Penyokong Man Utd 'sahut' tawaran prata percuma selepas kalah 7-0 kepada Liverpool
Kelab bola sepak Liga Perdana England, Manchester United mengalami kekalahan teruk sejak 1931 dalam perlawanan menentang Liverpool pada Isnin malam (5 Mac).

(Gambar: Srisun Express)
SINGAPURA: Kelab bola sepak Liga Perdana England, Manchester United mengalami kekalahan teruk sejak 1931 dalam perlawanan menentang Liverpool pada Isnin malam (5 Mac).
Ia kalah mengejut 7-0 di tangan Liverpool dalam perlawanan di Anfield.
Kemenangan itu juga merupakan satu rekod bagi Liverpool.
Seolah-olah ingin mengubati keperitan yang dialami oleh para penyokong Red Devils, rangkaian kedai prata tempatan Srisun Express pada Isnin (6 Mac) menawarkan tujuh keping prata kosong secara percuma kepada setiap penyokong Man United yang datang ke cawangannya sambil memakai jersi pasukan itu.
Namun tawaran itu disertakan dengan beberapa syarat. Tawaran itu hanya diadakan dari pukul 12.30 tengah hari hingga 12.00 tengah malam bagi pelanggan yang duduk makan di kedai itu.
Mediacorp diberitahu oleh Srisun Express bahawa para penyokong Man United boleh berkongsi prata-prata percuma itu bersama rakan-rakan mereka yang duduk semeja.
Walaubagaimanapun, mereka tidak boleh membawanya pulang.
Mungkin tidak menghairankan, tawaran itu disambut baik oleh sejumlah penyokong Man United yang datang ke cawangan Srisun Express bagi menebus prata percuma itu.
Kunjungan Mediacorp ke cawangan Srisun Express di Bukit Batok pada sekitar pukul 4.00 petang semalam mendapati dua penyokong Man United telahpun datang untuk menebus tawaran tujuh prata kosong percuma itu dan mereka juga lengkap berpakaian jersi Man United ketika berada di sana.
Hal yang sama juga dilihat di cawangan Srisun Express di Ang Mo Kio, dengan seorang netizen bernama Marc Hosegai datang ke cawangan itu pada kira-kira pukul 3.00 petang untuk menebus tawaran prata percuma itu.
Lebih mengagumkan, individu itu memberitahu Mediacorp bahawa beliau akan cuba makan kesemua tujuh keping prata kosong itu seorang diri.
Namun apabila ditanya jika beliau benar-benar boleh berbuat demikian, terutama sekali dengan keputusan perlawanan pada malam sebelumnya yang tentu sekali mengecewakan, Encik Marc dengan penuh seloroh berkata: "Terlalu banyak sebenarnya. Rekod saya sebelum ini adalah 4 keping prata. Saya menghadapi kesukaran untuk menghabiskan dua keping terakhir."
Apabila ditanya selanjutnya jika tawaran prata percuma ini dapat mengurangkan rasa kecewa menyusuli kekalahan Man United dalam perlawanan pada Isnin malam, beliau berkata: "Ia membantu sebenarnya, tetapi tentu sekali saya lebih rela pasukan saya menang dan bukannya mendapatkan prata ini."
Katanya lagi: "Kekalahan itu tentu sekali memeritkan tetapi ia tidak menjejas kedudukan kami dalam liga. Perlawanan yang lebih besar untuk saya sebenarnya adalah pada Jumaat akan datang ini."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.