Skip to main content

Singapura

Penyelidik SG bina robot pertama di dunia bantu warga emas hadapi masalah mobiliti

Encik Leow Cher Hwa tidak pernah terfikir bahawa sesuatu yang semudah berjalan kaki akan menjadi satu pergelutan yang perlu diharunginya setiap hari.
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 22 Jan 2026 11:56PM Dikemas Kini : 30 Jan 2026 06:46PM
  • Encik Leow Cher Hwa, yang separuh lumpuh selepas angin ahmar, mendapat manfaat daripada robot pemulihan DRBA di Pusat Penuaan Aktif Lions Befrienders, Tampines.
  • Robot DRBA, ciptaan penyelidik NTU, menggunakan sensor dan AI untuk membantu warga emas kekal berdikari dan mencegah kecederaan semasa aktiviti berdiri.
  • Walaupun robot ini memberi impak positif, kos tinggi sekitar S$90,000 menjadi cabaran, mendorong pasukan untuk meneroka model sewa dan subsidi.
  • Pasukan penyelidik merancang mendapatkan kelulusan HSA menjelang Jun dan membangunkan versi lebih kecil untuk kegunaan di rumah pada akhir tahun ini.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Encik Leow Cher Hwa tidak pernah terfikir bahawa sesuatu yang semudah berjalan kaki akan menjadi satu pergelutan yang perlu diharunginya setiap hari.

Lelaki berusia 66 tahun itu mengalami serangan angin ahmar pada 2022 yang menyebabkannya separuh lumpuh. Beliau menghabiskan masa dua bulan di hospital, bergelut bukan sahaja dengan cabaran fizikal tetapi juga cabaran emosi.

"Saya sangat pesimis dan tertekan. Saya menghadapinya dengan sangat sukar selama dua bulan pertama," katanya.

Tetapi keadaan mula berubah menjadi lebih baik sejak Ogos tahun lalu apabila beliau dipilih untuk mengambil bahagian dalam percubaan yang melibatkan robot pemulihan baharu di Pusat Penuaan Aktif Lions Befrienders di Tampines.

Disifatkan sebagai yang pertama seumpamanya di dunia, Penolong Keseimbangan Robotik Berpandukan Data (DRBA) direka bentuk sedemikian rupa untuk membantu warga emas yang menghadapi cabaran mobiliti dengan menahan dan menyambut mereka sebelum mereka terjatuh.

Menggunakan sensor dan kecerdasan buatan (AI), robot ini dapat mengesan hilang keseimbangan serta-merta dan menyokong pengguna, di samping berpotensi mencegah kecederaan serius.

Ia telah dilancarkan semasa kelas Zumba bersama Encik Leow dan rakan-rakan warga emas yang sebaya dengannya pada Rabu (21 Jan), yang dihadiri oleh Anggota Parlimen GRC Tampines, Charlene Chen.

Sedang Singapura menuju ke arah masyarakat yang lampau usia, pembangun robot ini berharap robot tersebut dapat dilancarkan melalui kumpulan penjagaan masyarakat untuk menyokong pemulihan dan membantu warga emas kekal berdikari.

Bagi pengguna seperti Encik Leow, DBRA telah menjadi pembakar semangat. Dipasang dengan selamat pada peranti ini, beliau kini dapat mengambil bahagian dalam aktiviti berdiri dan juga menari dengan tenang.

Bagi penyedia penjagaan masyarakat, manfaatnya melangkaui keselamatan.

"DRBA membolehkan mereka turun dari mesin atau kerusi roda bermotor mereka, untuk dapat berdiri dan menyertai aktiviti berdiri. Jika tidak, mereka hanya terhad untuk melakukan Zumba dengan duduk di kerusi roda mereka, yang bermakna ia akan melemahkan lagi otot kaki," kata Cik Karen Wee, Pengarah Eksekutif Lions Befrienders.

MENJADIKANNYA LEBIH DIMAMPUI

Walau bagaimanapun, kemampuan masih menjadi cabaran utama.

Robot itu dianggarkan berharga sekitar S$90,000, menjadikannya sukar dimampui oleh kebanyakan individu dan kumpulan masyarakat.

Untuk menangani perkara ini, pasukan di sebalik penghasilannya - yang diketuai oleh penyelidik dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) - sedang meneroka model sewa untuk pertubuhan kesihatan masyarakat.

"Ia mestilah harga yang sanggup dibayar oleh warga emas, jadi kami menyasarkan mungkin S$30 hingga S$40 daripada poket mereka. Tetapi itu bukanlah kos sebenar," kata Profesor Madya Ang Wei Tech, Pengarah Pusat Penyelidikan Robotik, yang mencipta DRBA.

"Kos sebenar sepatutnya antara S$150 dan S$200 setiap sesi, jadi perbezaan itu mesti ditanggung oleh sumber lain. Adakah ia subsidi pemerintah? Adakah ia wang dermawan? Itu, kita perlu teroka.”

Beliau menambah bahawa perbincangan dengan agensi pemerintah boleh menyusul sebaik sahaja percubaan semasa tamat.

“Kita akan lihat saluran mana yang terbaik untuk kita mencadangkan rancangan ini kepada pemerintah. Kita tahu terdapat banyak dana untuk membolehkan warga emas bergiat aktif… Semoga kita berjaya melobi kepada pemerintah untuk menyokong usaha ini,” kata Prof Madya Ang.

Pasukan itu juga sedang dalam proses memohon kelulusan kawal selia.

Prof Madya Ang berkata pasukan itu ingin mendapatkan kelulusan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menjelang Jun, dan selepas itu mereka boleh menjual DBRA di Singapura.

Memandang ke hadapan, para penyelidik merancang untuk membangunkan versi robot yang lebih kecil untuk kegunaan di rumah pada akhir tahun ini, berpotensi melanjutkan dan memperluaskan manfaatnya di luar pusat masyarakat dan ke rumah warga emas.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita