Skip to main content

Singapura

Penyelidik lelabah, Edible Garden City antara 5 pemenang Anugerah Presiden bagi Sekitaran

Seorang penyelidik yang meluangkan masa berdekad-dekad lamanya untuk mengkaji labah-labah serta kumpulan pertanian bandar, Edible Garden City, adalah antara lima penerima Anugerah Presiden bagi Sekitaran. 

Anggaran Waktu Membaca:
Penyelidik lelabah, Edible Garden City antara 5 pemenang Anugerah Presiden bagi Sekitaran

Encik Joseph K H Koh diiktiraf dalam kategori individu atas sumbangannya kepada program biodiversiti Singapura. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 30 Sep 2021 10:30AM Dikemas Kini : 30 Sep 2021 10:31AM

SINGAPURA: Seorang penyelidik yang meluangkan masa berdekad-dekad lamanya untuk mengkaji labah-labah serta kumpulan pertanian bandar, Edible Garden City, adalah antara lima penerima Anugerah Presiden bagi Sekitaran.

Disampaikan oleh Presiden Halimah Yacob di Istana pada Rabu (29 Sep), anugerah dwitahunan itu adalah penghargaan tinggi Singapura kepada individu, pertubuhan dan institusi pendidikan yang membuat sumbangan yang besar kepada kelestarian alam sekitar di negara ini.

Tiga penerima lain tahun ini adalah Sekolah Tinggi Perempuan Nanyang, DBS Bank dan PSA Corporation.

Kesemua penerima itu dipilih daripada 69 pencalonan dalam tiga kategori, menurut Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) dalam satu kenyataan media.

“Lima juara alam sekitar ini memberi inspirasi bagaimana rakyat Singapura boleh menyumbang kepada pembangunan mampan dan membantu menggalak amalan-amalan mesra alam yang baik di kedua-dua dalam serta luar pertubuhan mereka," menurut MSE.

SOKONGAN BAGI PROGRAM BIODIVERSITI

Encik Joseph K H Koh diiktiraf dalam kategori individu atas sumbangannya kepada program biodiversiti Singapura.

Terlatih dalam bidang zoologi, beliau meluangkan beberapa dekad mengkaji lelabah dan membuat sumbangan penting kepada pengetahuan mengenai labah-labah Singapura dan Kalimantan.

“Bersama-sama satu pasukan ahli araknologi baru yang dilatihnya, Encik Koh mencatatkan lebih 800 spesies lelabah di Singapura," tambah MSE.

Beliau juga mengikrarkan koleksinya sebanyak lebih 12,000 spesimen kepada Muzium Sejarah Alam Semula Jadi Lee Kong Chian.

Encik Koh juga menyumbang kepada Tinjauan Biodiversiti Menyeluruh Hutan Simpanan Bukit Timah dari 2014 hingga 2018. Beliau juga adalah pengerusi kumpulan masyarakat 'Friends of Bukit Timah Forest'.

PERTANIAN BANDAR

Edible Garden City, antara perintis bagi pertanian bandar di Singapura, sudahpun menjadi pejuang bagi hasil tanaman tempatan dan menghijaukan ruang-ruang yang kurang dimaanfaatkan.

“Sehingga kini, Edible Garden City sudahpun mempunyai 80 pekebun bandar, menyumbang kepada penerbitan akademik dan berjaya menanam varian tanaman baru yang dibekalkan ke restoran serta pengguna tempatan," tambah MSE.

Sebagai sebahagian daripada gerakan Tanam Sendiri Makanan Anda atau 'Grow Your Own Food' sejak 2012, Edible Garden City sudahpun mewujudkan 260 kebun makanan daripada ruang-ruang yang kurang dimanfaatkan.

Edible Garden City juga akan mewakili Singapura di Ekspo Dunia Dubai.

Ia dipelawa untuk mempamerkan huraian ladang tertutupnya di bawah inisiatif Amalan Terbaik Ekspo Global. Inisiatif itu memaparkan projek-projek yang menyediakan intervensi berkesan lagi mampan yang boleh diperluaskan dan dicipta semula di negara-negara lain di dunia.

KEHIDUPAN MAMPAN, KURANGKAN PELEPASAN KARBON

Sekolah Tinggi Perempuan Nanyang, penerima anugerah dalam kategori institusi pendidikan, "secara giat menggalak para pelajarnya supaya mendakapi kehidupan yang mampan", menurut MSE.

“Sekolah itu mempunyai sebuah majlis pendidikan alam sekitar di mana guru-guru berganding bahu untuk menerapkan pendidikan alam sekitar ke dalam kurikulum serta bidang lain selagi boleh," tambahnya.

Pengetua Ng Chuen-Yin berkata beliau berharap para pelajar boleh menjadi "ejen perubahan" dalam menggalak amalan-amalan mampan.

“Selain menyepadukan pendidikan alam sekitar ke dalam kurikulum kami, kami menumpukan kepada usaha membangunkan sebuah budaya sekolah yang tertumpu kepada mengurangkan sisa serta menggalak kitar semula."

Bagi DBS Bank, ia "menonjolkan kepimpinan" dalam sektor pembiayaan mampan, menurut MSE.

Bank itu komited untuk secara beransur-ansur berhenti memberi pembiayaan kepada sektor dengan pelepasan karbon yang tinggi. Ia juga giat mengejar peluang menyediakan pembiayaan dalam sektor-sektor tenaga mampan dan boleh diperbaharui, tambah kementerian itu.

Penerima kelima, PSA Corporation, “sudah membuat sumbangan besar untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam operasinya, meningkatkan pengurusan tenaga dan menyumbang kepada usaha industri maritim untuk mengurangkan pelepasan karbon," menurut MSE.

Ia menarik perhatian syarikat itu melabur dalam inovasi. Projek-projek termasuk sistem pengurusan grid bijak berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta sistem penyimpanan tenaga bateri untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga.

Ketika mengucapkan tahniah kepada para pemenang, Presiden Halimah berkata: "Sungguh memberangsangkan untuk melihat keazaman dan komitmen daripada pelbagai lapisan masyarakat kita dalam usaha melindungi dan memulihara alam sekitar serta persekitaran kehidupan kita.

"Dengan usaha mereka, kami mengambil langkah-langkah maju ke hadapan dalam perjalanan Singapura menuju pembangunan mampan. Setiap penduduk mempunyai peranan sedang kita menangani ancaman perubahan iklim yang semakin meningkat. Saya berharap lebih ramai individu dan pertubuhan akan mencedok inspirasi oleh para pemenang untuk turut menyumbang ke arah Singapura yang lebih mampan serta berdaya tahan terhadap iklim untuk generasi akan datang." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita