Skip to main content

Singapura

Penyokong Liverpool dari SG 'syukur terselamat' selepas nyaris dirempuh kereta ketika sambut kemenangan kelab

Penyokong Liverpool, Pandiyan Vellasami adalah antara 35 penyokong kelab itu yang melakukan perjalanan dari Singapura ke Liverpool, England bagi meraikan kemenangan Liverpool di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 May 2025 08:58PM Dikemas Kini : 29 May 2025 10:03PM
SINGAPURA: Penyokong Liverpool, Pandiyan Vellasami adalah antara 35 penyokong kelab itu yang melakukan perjalanan dari Singapura ke Liverpool, England bagi meraikan kemenangan Liverpool di Liga Perdana England (EPL).

Ia juga kali pertama Encik Pandiyan, 63 tahun berada di pusat bandar itu, di mana beliau akhirnya dapat memenuhi impiannya untuk menyaksikan perlawanan di stadium Anfield.

Namun suasana meriah kemudian bertukar menjadi satu mimpi buruk.

Encik Pandiyan mengalami cedera ringan pada Isnin (26 Mei) apabila sebuah kereta merempuh sekumpulan penyokong Liverpool yang sedang menyambut kemenangan kelab itu di pusat bandar Liverpool yang penuh sesak.

Beliau memberitahu Mediacorp bahawa beliau mengalami lebam pada bahagian tangan dan kaki serta sakit sedikit selepas kereta itu melanggar kakinya.

Beliau juga berkata bahawa beliau nyaris dilanggar dan berada hanya "beberapa inci sahaja" daripada kereta tersebut.

"Apabila saya tidur (pada lewat petang itu), perasaan saya masih terganggu. Fikiran saya tetap kembali kepada kejadian itu, iaitu apa yang mungkin berlaku. Jadi saya sukar tidur."

Walaupun beliau tidak mendapatkan rawatan perubatan, 50 orang - termasuk kanak-kanak - dirawat atas kecederaan yang dialami.

Empat individu yang terperangkap bawah kenderaan itu perlu dikeluarkan oleh anggota penyelamat.

Sebelas mangsa masih dirawat di hospital dan mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil pada Selasa (28 Mei), dan kesemua sedang beransur pulih, menurut polis Britain.

Polis percaya insiden itu adalah terpencil dan bukan tindakan keganasan.

Seorang lelaki berusia 53 tahun, dipercayai pemandu kenderaan itu, diberkas pada Selasa kerana disyaki cuba membunuh, memandu secara berbahaya dan memandu di bawah pengaruh dadah.

APA YANG BERLAKU

Mengimbas kembali kejadian yang berlaku, Encik Pandiyan berkata beliau berada dekat dengan persimpangan Water Street pada pukul 3.00 petang hingga bas perarakan tiba kira-kira pukul 5.30 petang.

Selepas itu, orang ramai mula bersurai dengan "selamat', katanya.
Related article image
Keadaan di Water Street selepas beberapa orang dirempuh seorang pemandu kereta semasa menyambut kemenangan Liverpool di Liga Perdana Inggeris. (Gambar: AFP)
"Tiba-tiba, orang ramai di hadapan saya mula menjerit dan saya melihat orang ramai melompat ke kanan dan ke kiri. Dan tiba-tiba, saya melihat kereta itu memecut betul-betul di depan saya."

Encik Pandiyan berkata beliau sempat melompat ke tepi, tetapi kereta itu bergesel dengan tangan dan tulang kering beliau sedang ia memecut.

Kereta itu juga menggilis kaki Encik Pandiyan.

"Kemudian saya sempat mengelak, dan pemandu itu memecut ke depan, merempuh beberapa orang.

"Dan kemudian di sekeliling saya, orang ramai mula bergegas ke arah kereta itu, menghentak kenderaan itu, memecahkan tingkap dan semuanya," katanya.

Encik Pandiyan berkata pemandu itu cuba mengundurkan kenderaannya namun ia melanggar sebuah ambulans, sebelum dia memandu ke hadapan sekali lagi dan "merempuh beberapa orang".

"Saya lihat pegawai polis, orang ramai berlari ke arah kami semua, jadi saya fikir akan berlaku pergelutan," katanya.

Polis menyatakan pemandu berkenaan dipercayai mengekori sebuah ambulans ke sebuah jalan yang tertutup apabila sekatan jalan raya ditarik balik untuk membolehkan pegawai paramedik merawat seorang individu disyaki menghidap serangan jantung.

Rakaman video yang dimuat naik online menunjukkan kenderaan itu pecut di jalan raya, yang penuh sesak dengan penyokong Liverpool, menyebabkan beberapa individu tercampak dan sekurang-kurangnya empat individu diheret selepas terperangkap bawah kereta itu.

Apabila kereta itu berhenti, orang ramai mula mengerumuninya dan menghentak tingkap sedang para pegawai polis cuba menghalang mereka daripada menyerang pemandu itu.

Encik Pandiyan berkata beliau mula meninggalkan tempat kejadian kerana beliau tidak mahu terlibat dalam kekecohan itu.

"Sepanjang jalan, saya melihat beberapa orang duduk di tepi jalan. Beberapa orang mempunyai kesan darah pada bahagian muka dan tangan... Satu atau dua orang melihat saya dan bertanya: "Awak okay?"

Encik Pandiyan berkata beliau membeli pelekat plaster dan minyak ketika dalam perjalanan pulang ke hotelnya, tetapi tidak mendapatkan rawatan perubatan.

Encik Pandiyan dan anak lelakinya adalah sebahagian daripada kumpulan wisata yang dianjurkan oleh Matchday Affairs, iaitu sebuah agensi pelancongan yang kerap menganjurkan lawatan ke perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita