Skip to main content

Singapura

Penyelia tajaka gelapkan S$78,000, dipenjara 23 bulan

Setelah terbaca tentang pelibatan Nuruljannah Ahmad dalam kes pecah amanah di tempat kerja sebelumnya, pengarah sebuah tajaka di Sengkang menjalankan audit dan mendapati bahawa wanita itu telah menyalahgunakan sejumlah S$78,423.

Anggaran Waktu Membaca:
Penyelia tajaka gelapkan S$78,000, dipenjara 23 bulan

Gambar hiasan sebuah tajaka (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 29 Jun 2021 06:23PM Dikemas Kini : 29 Jun 2021 06:25PM

SINGAPURA: Setelah terbaca tentang pelibatan Nuruljannah Ahmad dalam kes pecah amanah di tempat kerja sebelumnya, pengarah sebuah tajaka di Sengkang menjalankan audit dan mendapati bahawa wanita itu telah menyalahgunakan sejumlah S$78,423.

Pada Selasa (29 Jun), Nuruljannah, 34, mengaku bersalah atas dua tuduhan pecah amanah oleh seorang pekerja, dan dijatuhkan hukuman penjara 23 bulan oleh sebuah mahkamah daerah.

Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa Nuruljannah bekerja sebagai penyelia di tajaka Star Learners di 266 Compassvale Bow sejak Disember 2014, dan melakukan kesalahan tersebut ketika sedang disiasat dan didakwa atas kesalahan sebelumnya.

Laporan terhadapnya dibuat oleh pengarah pusat tersebut Cik Jessica Lim Lei Mei, pada 23 Februari 2016, kerana melakukan penyelewengan wang.

Sebagai penyelia pusat, Nuruljannah diberi kepercayaan untuk memungut bayaran yuran dan barang-barang lain daripada ibu bapa pelajar, yang membayar secara tunai atau cek.

Nuruljannah akan membawa pulang wang tunai dan cek untuk disimpan dengan selamat. Sebulan sekali, Cik Lim akan datang ke pusat itu untuk mengambil wang tersebut, menurut dokumen mahkamah.

Nuruljannah juga akan menyerahkan ringkasan catatan wang tunai dan cek yang dikumpul pada bulan itu kepada Cik Lim.

Cik Lim kemudian akan memeriksa wang tunai dan cek yang dikutip berdasarkan ringkasan yang diberikan. Nuruljannah juga akan mencatat kutipan tersebut dalam catatan pembayaran, yang harus ditandatanganinya.

Siasatan mendapati bahawa kesalahan itu dilakukan antara 4 Jan 2015 dengan 5 Februari 2016. Dalam tempoh itu, Nuruljannah tidak lagi mencatat dengan tepat jumlah wang tunai dan cek, yang diterima daripada ibu bapa, dalam ringkasan pembayaran yang disediakan.

Oleh itu, Cik Lim tidak mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena semasa beliau diberikan jumlah kurang daripada yang sepatutnya.

Dokumen mahkamah juga menyatakan bahawa ketika pelajar baru mendaftar, Nuruljannah tidak akan mendaftar nama mereka di sistem pusat, dan menyalahgunakan juga pembayaran pendaftaran tersebut.

Dengan menggunakan modus operandi ini, Nuruljannah dapat menggelapkan wang berjumlah S$78,423, yang dia gunakan untuk perbelanjaannya sendiri. Setakat ini, dia hanya membayar balik S$5,434.

Cik Lim tergerak untuk melakukan audit ke atas akaun Star Learner hanya setelah terbaca bahawa Nuruljannah juga telah menggelapkan wang majikannya sebelum ini, Kinderland Educare Services, dalam laporan akhbar yang diterbitkan pada 5 Februari 2016.

The Straits Times melaporkan bahawa Nuruljannah ketika itu adalah naib pengetua Kinderland Childcare Centre di Politeknik Republik apabila dia mencuri S$9,664 antara Januari hingga Mei 2014.

Nuruljannah didenda S$10,000 pada hari penerbitan laporan itu.

Sesiapa yang didapati bersalah atas kesalahan jenayah pecah amanah oleh pekerja boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun, atau denda, atau kedua-duanya.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita