Skip to main content

Singapura

Penyewa kedai HDB wajib kekalkan kadar sewa selama 6 tahun mulai 10 Jan

Anggaran Waktu Membaca:
Penyewa kedai HDB wajib kekalkan kadar sewa selama 6 tahun mulai 10 Jan
(Gambar: CNA/Ili Mansor)
Diterbitkan : 10 Jan 2026 07:26PM Dikemas Kini : 10 Jan 2026 07:27PM
SINGAPURA: Para pembida yang berjaya untuk membida semua tender kedai baharu Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) diwajibkan untuk mengekalkan kadar sewa yang ditenderkan bagi dua tempoh sewa, atau enam tahun.

Ini berbanding satu tempoh sewa sebelum ini yang berlangsung selama tiga tahun.

"Dengan mewajibkan para pembida supaya komited kepada kadar sewa yang ditenderkan untuk tempoh yang lebih lama, matlamat kami adalah untuk menggalakkan para pembida supaya membida secara berhemah," menurut HDB dalam satu kenyataan media pada Sabtu (10 Jan).

Langkah baharu itu, yang bermula pada Sabtu, dilaksanakan berikutan kebimbangan mengenai kenaikan tawaran sewa bagi kedai di estet-estet HDB.

Ini menyusuli bidaan sewa bulanan tertinggi sebanyak S$52,000 dolar bagi sebuah klinik GP di Tampines pada Januari tahun lalu.
Sebelum ini, apabila tempoh penyewaan tiga tahun perlu diperbaharui, penilai profesional dilantik HDB akan menilai sewa tempoh penyewaan seterusnya sebagai sebahagian daripada langkah untuk mengekalkan kestabilan harga sewa.

Demikian menurut Kementerian Pembangunan Negara (MND) dalam jawapan bertulis di parlimen pada September lalu.

HDB merupakan badan berkanun di bawah MND.

Penilaian tersebut akan mengambil kira "sewa terkini bagi premis yang setanding di kawasan sekitar, serta keadaan pasaran dan keadaan semasa", menurut MND ketika itu.

MND menambah kadar sewa bagi 90 peratus kedai sewaan HDB tidak meningkat dalam tempoh lima tahun sebelum ini.

Terdapat kira-kira 15,500 kedai HDB di Singapura setakat Ogos 2025.

Daripada jumlah tersebut, kira-kira 7,000 disewakan oleh HDB, dan kira-kira 8,500 dimiliki secara privet, dedah MND.

HDB berhenti menjual kedai-kedai HDB pada 1998, dan kini menyewanya kepada perniagaan secara langsung.

Kadar sewa bagi kedai HDB yang dimiliki secara privet ditentukan oleh pemilik masing-masing dan MND menyatakan ketika itu bahawa ia tahu tentang peningkatan sewa yang mendadak bagi setiap kaki persegi untuk kedai-kedai tersebut.

Terdapat kira-kira 740 kedai yang dimiliki HDB secara privet dan dijual dengan tempoh pajakan 30 tahun.

Lebih 80 peratus daripada kedai tersebut mempunyai kurang daripada baki 10 tahun pajakan.

Kedai-kedai tersebut akan dipulangkan kepada HDB dan disewakan secara berperingkat.

Baki kedai HDB yang dimiliki secara privet, iaitu kira-kira 7,700 dijual pada pajakan 99 tahun dan mempunyai baki pajakan 30 peratus.

"HDB akan terus menyediakan kedai baharu dalam pembangunan perumahan awam baharu. Kami juga akan menambah bekalan runcit baharu untuk memenuhi permintaan di kawasan sedia ada, jika perlu, termasuk pilihan untuk memperoleh kedai HDB yang dimiliki secara privet secara khusus jika diperlukan," tulis MND dalam jawapan bertulis di parlimen.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita