Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penyewaan jangka pendek secara haram di kondo anda? Maklumkan kepada pengurus hartanah

Sejak dua tahun lalu, Cik S meraikan Krismas dari pelbagai tempat di keliling bandar - sekali di Orchard dan sekali di Bugis.

Anggaran Waktu Membaca:
Penyewaan jangka pendek secara haram di kondo anda? Maklumkan kepada pengurus hartanah

(Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 02 Mar 2020 09:48AM Dikemas Kini : 02 Mar 2020 10:11AM

SINGAPURA: Sejak dua tahun lalu, Cik S meraikan Krismas dari pelbagai tempat di keliling bandar - sekali di Orchard dan sekali di Bugis.

Namun, apartmen tersebut bukan miliknya. Sebaliknya, beliau menyewanya untuk dirinya dan kawan-kawannnya selama beberapa hari, supaya kumpulan mereka seramai 10 hingga 15 orang tidak perlu bimbang bahawa sambutan pesta mereka itu akan menyebabkan bunyi bising.

Beliau dan rakan-rakannya menempah kediaman itu pada 2018 dan 2019 menerusi Airbnb.

"Kami fikir ingin ruang yang besar," kata Cik S, yang meminta agar identitinya tidak didedahkan. "Lazimnya kami mengadakan percutian dalam negeri atau 'staycation' di hotel tetapi ia tidak boleh menampung begitu ramai orang. Dan chalet biasa-biasa sahaja.

"Trend sekarang seperti Airbnb. Anda boleh mendapatkan apartmen jika ingin masak, jika ingin bermalam, jika ada yang mahu. Oleh itu ia jauh lebih mudah. Kami semua memilih untuk menyewa Airbnb," katanya.

Bagaimanapun penyewaan jangka pendek iaitu bagi tempoh kurang tiga bulan masih diharamkan di Singapura. Pada Mei 2019, Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) menyatakan bahawa pihaknya akan mengekalkan tempoh menetap minimum selama tiga bulan bagi hartanah kediaman privet. Ini berikutan rundingan awam menyeluruh sejak 2015.

Pada 2019, URA menyiasat 800 kes disyaki terlibat dalam penyewaan jangka pendek secara haram. Jumlah itu meningkat dari 750 kes pada 2018.

Meskipun dengan peraturan tersebut, penyenaraian hartanah untuk disewa bagi jangka pendek di Singapura masih wujud. Semakan ke atas laman Airbnb menunjukkan senarai lebih 300 kediaman, sebahagian besarnya yang tidak menyatakan sebarang tempoh penyewaan minimum.

Apabila dihubungi, kebanyakan pemilik kediaman itu berkata bahawa mereka tidak tahu tentang peraturan URA, tetapi memberitahu Mediacorp bahawa tidak terdapat sebarang masalah pada hartanah mereka.

Bagaimanapun, perkara utama dalam penguatkuasaan yang berkesan terhadap penyewaan jangka pendek bukan untuk menyasarkan penyenaraian, tetapi untuk menyiasat kes yang disyaki melibatkan penyewaan jangka pendek, kata URA.

Pihak berkuasa itu menambah bahawa ia sudah mengambil "tindakan lebih tegas" terhadap mereka yang menyewakan kediaman jangka pendek secara haram.

Bagi pesalah kali pertama yang didapati menyewakan rumah, mereka akan didenda sehingga S$5,000. Manakala para pesalah berulang dan mereka yang menyewakan kediaman mereka bagi "meraih keuntungan komersil" akan didakwa di mahkamah, dan URA akan memohon bagi hukuman lebih berat.

Malah pemilik hartanah juga bertanggungjawab bagi kesalahan-kesalahan di dalam hartanah mereka meskipun kesalahan itu dilakukan oleh si penyewa, menurut URA.

PERANAN MCST

Perbadanan Pengurusan Hak Milik Strata (MCST) sangat penting dalam menangani kes-kes penyewaan jangka pendek, kata URA.

Mereka "memainkan peranan penting dalam memperketat pemeriksaan keselamatan dan segera melaporkan kegiatan penginapan jangka pendek yang disyaki kepada kami untuk disiasat", kata seorang jurucakapnya.

Namun para kakitangan pengurusan kondominium bergantung kepada maklum balas penduduk untuk memantau kes-kes penyewaan jangka pendek secara haram, kata MCST kepada Mediacorp.

"Langkah pencegahan adalah untuk mengingatkan mereka bahawa ia melanggar undang-undang. Tiada cara untuk mengawalnya kerana tiada pegawai keselamatan yang ditugaskan atas sebab kos. Maka itu kami amat bergantung kepada maklum balas dan tanggungjawab sosial dan kesedaran pemilik," kata ejen pengurusan Smart Suites, Alson Mak. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan