Penyingkiran Pritam Singh daripada daftar peguam mungkin akhiri kemelut Raeesah Khan: Penganalisis
Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) Pritam Singh tiba bagi perbicaraan tatatertib yang dimohon Persatuan Guaman Singapura pada 13 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
Meskipun prosiding untuk mengeluarkan nama Encik Pritam daripada daftar peguam dianggap sesuatu yang "tidak dapat dielakkan", penganalisis memberitahu Mediacorp bahawa berakhirnya seluruh episod ini memberi noktah kepada isu tersebut bagi orang ramai.
Penolong Profesor Benjamin Joshua Ong dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata mesej daripada kes tersebut jelas bahawa kejujuran itu penting, termasuk dalam perkara yang mungkin dianggap kecil.
Namun, beliau berkata usaha menegakkan prinsip itu turut melibatkan kos kerana masa Parlimen dan mahkamah digunakan bagi menangani kes tersebut berbanding isu mendesak lain.
Profesor Madya Eugene Tan dari SMU pula berkata perkembangan terbaharu itu sedikit sebanyak memberikan penutup kepada isu melibatkan Encik Pritam ini.
Namun, menurutnya, Encik Pritam dan WP masih perlu berdepan dengan kesannya "bagi masa yang akan datang".
Kes Encik Pritam memberikan keterangan palsu di hadapan Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) kini sudah ditangani oleh Parlimen, mahkamah, WP dan tribunal disiplin bagi peguam, kata Profesor Madya Tan.
Pada Julai, Ketua Dewan Indranee Rajah turut menyatakan bahawa tiada tindakan lanjut oleh Parlimen diperlukan terhadap pemimpin WP Sylvia Lim dan Faisal Manap kerana tempoh yang ditetapkan untuk mengambil tindakan sudah tamat.
Penganalisis kanan ehwal antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin, berkata keputusan mahkamah pada Khamis (13 Ogos) bermakna tiada lagi perkara tertunggak yang perlu ditangani.
KEJUJURAN DALAM POLITIK
Kemelut itu bermula pada Ogos 2021 selepas Cik Raeesah memberikan keterangan palsu di Parlimen mengenai tindakannya menemani seorang mangsa serangan seksual ke balai polis, di mana beliau mendakwa pegawai polis tidak mengendalikan kes tersebut dengan sewajarnya.
Cik Raeesah mengakui perkara sebenar kepada Encik Pritam beberapa hari kemudian.
Beliau mengulangi keterangan palsu itu semasa sidang Parlimen pada Oktober sebelum mengaku berbohong pada November 2021.
COP kemudian ditubuhkan untuk menyiasat perkara tersebut dan mendengar keterangan Encik Pritam serta pemimpin dan anggota WP lain pada Disember 2021.
Menyusuli perbicaraan, mahkamah mendapati Encik Pritam bersalah kerana memberikan keterangan palsu di bawah sumpah apabila beliau memberitahu COP bahawa beliau mahu Cik Raeesah mengakui perkara sebenar.
Encik Pritam didenda S$14,000 dan rayuannya ditolak pada Disember 2025.
Penolong Profesor Ong berkata antara pengajaran daripada kemelut lima tahun itu adalah pentingnya menegakkan kejujuran meskipun ia melibatkan kos tertentu.
Pemerhati politik bebas Dr Felix Tan pula berkata ramai rakyat Singapura mungkin sudah bersedia untuk melupakan episod tersebut.
Namun, menurutnya, masih ada yang mungkin melihat keseluruhan episod itu sebagai sudah menjadi terlalu dipolitikkan.
Dr Mustafa berkata terdapat "keletihan politik" yang jelas berhubung kes Encik Pritam dan sudah tiba masanya episod tersebut ditutup.
KESAN POLITIK TERHADAP ENCIK PRITAM
Menurut Dr Mustafa, memandangkan Encik Pritam bukan seorang peguam yang sedang mengamalkan undang-undang dan kini memberi tumpuan kepada khidmat politik, penyingkirannya daripada daftar peguam dijangka tidak menjejas kerjaya atau pendapatannya.
Profesor Madya Tan pula berkata rakyat Singapura sudah lama membentuk pandangan masing-masing mengenai kemelut itu serta mereka yang terlibat, termasuk WP dan Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Beliau berkata keputusan terbaharu itu merupakan satu lagi tamparan terhadap reputasi dan imej politik Encik Pritam, tetapi tidak menjangka ia akan memberikan kesan besar terhadapnya.
Menurut Profesor Madya Tan, WP juga kekal sebagai parti pembangkang utama, sekali gus mengurangkan kesan terhadap parti tersebut.
Namun, beliau berkata WP perlu lebih berhati-hati supaya tidak terlibat dalam satu lagi kesilapan politik sepanjang penggal Parlimen ini.
Dr Felix Tan pula berkata Encik Pritam masih mendapat sokongan dan penghormatan yang besar dalam kalangan penyokong serta penduduk di kawasan undinya.
PENYINGKIRAN DIANGGAP 'TIDAK DAPAT DIELAKKAN'
Mengenai prosiding pada Khamis (13 Ogos), penganalisis berkata keputusan untuk menyingkirkan Encik Pritam daripada daftar peguam sudah dijangka.
Encik Pritam, 50 tahun, tidak mencabar permohonan Persatuan Guaman Singapura supaya tribunal disiplin menyingkirkannya daripada daftar peguam.
Persatuan Guaman Singapura diwajibkan di sisi undang-undang untuk mendapatkan tindakan tatatertib menyusuli sabitan Encik Pritam atas dua tuduhan memberikan keterangan palsu kepada COP yang menyiasat Cik Raeesah.
Penolong Profesor Ong berkata Encik Pritam berkemungkinan tidak mencabar permohonan tersebut kerana beliau mengetahui bahawa seorang peguam yang melakukan kesalahan berkaitan ketidakjujuran hampir pasti akan disingkirkan daripada daftar peguam.
Dr Mustafa berkata Encik Pritam boleh memohon supaya namanya dimasukkan semula ke dalam daftar peguam pada masa depan, tetapi proses tersebut mungkin sukar dan memerlukan tempoh yang panjang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.