Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peperiksaan GCE 'O': Dua pelajar lawan penyakit barah untuk catat kejayaan, seorang lagi ingin ceburi bidang perniagaan lakar kerjaya masa depan

Kesusahan yang dihadapi sekarang hanyalah sementara, hanya dengan tekad dan usaha sahajalah seseorang itu dapat bangkit semula untuk mencapai kejayaan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kesusahan yang dihadapi sekarang hanyalah sementara, hanya dengan tekad dan usaha sahajalah seseorang itu dapat bangkit semula untuk mencapai kejayaan.

Itulah prinsip yang dipegang Alea Hidayati Osman, 16 tahun yang menerima keputusan GCE Peringkat 'O' 2021 pada Rabu (12 Jan).

Bekas penuntut Sekolah Menengah Perempuan Cedar itu meraih keputusan memuaskan iaitu lima gred 'A' dan empat gred 'B' untuk peperiksaan kebangsaan itu.

Alea Results
(Gambar: Sekolah Menengah Perempuan Cedar)

Namun kejayaannya itu tidak datang tanpa cabaran kerana Alea sebelum ini diuji dengan penyakit 'Ependimoma' iaitu sejenis barah yang menjejas otak ataupun saraf tunjang pada usia 14 tahun.

Ia bermula apabila beliau kerap mengalami pening-pening dan selepas diperiksa doktor, dia mendapati terdapat ketumbuhan pada tulang belakangnya.

"Disebabkan penyakit ini, saya tidak hadir di sekolah selama dua ataupun tiga bulan. Dan apabila saya kembali ke sekolah, saya tidak dapat melibatkan diri dalam aktiviti kokurikular ataupun latihan jasmani seperti biasa buat tiga bulan lagi. Kadang kala, saya juga amat letih di dalam kelas dan tidak dapat fokus dengan baik," kata Alea.

Alea Solo
(Gambar: Syawal Yusoff)

Daripada seorang yang ceria dan gemar bergaul bersama kawan-kawan, Alea menjadi lemah dan tidak bermaya.

Dia yang aktif dalam sukan padang dan balapan di sekolah dalam acara melompat, terpaksa berhenti daripada melakukan sukan itu.

SAKIT TETAP SAKIT, PELAJARAN TIDAK DIABAIKAN

Meski bergelut dengan kesakitan, anak kedua daripada tiga beradik itu tidak sesekali menjadikannya alasan untuk mengabaikan pelajaran meski sibuk dengan pelbagai kegiatan di sekolah.

Seorang yang berdisiplin, Alea jarang ponteng sekolah hanya jika perlu berjumpa doktor sahaja untuk janji temu.

Bahkan, semasa perlu menjalani rawatan radioterapi selama 22 hari, Alea masih lagi ke sekolah pada waktu pagi dan bergegas untuk menjalani rawatan selepas waktu sekolah.

Alea Family
(Gambar: Syawal Yusoff)

"Cara yang menolong saya untuk membahagikan masa adalah untuk menyiapkan sebuah jadual dan menyiapkan tugasan-tugasan berdasarkan kepentingan. Jadi saya mengutamakan tugasan yang harus dihabiskan esok hari. Dan hanya membuat tugasan tersebut supaya saya dapat meluangkan masa bersama keluarga dan kawan saya," tambah Alea yang 'mengaku' hanya mula mengulangkaji untuk peperiksaan GCE 'O' awal tahun lalu.

Dengan keputusannya itu, Alea berharap untuk melanjutkan pelajarannya ke maktab rendah.

Alea kini sudah pulih sepenuhnya namun masih perlu menjalani pemeriksaan untuk empat tahun lagi.

Pengalamannya itu membakarkan lagi semangatnya untuk mengejar impian menjadi seorang pakar bedah saraf suatu hari nanti.

"Setelah diuji dengan penyakit ini, saya rasa bahawa seorang pakar bedah otak amat berkaitan dengan penyakit yang diuji saya. Dan seperti mana guru, keluarga, kawan dan doktor-doktor saya telah menolong saya untuk pulih, saya juga mahu menghulurkan bantuan kepada orang lain, remaja ataupun belia yang lain, supaya mereka juga dapat berjuang hingga mencapai kejayaan," tambah Alea yang mempunyai minat untuk mempelajari pelbagai bahasa pada masa lapang.

Alea Reading
(Gambar: Syawal Yusoff)

TEKAD LAWAN PENYAKIT DEMI MEMASUKI KURSUS IMPIAN

Seorang lagi pelajar yang bangkit semula daripada penyakit ialah Nur Irdina Zakaria, 16 tahun daripada Sekolah Menengah Yusof Ishak.

Kehidupan sehariannya terjejas apabila diserang penyakit 'Amenorea Sekunder' dua tahun lalu.

Ia berpunca daripada ketumbuhan dalam otak yang menyebabkan hormon badannya menjadi tidak seimbang lantas menjejas daya tumpuan serta perwatakannya.

"Saya selalu beremosi yang negatif. Kadang-kadang saya akan memarahi ibu bapa saya. Saya rasa agak bersalah kerana tetapi saya tidak tahu kenapa saya berkelakuan seperti itu," kata Irdina, anak kedua daripada dua beradik.

Irdina Solo
(Gambar: Syawal Yusoff)

Namun begitu, Irdina memilih untuk mengambil iktibar daripada penyakitnya itu dan merubah perspektif kehidupannya.

"Walaupun saya diuji dengan penyakit ini, saya ingin memperbaiki diri saya. Terutama dengan akhlak saya dan bagaimana saya mencuba benda-benda yang baru. Kerana saya ingin mencuba keluar daripada zon keselesaan saya. Dan memperbaiki saya untuk mendapat masa depan yang cerah.

"Saya rasa dengan pemikiran ini, saya lebih selesa untuk mencuba benda-benda yang baru dan tidak takut menghadapi kesilapan ataupun kegagalan. Jadi dengan itu saya mendorong diri saya untuk teruskan berusaha kerana saya tidak mahu penyakit ini untuk menjadi alasan untuk berputus asa dan tidak mengejar impian saya," tambah Irdina.

Irdina Teacher
(Gambar: Syawal Yusoff)

Berkat sokongan daripada keluarga, guru-guru dan teman-teman, Irdina membina semula keyakinannya dan meneruskan azamnya untuk melawan penyakit.

Untuk memastikan dia tidak ketinggalan, Irdina bangun seawal 4.30 pagi setiap hari untuk mengulangkaji pelajarannya bagi persiapan peperiksaan GCE 'O'.

Mujur keadaannya semakin pulih dan hari ini, dia boleh tersenyum lebar apabila meraih keputusan enam gred B dan satu gred C, sekali gus mendapat tempat memasuki kursus Diploma Pengurusan Sumber Manusia dan Psikologi di Politeknik Republik yang diidamkannya.

"Saya harap satu hari nanti saya dapat membina suasana yang bagus untuk para pekerja dan memajukan bisnes syarikat. Pada zaman sekarang agak susah untuk mencari kerja. Jadi saya rasa dengan keputusan ini, saya boleh menolong ramai orang untuk dapat kerja yang stabil dan rasa gembira dengan kerja mereka," jelas Irdina.

USAHAWAN MUDA MAHU PELAJARI SELOK BELOK PERNIAGAAN

Walaupun masih berusia 16 tahun, Paris Putri Rosli sudah 'matang' untuk memikirkan prospek kerjayanya di masa depan dengan memilih bidang pengurusan perniagaan untuk peringkat pengajian selanjutnya.

Manakan tidak, di tengah-tengah dunia sedang ditimpa pandemik COVID-19 pada 2020, dia mendapat ilham untuk memulakan perniagaan online sendiri menjual aksesori yang mesra alam.

"Saya menggabungkan minat saya untuk kemampanan dan pemuliharaan alam sekitar dengan minat saya dalam fesyen. Oleh itu saya mahu masuk ke kursus perniagaan kerana sekarang saya cuma ada pengetahuan asas saja. Tetapi kalau saya masuk sebuah kursus, saya akan tahu lebih lanjut dan pengetahuan itu boleh mengembangkan perniagaan saya," kata Paris.

Paris Results
(Gambar: Sekolah Menengah Serangoon)

Sebagai seorang pengawas di Sekolah Menengah Serangoon sejak menengah satu lagi, Paris sibuk dengan pelbagai kegiatan dalam dan luar darjah.

Sifat kepimpinannya cukup menyerlah di peringkat nasional sehingga dia terpilih antara 30 pemimpin untuk Anugerah Pemimpin Muda Kebangsaan 2021 oleh Yayasan Halogen Singapura.

"Saya berasa amat terharu dan besar hati sebenarnya. Saya tidak menaruh sebarang harapan yang mendalam untuk dipilih tapi saya menyertainya atas dorongan guru-guru di sekolah dan ibu saya. Pada keseluruhannya, saya amat bersyukur atas peluang yang diberikan kerana saya dapat mempelajari kemahiran menjadi seorang ketua. Dan ialah sesuatu yang saya akan ingat selama-lamanya," tambah Paris.

Dengan keputusan yang diraih, Paris layak untuk memasuki maktab rendah.

Sumber : BERITA Mediacorp/sy

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa