Skip to main content

Singapura

Penyelidikan, kepimpinan dalam bidang budaya & warisan Melayu akan dibangunkan

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 18 Sep 2025 05:05PM Dikemas Kini : 02 Oct 2025 01:28PM
SINGAPURA: Usaha untuk merancakkan lagi penyelidikan dan melahirkan kepimpinan berwawasan dalam bidang budaya dan warisan Melayu di Singapura akan dilaksanakan bagi menjamin budaya dan warisan Melayu terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Demikian didedahkan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim dalam sesi perkongsian
dengan para penggiat budaya dan warisan Melayu Singapura tentang bidang tersebut pada Rabu (17 Sep).

"Ini penting kerana ia akan memastikan budaya dan warisan kita dicatatkan untuk generasi akan datang dan mengukuhkan lagi peranan penting masyarakat Melayu/Islam dalam membentuk identiti rakyat Singapura. Kerja-kerja warisan, budaya dan juga aktiviti yang dilakarkan meliputi pelbagai agensi pemerintah.

"Kita akan bekerjasama dengan beberapa agensi seperti Lembaga Warisan Negara (NHB), Majlis Seni Kebangsaan Singapura (NAC) dan juga badan-badan seperti Taman Warisan Melayu bersama dengan masyarakat iaitu pihak-pihak berkepentingan daripada masyarakat untuk memikirkan masa hadapan ataupun untuk membangunkan lagi apa yang sedia ada dalam aspek warisan dan budaya kita,"kongsi Dr Faishal.

Beliau menegaskan bahawa budaya dan warisan Melayu bukan hanya sebahagian daripada identiti masyarakat Melayu tetapi juga merupakan komponen penting dalam identiti kebangsaan Singapura.

"Sebenarnya budaya dan warisan Melayu bukan sahaja untuk satu kaum tetapi merupakan asas sejarah dan identiti bangsa kita. Ia relevan kepada semua rakyat Singapura," ujar Dr Faishal.

Sesi selama satu jam itu disertai sekitar 50 para penggiat seni dan pihak-pihak berkepentingan dalam bidang budaya dan warisan Melayu.

"Saya gembira dapat berbincang bersama para penggiat-penggiat seni, budaya dan warisan Melayu untuk mendengar pandangan mereka tentang bagaimana kita boleh membangunkan dan memperkukuhkan lagi seni budaya dan warisan.

"Saya teruja mendengar idea-idea mereka yang menunjukkan bahawa sektor ini amat bertenaga dan sedang giat berkembang walaupun kita menghadapi beberapa cabaran," kata Dr Faishal.

Beliau berkongsi bahawa akan ada lebih banyak sesi perkongsian yang serupa pada masa hadapan.

"Sesi hari ini hanya permulaan. Kami akan terus mendengar, melibatkan masyarakat sedang kita memulakan perjalanan ini bersama untuk merealisasikan visi kita untuk memperkukuhkan budaya dan warisan Melayu Singapura," tambahnya lagi.
Related article image
(Gambar: Taman Warisan Melayu)
PERANAN YAYASAN WARISAN MELAYU DALAM MEMELIHARA BUDAYA MELAYU DI SG

Menjelang pembukaan semula Taman Warisan Melayu tahun depan, Dr Faishal juga berkata ia adalah peluang yang baik untuk menjadikan kawasan Kampong Gelam sebagai kawasan ikonik dan bertenaga untuk menampilkan kebudayaan dan sejarah Melayu sambil menonjolkan kerjasama erat masyarakat.

Yayasan Warisan Melayu (MHF) pula menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh usaha memelihara serta mempromosikan budaya dan warisan Melayu Singapura kepada semua lapisan masyarakat dan pelancong.

Pengerusi MHF, Dr Norshahril Saat, menekankan bahawa matlamat utama MHF sejak ditubuhkan adalah untuk menampilkan warisan Melayu secara inklusif.

"Fungsi Yayasan Warisan Melayu yang utama adalah untuk mengedepankan warisan Melayu kepada semua, bukan hanya untuk orang Melayu tetapi juga orang bukan Melayu. Pada masa hadapan, kita ingin memperkenalkan lagi keunikan warisan Melayu Singapura, khususnya kepada mereka yang belum mengenali rantau ini," jelas beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa masyarakat Melayu Singapura mempunyai keunikan tersendiri berbanding masyarakat Melayu di rantau lain dari segi linguistik, sosio-agama dan budaya.

CABARAN UNTUK KEKALKAN WARISAN MELAYU DI SINI

Mengulas tentang sesi perbincangan yang diadakan, Dr Norshahril berkongsi bahawa para peserta meluahkan beberapa cabaran dalam usaha mengekalkan warisan Melayu di sini.

"Ada beberapa perkara, antaranya adalah cabaran demografi di Singapura yang kita lihat bahawa sedang usaha-usaha untuk mendekati golongan belia di sekolah-sekolah ini semakin mengecil dan ini satu masalah struktural. Kedua adalah dari aspek ruang, di mana tiada ruang untuk mengembangkan usaha.

"Jadi kalau kita lihat dengan apa yang dibincangkan, bagaimana kita boleh menggembleng tenaga dan membuat satu usaha dan upaya yang lebih efektif. Kita dengar beberapa rintihan dan juga pandangan yang diberikan baik daripada yang golongan mapan dan juga golongan muda dan saya fikir ini akan dibincangkan oleh kepimpinan masyarakat kita," kata Dr Norshahril.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan hasrat untuk memperluaskan kerjasama dengan kumpulan etnik lain serta di rantau ini untuk memperkukuhkan lagi naratif warisan Melayu Singapura.

Related article image
Gambar Ilustrasi Taman Warisan Melayu.
PEMBUKAAN SEMULA TAMAN WARISAN MELAYU

Menurut Pengurus Besar Taman Warisan Melayu (TWM), Hafiz Shariff, pembaharuan TWM bukan sahaja meningkatkan infrastruktur tetapi juga menyegarkan galeri tetap dengan hasil penyelidikan baharu serta artifak yang lebih pelbagai.

"Matlamat utama Pembaharuan Taman Warisan Melayu ialah untuk memelihara Istana Kampong Gelam sebagai monumen kebangsaan melalui peningkatan infrastruktur serta menyegarkan galeri tetap dengan hasil penyelidikan dan artifak baharu dengan naratif yang lebih inklusif dan kemudahan yang lebih mesra ini, pusat ini akan lebih relevan dan bermanfaat kepada masyarakat hari ini," kata Encik Hafiz.

Apabila siap sepenuhnya, pengunjung akan disambut dengan kompaun baharu, ruang bengkel aktiviti yang diperluas serta auditorium moden.

Galeri tetap pula akan mempunyai enam tema berbeza dengan naratif “Rantau Ke Rumah”.

Selain itu, karya baharu artis-artis tempatan juga akan ditampilkan.

Encik Hafiz menegaskan bahawa pembaharuan ini akan memperlihatkan warisan Melayu bukan sekadar sejarah statik tetapi sebagai kisah yang nyata, dinamik dan sentiasa berkembang.

"Ia akan mengetengahkan peranan tokoh-tokoh perintis wanita dan sub-etnik Melayu sambil menawarkan pengalaman autentik melalui persembahan 'Jelajah Warisan' dan pesta-pesta yang akan dimeriahkan di kawasan Kampong Gelam ini," kongsi Encik Hafiz.

Inisiatif itu dijangka bukan sahaja memperkukuh pemahaman masyarakat tempatan tentang warisan Melayu, malah juga menarik minat pelancong untuk mengenali keunikan budaya Melayu Singapura.

Taman Warisan Melayu dijangka akan dibuka semula kepada umum mulai Sabtu, 25 April 2026.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita