Skip to main content

Singapura

Penyerang pelakon Malaysia Kamal Adli di Singapore Expo dihukum penjara lebih 2 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lelaki yang menyerang pelakon Malaysia Kamal Adli di Singapore Expo tahun lalu dihukum penjara 28 bulan dan dua minggu pada Khamis (25 Apr).

Muhammad Nabil Rashid telah menggunakan belantan untuk menyerang pelakon tersebut semasa sesi pertemuan pada Mac 2023.

Dia mengaku melakukan kesalahan itu atas sebab ingin membalas dendam kerana beranggapan bahawa pelakon itu telah mencabul kehormatan seorang saudara wanitanya.

Nabil, seorang warga Singapura 34 tahun, disahkan oleh pakar psikiatri di Institut Kesihatan Mental (IMH) menghidap penyakit psikotik, di mana kemungkinan besar dia merasakan dirinya dianiaya dan/atau dicederakan. Pakar psikiatri tersebut berpendapat Nabil juga mengalami gangguan personaliti antisosial.

Nabil mengaku bersalah atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya dan dua tuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap individu lain. Empat lagi tuduhan diambil kira ketika hukuman dijatuhkan.

Pada 12 Mac 2023, polis dimaklumkan mengenai serangan di 1 Expo Drive iaitu suspek didakwa menyerang seorang lelaki berusia 36 tahun dengan belantan.

Kamal yang cedera terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di sini.

Kamal Adli dan isterinya Uqasha Senrose berada di Singapura untuk acara Jualan Mega Hari Raya 2023 bermula 10 Mac di Hall 5A Singapore Expo apabila insiden itu tercetus di penghujung acara.
Dalam kejadian berasingan, Nabil terlibat dalam pertikaian jalan raya pada April 2022 dengan sepasang suami isteri, selepas bergaduh dengan mereka di Sembawang. Nabil kemudian meludah pasangan itu dan bergelut dengan lelaki tersebut.

Nabil ditahan buat penilaian psikiatri. Dia memberitahu pakar psikiatri tersebut bahawa dia tidak mengenali Kamal secara peribadi, namun mendakwa bahawa dia ingin membalas dendam kerana selebriti itu mencabul salah seorang anggota keluarganya.

Pakar psikiatri itu berkata bahawa Nabil "tidak mengetahui tentang penyakitnya" dan enggan memakan ubat meskipun dipaksa.

Akhirnya, Nabil diberikan ubat meskipun dia menolaknya, kerana dianggap sebagai risiko terhadap Kamal.

Walau bagaimanapun, penilaian oleh pakar psikiatri itu menyakatan Nabil masih berfikiran waras dan mengetahui perbuatannya adalah salah.

Peguam Nabil, Wee Hong Shern, berkata anak guamnya kini yakin mangsa cabul yang didakwa bukan anggota keluarganya, atau mana-mana individu yang dikenalinya.

Pakar psikiatri tersebut juga mengesahkan bahawa penyakit dihidapi Nabil merupakan faktor besar yang menyebabkan Nabil melakukan kesalahan itu, dan tindakannya dipengaruhi gangguan yang dialaminya.

Bagi kesalahan menyebabkan kecederaan dengan senjata, seorang individu boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda, atau sebatan, atau mana-mana hukuman.

Bagi kesalahan memaksa, Nabil boleh dipenjara sehingga tiga bulan, atau didenda sehingga S$1,500, atau kedua-duanya.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita