Penyewa Taste Orchard terkejut diminta kosongkan premis selepas tempoh sewa Hao Mart ditamatkan
Para penyewa di pusat beli-belah Taste Orchard terpinga-pinga selepas dimaklumkan bahawa mereka perlu mengosongkan premis masing-masing sebelum hujung tahun ini, selepas tempoh sewa penyewa utama, Hao Mart, ditamatkan lebih awal oleh tuan tanah OG.
Taste Orchard di 160 Orchard Road. (Gambar: CNA/Koh Wan Ting)
Seorang penyewa memberitahu Mediacorp bahawa sekumpulan penyewa bertemu dengan seorang peguam pada Selasa (16 Sep).
Beliau berkata peguam itu akan menghantar surat kepada OG bagi meneroka kemungkinan melanjutkan tempoh sewa mereka.
The Business Times melaporkan pada Isnin (15 Sep) bahawa tempoh sewa Hao Mart di Taste Orchard ditamatkan oleh OG selepas kurang dua tahun, walaupun tempoh sewanya adalah selama tujuh setengah tahun.
Para pemilik bersama di bawah Hao Mart diberi tempoh sehingga 31 Disember untuk mengosongkan premis masing-masing.
Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, OG menyatakan ia sedang bekerjasama dengan Hao Mart bagi memastikan "premis itu dapat dikosongkan dengan lancar dan teratur".
"Bagi memelihara integriti proses dan privasi pihak yang terlibat, kami tidak boleh memberikan butiran lanjut pada waktu ini," kata seorang jurucakap.
Mediacorp sudah menghubungi Hao Mart bagi mendapatkan komen.
Taste Orchard di 160 Orchard Road sebelum ini menempatkan gedung serbaneka OG, yang ditutup pada Oktober 2022.
Kelima-lima lantai runcit di bangunan itu - termasuk lantai bawah tanah - disewakan kepada Hao Corp, yang mengendalikan rangkaian pasar raya Hao Mart.
Selain Eccellente, kedai-kedai makanan dan minuman dibuka di tingkat pertama dan kedua bangunan itu.
Tingkat atas bangunan itu disewa perniagaan-perniagaan speerti pusat pendidikan, klinik kecantikan, sebuah kedai optik dan kedai menjual snek Asia.
PENYEWA KESAL DENGAN KEKURANGAN KOMUNIKASI
Para penyewa mengesahkan tempoh sewa yang ditamatkan, sambil merujuk kepada surat yang dihantar oleh pihak pengurusan Hao Mart pada 12 September.
Mediacorp sudah melihat surat tersebut, yang menyatakan bahawa perjanjian sudah “dibatalkan” dan mengarahkan para penyewa supaya mengembalikan unit yang sudah dikosongkan dalam keadaan asal selewat-lewatnya pada 31 Disember.
Surat itu menambah bahawa pihak pengurusan menghargai “hubungan profesional dan kerjasama” dengan para penyewa dan komited untuk memastikan peralihan dilakukan dengan lancar.
Surat itu ditandatangani oleh naib presiden kanan operasi Hao Mart, yang berkata bahawa pasukan pengurusan akan menghubungi para penyewa pada minggu berikutnya untuk membincangkan langkah-langkah seterusnya.
Namun, para penyewa berkata mereka masih belum menerima sebarang perkembangan lanjut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.