Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penyokong bola sepak berang siaran perlawanan Euro 2024 Jerman-Hungary alami gangguan

Anggaran Waktu Membaca:
 Penyokong bola sepak berang siaran perlawanan Euro 2024 Jerman-Hungary alami gangguan

(Gambar: Facebook/Fredde Loke)

Diterbitkan : 20 Jun 2024 12:07PM Dikemas Kini : 22 Jun 2024 04:36PM

SINGAPURA: Para peminat bola sepak meluahkan kemarahan mereka di media sosial pada Khamis (20 Jun) selepas mengalami masalah pada siaran ketika perlawanan Euro 2024 antara Jerman dengan Hungary.

Tuan rumah Jerman mengalahkan Hungary 2-0 untuk menjadi pasukan pertama mara ke pusingan kalah mati.

Walau bagaimanapun, penonton di Singapura tidak dapat menyaksikan aksi-aksi penting, termasuk gol pertama dijaringkan Jerman oleh Jamal Musiala pada minit ke-22, disebabkan masalah siaran tersebut.

Penonton melaporkan skrin "tidak bergerak" atau notis tertera pada skrin bagi memaklumkan bahawa siaran mereka mengalami gangguan.

Seorang penonton memaklumkan kepada Mediacorp bahawa masalah siaran berlaku dua kali sepanjang perlawanan, yang pertama pada tengah malam. Gangguan pertama berlaku pada separuh masa pertama selama 20 minit dan gangguan kedua berlaku pada hujung perlawanan selama kira-kira lima minit.

Pelanggan yang tidak berpuas hati meluahkan kemarahan dan kekecewaan mereka atas kejadian itu, dengan ramai meninggalkan komen di akaun penyiar Euro 2024 - Singtel, Starhub dan mewatch Mediacorp.

Catatan di Facebook dibanjiri tangkapan skrin oleh penyokong yang marah menunjukkan gambar skrin tidak bergerak atau mesej yang menyatakan siaran mereka mengalami gangguan.

Menjawab komen-komen tersebut, StarHub menyatakan gangguan itu "disebabkan masalah sumber", yang sudah diselesaikan. Ia juga memberitahu penonton bahawa mereka boleh "menonton mana-mana saluran tanpa masalah" dan dinasihatkan untuk cuba sekali lagi.

Pelanggan yang meninggalkan komen di catatan Facebook Singtel juga berkata mereka mengalami isu audio.

"Saya ingatkan televisyen saya rosak,' tulis seorang pelanggan Singtel, dengan lebih ramai mengadu bahawa mereka tidak membayar S$108 untuk mengalami isu sedemikian.

Semua perlawanan disiarkan melalui SPOTV, sebuah syarikat media Korea Utara yang mendapatkan hak media eksklusif di Malaysia dan Singapura bagi pertandingan Euro 2024.

CNA sudah menghubungi SPOTV, Starhub, Singtel bagi mendapatkan komen.

Liputan Mediacorp bagi Kejohanan UEFA EURO 2024 bergantung kepada liputan sumber yang disediakan oleh rakan kongsi kandungan kami SPOTV. Kami sedang bekerjasama dengan mereka untuk memastikan kejadian serupa tidak berulang lagi. Kami memohon maaf atas pengalaman negatif yang dialami oleh para penonton kami.

Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan