Skip to main content

Singapura

Penyertaan program ‘Get Fit for Haj’ (GFH) 2025 meningkat dengan ketara dengan 3 komponen baharu

Anggaran Waktu Membaca:
Penyertaan program ‘Get Fit for Haj’ (GFH) 2025 meningkat dengan ketara dengan 3 komponen baharu

Gambar: Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB)

Diterbitkan : 04 Jun 2025 07:07PM Dikemas Kini : 05 Jun 2025 12:37AM
SINGAPURA: Program ‘Get Fit for Haj’ (GFH) mencatat peningkatan penyertaan yang memberangsangkan sejak diperkenalkan pada 2023.

Pada tahun ini, sebanyak 89 peratus jemaah haji telah menyertai program tersebut berbanding 80 peratus semasa pelancarannya.

GFH merupakan inisiatif di bawah M³, yang merangkumi MUIS, MENDAKI dan PA MESRA, dan dirangka sebagai pendekatan holistik yang menekankan gaya hidup sihat.

Ia merangkumi aspek pemakanan seimbang, senaman berkala dan sokongan kesihatan mental bagi membantu jemaah menghadapi ibadah haji yang mencabar.

TIGA KOMPONEN BAHARU

Tahun ini, program tersebut dipertingkatkan dengan tiga komponen baharu bagi memperkukuhkan tahap kecergasan fizikal dan kesihatan jemaah sebelum mereka ke Tanah Suci.

Komponen pertama, 'Kuatkan Jasmani, Kukuhkan Rohani', merupakan program kecergasan yang memperkenalkan rutin senaman baharu bagi meningkatkan tahap fizikal jemaah dalam menghadapi tuntutan ibadah haji.

Jemaah juga menjalani penilaian kesihatan bagi memahami tahap kesihatan masing-masing dan mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki.

Selain itu, para doktor dari Persatuan Penjaga Kesihatan Profesional Muslim (MHPA) turut diundang untuk menyampaikan ceramah yang merangkumi isu-isu kesihatan dan memberi nasihat praktikal untuk persiapan haji.
 
Related article image
Gambar: Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB)
Mereka juga digalakkan untuk menyertai program Healthier SG untuk menerima pelan kesihatan peribadi yang disesuaikan mengikut sejarah perubatan dan keadaan semasa mereka.

MAKLUM BALAS POSITIF DARIPADA JEMAAH DAN GSA

Bagi jemaah haji, Encik Razak Basri, 66 tahun,penyertaannya dalam GFH memberikan kesan yang amat positif.

"Alhamdulillah, antara manfaat yang saya raih ialah kesan positif terhadap persiapan saya setelah menyertai program yang dipertingkatkan oleh HPB. Ini termasuk menerima panduan profesional yang tersusun mengikut keperluan kesihatan saya. Saya juga mendapat sokongan GSA dan motivasi bersama dengan para jemaah lain yang mengikuti program ini. InsyaaAllah, saya juga lebih bersedia secara fizikal dan mental untuk menghadapi cabaran ini."

Sementara itu, Pengurus Besar Halijah Travel & Tours, Encik Haffidz Abdul Hamid, menyifatkan sambutan terhadap GFH sebagai amat menggalakkan.

"Ramai jemaah berpendapat tahap kecergasan dan kesihatan amat penting dalam persiapan untuk mengerjakan ibadah haji. Ini kerana banyak ibadah amali perlu dilakukan dan dalam keadaan cuaca yang amat terik dan panas," kongsi beliau.
Related article image
Gambar: Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB)
Tambahnya, penambahbaikan dalam program GFH membawa manfaat menyeluruh, bukan sahaja daripada segi fizikal tetapi juga mental.

Menurutnya, "Jemaah lakukan penilaian pada mula dan akhir program (Kuatkan Jasmani, Kukuhkan Rohani). Ini dapat memberi hasil yang mungkin ketara jika ada perubahan yang dirasai Jemaah itu sendiri."

Beliau turut menghargai sesi taklimat kesihatan yang dikendalikan oleh doktor daripada Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Muslim (MHPA), yang memberi panduan berguna tentang penjagaan kesihatan sebelum dan semasa di Tanah Suci.

"Jemaah diingatkan untuk menjaga pemakanan serta tidak lupa mengambil ubat seperti biasa jika dalam rawatan Terdapat juga ceramah mengenai kesihatan mental semasa latihan berjalan kaki beramai-ramai. Ini banyak membantu jemaah menangani rasa kebimbangan yang sering dialami jemaah apabila menjalani ibadah haji nanti," tambah beliau.

Dalam pada itu, Encik Haffidz turut menyuarakan maklum balas daripada para jemaah haji yang merasakan program GFH wajar dimulakan lebih awal.

"Ada sebilangan jemaah berpendapat program ini sepatutnya dimulakan lebih awal agar mereka mempunyai masa mencukupi untuk membuat persiapan. Ramai dalam kalangan mereka kurang melakukan latihan fizikal tanpa dorongan yang berterusan," ujar beliau.
Sumber : BERITA Mediacorp/AR/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita