Skip to main content

Singapura

Penyelia dijel 16 minggu; paksa pekerja jadi ‘kambing hitam’ atas kematian di tapak binaan

Seorang penyelia tapak binaan bagi syarikat ZAP Piling dihukum penjara 16 minggu atas kesalahan-kesalahan berkaitan dengan kematian di tempat kerja pada 9 Jun 2016, menurut kenyataan media Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Sabtu (13 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Penyelia dijel 16 minggu; paksa pekerja jadi ‘kambing hitam’ atas kematian di tapak binaan

(Gambar: Kementerian Tenaga Manusia)

Diterbitkan : 13 Apr 2019 01:47PM Dikemas Kini : 13 Apr 2019 01:50PM

SINGAPURA: Seorang penyelia tapak binaan bagi syarikat ZAP Piling dihukum penjara 16 minggu atas kesalahan-kesalahan berkaitan dengan kematian di tempat kerja pada 9 Jun 2016, menurut kenyataan media Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Sabtu (13 Apr).

Tay Tong Chuan dikenakan hukuman penjara lapan minggu di bawah Kanun Keseksaan kerana sengaja menghalang proses keadilan dengan mengarahkan seorang pekerja untuk mengaku bersalah berhubung kejadian yang membawa maut. Dia juga dihukum penjara selama lagi lapan minggu di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja kerana mengarahkan pekerjanya mengendalikan operasi kren 'crawler' tanpa permit untuk berbuat demikian.

Syarikat terlibat, ZAP Pilings, telah disabit kesalahan pada 3 Mei 2018 di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja berhubung kemalangan sama dan didenda S$290,000.

Mangsa, Arumugam Elango, disahkan mati di tempat kejadian akibat pelbagai kecederaan yang dialami ekoran insiden yang berlaku di tempat penyimpanan mesin yang terletak di 6 Kranji Link.

Mangsa meninggal dunia akibat terperangkap antara trek mesin memantak tiang dengan kelongsong cerucuk seberat 1.76 tan setiap satu. Cerucuk-cerucuk itu pula roboh setelah dilanggar oleh sebuah alat pengorek yang sedang diangkat oleh kren berkenaan.

Menurut MOM, Tay dan pengurus loji syarikat itu membuat keputusan untuk memaksa seorang pekerja bernama Mamun supaya mengaku bersalah atas kemalangan itu.

Encik Mamun enggan berbuat demikian dan sebaliknya merakam perbualan antara Tay dengan pengurus loji tersebut menggunakan telefon bimbitnya, tambah MOM.

Apabila Encik Mamun diberitahu bahawa beliau akan didakwa atas tindakan cuai yang membahayakan nyawa orang lain, beliau menyerahkan rakaman itu kepada para penyiasat MOM.

Menurut kenyataan MOM lagi: "Tay dan pengurus loji syarikat itu, yang tahu bahawa kemalangan itu akan disiasat oleh pihak berkuasa yang relevan, cuba menghalang proses keadilan dengan mengalihkan tumpuan kepada Mamun.

"Tay tidak menyaksikan kemalangan itu dan tidak mempunyai sebab yang munasabah untuk menuduh Mamun bertanggungjawab atas kemalangan itu. Dengan cuba menyuruh Mamun supaya mengaku bersalah, Tay turut bersubahat untuk menghalang proses keadilan. Akibat hasutan pengurus loji, Sumon, yang takut kehilangan pekerjaannya, dia juga memberikan keterangan palsu terhadap Mamun."

Encik Sebastian Tan, pengarah pemeriksa keselamatan dan kesihatan pekerjaan MOM berkata: "Tay, sebagai penyelia tapak binaan, bukan sahaja gagal memastikan persekitaran kerja yang selamat untuk pekerjanya semasa operasi mengangkat malah mengambil kesempatan daripada kedudukannya untuk cuba memutarbalikkan proses keadilan.

"MOM memandang serius terhadap hal ini dan akan mengusulkan hukuman penjara terhadap mereka yang membahayakan nyawa pekerja dan cuba menghalang proses keadilan."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita