Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penyelidik bangunkan permainan bantu kanak-kanak ADHD

Permainan yang menggalakkan penumpuan itu direka khas bagi kanak-kanak yang mempunyai kecelaruan hiperaktif kurang daya tumpuan (ADHD), sejenis masalah pembangunan neuro yang dicirikan oleh kelakuan hiperaktif dan kesukaran menumpukan perhatian.

Anggaran Waktu Membaca:
Penyelidik bangunkan permainan bantu kanak-kanak ADHD

Permainan CogoLand dibangunkan sebagai satu percubaan rintis bantu rawatan ADHD (Gambar: Neeuro)

Diterbitkan : 21 Nov 2019 09:06AM Dikemas Kini : 21 Nov 2019 09:12AM

SINGAPURA: Seorang kanak-kanak memakai lilit kepala kelihatan sedang bermain permainan bernama CogoLand. Namun apabila diperhatikan, kanak-kanak itu tidak menggunakan jari-jarinya untuk menggerakkan watak dalam skrin tablet.

Sebaliknya, beliau menggunakan gelombang otaknya, diproses dengan bantuan lilit kepala itu untuk berbuat demikian. Pergerakan watak itu bergantung kepada tahap penumpuan kanak-kanak tersebut.

"Permainan ini dikawal dengan menganalisis gelombang otak kanak-kanak untuk mengesan tahap penumpuan mereka. Lebih tinggi tahap penumpuan, lebih pantas watak itu bergerak," kata konsultan kanan merangkap timbalan ketua Jabatan Psikiatri Pembangunan di Institut Kesihatan Mental (IMH), Dr Lim Choon Guan.

Permainan yang menggalakkan penumpuan itu direka khas bagi kanak-kanak yang mempunyai kecelaruan hiperaktif kurang daya tumpuan (ADHD), sejenis masalah pembangunan neuro yang dicirikan oleh kelakuan hiperaktif dan kesukaran menumpukan perhatian.

PROGRAM RINTIS DI RUMAH

Ia merupakan program perintis yang dilancarkan bulan lalu melibatkan 20 kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun yang menerima rawatan bagi ADHD di IMH. Menurut Dr Lim, percubaan itu dijangka diadakan sekurang-kurangnya selama setahun.

Penggunaan CogoLand untuk melengkapi rawatan ADHD adalah hasil kerjasama antara IMH, Sekolah Perubatan Duke-NUS dan Institut Kajian Infokom A*STAR. Neeuro, sebuah syarikat diasaskan A*STAR, adalah satu-satunya pemegang lesen teknologi itu.

Penasihat saintifik kepada Neeuro, Profesor Guan Cuntai, menjelaskan bahawa teknologi itu boleh secara tepat menilai tahap penumpuan seseorang pada waktu nyata dan membangunkan program latihan diperibadikan.

KONDISI ADHD LAZIM DALAM KALANGAN KANAK-KANAK

Dr Lim berkata ADHD adalah salah satu keadaan pembangunan paling lazim dalam kalangan kanak-kanak, dan disifatkan sebagai antara keadaan yang membawa kesan paling besar di kalangan kanak-kanak di Singapura berusia di bawah 14 tahun.

Sejak 2014, sekitar 500 pesakit baru didiagnos mempunyai ADHD setiap tahun di Klinik Panduan Kanak-Kanak IMH, tambah beliau.

Meskipun jumlah orang di Singapura yang mempunyai ADHD tidak diketahui, perangkaan antarabangsa menganggarkan sekitar 5 peratus orang mempunyai kondisi itu, kongsi Dr Lim.

Tanda-tanda ADHD biasanya boleh dikesan pada masa kanak-kanak dan akan kekal meskipun ada kemungkinan keadaan mereka akan lama-kelamaan bertambah baik beberapa tahun kemudian.

Sehingga 80 peratus kanak-kanak dengan ADHD terus mengalaminya sehingga peringkat awal dewasa.

KONDISI PERLU DIURUS

Meskipun menunjukkan hasil "memberangsangkan", ahli psikiatri di Hospital Gleneagles Dr Lim Boon Leng yang juga telah merawat kanak-kanak dengan ADHD berkata di peringkat antarabangsa, hasil program-program seumpama itu tidak begitu baik.

Beliau berkata hubung kait antara gelombang otak dengan penumpuan tidak begitu kuat. Beliau turut mempersoalkan sama ada kemajuan yang dilihat pada kanak-kanak itu semasa bermain boleh diperluaskan ke aspek-aspek kehidupannya yang lain dan dan sama ada perubahan itu berkekalan.

Dr Lim dari IMH pula berkata, pendekatan berbilang disiplin adalah paling berkesan, merangkumi campur tangan psikologi dan psiko-sosial serta perubatan bagi kanak-kanak yang mengalami ADHD lebih teruk.

Menetapkan rutin seharian juga penting untuk menguruskan ADHD, katanya.

Oleh kerana kanak-kanak yang mengalami ADHD sering kali berasa seolah-olah tidak berupaya melakukan sesuatu dengan betul atau baik, membantu mereka untuk mengalami kejayaan dengan mengenal pasti kekuatan mereka akan memupuk keyakinan dan keupayaan mereka.

Sumber : CNA/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa