Penyunting majalah Melayu 1950-1960an Saleha Mohamed Shah dinobat ke Dewan Wanita Masyhur SG
Lapan wanita disenaraikan dalam Dewan Wanita Masyhur Singapura pada Rabu (8 Mac), menjadikannya kini seramai 182 wanita yang sudah diberi pengiktirafan atas pencapaian dan sumbangan luar biasa sejauh ini.
SINGAPURA: Lapan wanita disenaraikan dalam Dewan Wanita Masyhur Singapura pada Rabu (8 Mac), menjadikannya kini seramai 182 wanita yang sudah diberi pengiktirafan atas pencapaian dan sumbangan luar biasa sejauh ini.
Salah seorang daripada mereka ialah Saleha Mohamed Shah, yang merupakan penyunting dan satu-satunya penulis majalah pertama bagi wanita Melayu di rantau ini pada tahun 1950 dan 1960an.
Pada kemuncaknya, majalah Fashion yang ditulis dalam Jawi, diedarkan sekitar 100,000 naskhah sebulan dan memikat "ramai wanita" dari Malaysia ke pejabatnya di Singapura pada hujung minggu.
Cik Saleha pada ketika itu mahu majalah tersebut menggalakkan wanita Melayu "supaya membaca dan meluaskan pandangan dunia mereka", dan ia lambat laun menjadi "pemangkin perubahan bagi pembangunan wanita Melayu yang moden", menurut satu kenyataan media.
Seorang lagi individu yang disenaraikan ialah Leftenan Kolonel Kanan Lee Mei Yi, yang merupakan komander wanita pertama skuad F-16 RSAF semasa Perbarisan Hari Kebangsaan baru-baru ini.
Enam lagi wanita yang disenaraikan ialah:
1. Amanda Heng: Salah seorang karyawan pertama di Singapura yang meneroka isu-isu feminis dalam karyanya dan menggunakan seni persembahan untuk meluahkan ideanya.
2. Celia Loe: Pereka fesyen perintis dan usahawan, yang semasa kemuncaknya mempunyai lebih daripada berpuluh-puluh cawangan di Singapura, Kuala Lumpur dan London.
3. Esther Tay: Seorang lagi pereka fesyen perintis dan usahawan yang merupakan pereka fesyen Singapura yang pertama untuk menembusi pasaran runcit Jepun.
4. Janet Lim: Seorang penghurai masalah krisis pelarian global, yang sepanjang 34 tahun beliau berkhidmat dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), beliau membantu menubuhkan keupayaan respons kecemasan agensi pelarian PBB dan mempertingkatkan kolaborasi dalam masyarakat kemanusiaan.
5. Khoo Kim Choo: Pendidik perintis dan pakar pendidikan awal kanak-kanak yang memainkan peranan penting dalam perubahan dan pembangunan sektor pendidikan awal kanak-kanak.
6. Ovidia Yu: Seorang penulis novel dan drama yang cukup terkenal di persada antarabangsa, yang mana siri Crown Colony mengenai kisah misteri pembunuhan bersejarah diadaptasikan untuk siaran televisyen oleh sebuah syarikat penerbitan antarabangsa.
Dewan Wanita Masyhur Singapura diasaskan pada 2014 oleh Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SWCO) untuk meraikan pencapaian dan sumbangan wanita-wanita paling cemerlang di negara ini, selain merakam dan mengongsikan kisah mereka.
Presiden SCWO Junie Foo berkata: "Ia penting bagi golongan muda mempunyai peran contoh, individu yang mereka boleh teladani dan menjadi sumber inspirasi.
"Wanita-wanita yang disenaraikan dalam Dewan Wanita Masyhur Singapura ini merupakan peran contoh yang hebat. Ramai yang berdepan rintangan ketika mereka mengejar impian dan cita-cita masing-masing tetapi mereka tabah, dan teruskan dengan perjuangan mereka dan akhirnya mereka meraih kejayaan.
"Inilah mesej Dewan Wanita Masyhur Singapura - wanita ini dapat lakukannya, dan anda juga boleh," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.