasama di luar negara, katanya.

Buat masa ini, kira-kira dua pertiga sekolah sudah menjalin kerjasama dengan rakan-rakan dari luar negara.

Institut-Institut Pengajian Tinggi (IHL) juga akan terus berusaha ke arah mencapai sasaran 70 peratus pelajar menimba pengalaman di luar negara, dengan 70 peratus daripadanya adalah di negara-negara ASEAN, China dan India, tambah Encik Chan.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan