Skip to main content

Singapura

Penyelia tapak binaan dipenjara ambil rasuah S$50,500 dari subkontraktor BTO

Anggaran Waktu Membaca:
Penyelia tapak binaan dipenjara ambil rasuah S$50,500 dari subkontraktor BTO

Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar fail: CNA/Calvin Oh)

SINGAPURA: Seorang penyelia tapak binaan yang menyelia kontraktor dan subkontraktor dalam satu projek flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di Sengkang meminta wang rasuah berjumlah S$50,500 daripada subkontraktor sebagai pertukaran untuk tidak menahan kelulusan bagi kerja yang dilakukan mereka.

Seow Koon Thong dijatuhi hukuman penjara 20 bulan pada Khamis (29 Dis) dan diperintahkan membayar denda S$50,000.

Seow, yang meletak jawatan tahun lalu, mengaku bersalah atas empat tuduhan meminta wang rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah.

Lima lagi tuduhan dipertimbangankan semasa hukuman dijatuhkan.

Mahkamah mendapati Seow memilik diploma keselamatan dan kesihatan pekerjaan daripada Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) dan bekerja dengan Surbana Site Supervisors sebagai pegawai teknikal atau penyelia tapak.

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) memeterai satu perjanjian bersama Surbana Jurong Consultants pada 2017 untuk mendapatkan khidmat perundingan bagi projek BTO Rivervale Shores di Sengkang.

Seow ditugaskan sebagai ketua pegawai teknikal di projek Rivervale itu. Dia mengawasi kerja-kerja kontraktor dan subkontraktor di kesemua 16 flat HDB dalam projek tersebut yang bermula pada Jun 2018.

Tanggungjawabnya termasuk mengawasi 10 pegawai teknikal yang juga mengawasi kerja-kerja kontraktor dan subkontraktor yang lain, memastikan kerja-kerja tersebut berjalan dengan lancar dan mengikut piawaian HDB.

Pada hujung 2018, Seow mencadangkan kepada seorang pengarah dari salah satu syarikat subkontrak untuk "bekerjasama". Ini bermaksud, pengarah itu, Ang Sek Chai, perlu membayar Seow supaya Seow tidak meluahkan sebarang rasa tidak puas hati ketika menilai kerja yang dilakukan oleh syarikat Ang.

Ang memahami apa yang dimaksudkan oleh Seow dan bersetuju melakukan demikian kerana rasa dipaksa oleh Seow. Ang bimbang jika dia tidak bersetuju, Seow akan menangguhkan kerjanya dengan menahan kelulusan kerja tersebut.

Ia akan menyebabkan kenaikan kos tenaga kerja untuk membuat semula kerja tersebut. Subkontraktor juga akan dikenakan denda oleh kontraktor utama atas sebab lewat menyelesaikan pekerjaan.

Seow menerima wang berjumlah S$14,500 sebanyak enam kali antara November 2018 dengan November 2019. Dia akan memberi peringatan kepada Ang melalui mesej teks supaya membuat bayaran.

Seow melakukan perkara yang sama kepada subkontraktor lain yang bersetuju untuk memberinya wang kerana mereka rasa tertekan dan takut kerja mereka dalam projek itu akan ditangguhkan.

Secara keseluruhan, Seow mengambil wang sebanyak S$50,500 dari tujuh subkontraktor. Dia membelanjakan S$15,450 untuk dirinya sendiri dan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) merampas baki wang apabila kes itu diketahui.

Pendakwa meminta hukuman penjara sekurang-kurangnya 20 bulan bagi Seow dan denda S$50,500 untuk membayar balik wang yang digunakannya.

Pendakwa juga berkata Seow sering mengambil wang rasuah dan subkontraktor dipaksa untuk mengikut kemahuannya.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita