Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penyerang Kamal Adli direman lagi seminggu bagi lengkapkan pemeriksaan di IMH

Anggaran Waktu Membaca:
Penyerang Kamal Adli direman lagi seminggu bagi lengkapkan pemeriksaan di IMH

Keadaan Kamal Adli selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura berikutan serangan di Singapore Expo pada 12 Mac 2023. (Gambar: kamaladli/Instagram)

SINGAPURA: Tempoh reman ke atas lelaki yang didakwa menyerang pelakon Kamal Adli, Muhammad Nabil Rashid, dilanjutkan tujuh hari lagi bagi melengkapkan pemeriksaan perubatan di Institut Kesihatan Mental (IMH).

Menurut Hakim Daerah Terence Tay, IMH memohon tempoh reman terhadap suspek dilanjutkan bagi melengkapkan pemeriksaan.

<<BACA: Lelaki 33 tahun didakwa; serang Kamal Adli di Singapore Expo>>

"Saya membenarkan permohonan untuk anda direman selama seminggu lagi di IMH," katanya sambil menambah sebutan kes seterusnya adalah pada 4 April.

Pada 14 Mac lalu, mahkamah menetapkan Muhammad Nabil Rashid direman dua minggu untuk menjalani penilaian psikiatri di institut berkenaan.

Lelaki berusia 33 tahun itu menjawab "ya" apabila ditanya sama ada dia mendengar keputusan itu.

Dia didakwa di Mahkamah Negara pada 14 Mac kerana "disyaki terlibat dalam kes menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya."

Jika sabit kesalahan, menyerang hingga menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya di bawah Seksyen 324 Kanun Jenayah membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan, atau mana-mana gabungan hukuman itu. 

Pada 12 Mac, pada jam 9.19 malam, Pasukan Polis Singapura (SPF) dimaklumkan mengenai satu kes di Singapore Expo, di mana suspek dipercayai menyerang seorang lelaki berusia 36 tahun dengan menggunakan belantan.

Polis merampas belantan berkenaan untuk dijadikan bahan bukti dan siasatan sedang dijalankan.

Kamal yang cedera terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di sini.

Beliau dan isterinya Uqasha Senrose berada di Singapura untuk acara Jualan Mega Hari Raya 2023 selama tiga hari bermula 10 Mac, di Dewan 5A Singapore Expo.

Menurut Uqasha, kejadian itu berlaku di penghujung acara.

Turut hadir di mahkamah hari ini adalah peguam Kamal, Jason Wee dari firma guaman AVW yang berpangkalan di Malaysia.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan