Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penyelia bengkel Penjara Changi & 4 banduan didakwa seludup pil penenang

Anggaran Waktu Membaca:
Penyelia bengkel Penjara Changi & 4 banduan didakwa seludup pil penenang

Calvin Ang (berbaju hitam, memakai pelitup) di luar Mahkamah Negeri pada 18 Nov 2022. (Gambar: CNA/Hanidah Amin)

Diterbitkan : 18 Nov 2022 12:12PM Dikemas Kini : 18 Nov 2022 12:12PM
SINGAPURA: Seorang penyelia di bengkel Penjara Changi dan empat banduan didakwa pada Jumaat (18 Nov) atas kesalahan rasuah berhubung tuduhan menyeludup pil penenang ke dalam penjara.

Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) menyatakan pihaknya menerima maklumat pada awal Oktober 2021 bahawa Calvin Ang, seorang penjual yang bekerja sebagai penyelia di bengkel itu menyeludup pil Epam ke dalam penjara tersebut untuk para banduan.

"SPS menjalankan siasatan dalaman untuk mengenal pasti maklumat yang diterima dan segera membuat aduan polis," menurut satu kenyataan.

Ang kemudian dilarang masuk kawasan SPS dan banduan-banduan yang didakwa terlibat dalam kes itu diasingkan.

Beberapa pil yang diseludup itu ditemui selepas pemeriksaan di bengkel, bilik banduan dan kawasan umum, menurut SPS.

Enam pil mengandungi nitrazepam, ubat yang mempunyai kesan penenang yang digunakan dalam rawatan penyakit termasuk insomnia atau gangguan tidur.

Kes itu kemudian dirujuk ke Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) untuk siasatan lanjut.

TERIMA GANJARAN SECARA RASUAH

Ang yang berusia 39 tahun, seorang pekerja New Hope Food Industries pada masa itu, didakwa menerima rasuah berjumlah S$1,200 sebanyak lima kali daripada banduan Penjara Changi - Ismail Musun Mollah, Irees Rahman, Sidek Jamaludin dan Muhammad Shaifullah Ab Latif.

Kejadian itu berlaku antara September dengan Oktober 2021, menurut CPIB dalam kenyataan medianya.

Ang berdepan empat tuduhan rasuah. Ismail Musun Mollah berdepan dua tuduhan dan tiga banduan yang lain berdepan satu tuduhan.

Sesiapa yang didapati bersalah melakukan kesalahan rasuah boleh dipenjarakan sehingga lima tahun atau didenda sehingga S$100,000.

SPS menyatakan bahawa pihaknya mempunyai langkah keselamatan untuk memeriksa semua anggota dan barangan yang memasuki kawasan penjara.

"SPS mengamalkan pendekatan sifar toleransi terhadap penyeludupan barang ke dalam kawasan penjara. Semua orang termasuk penjual dan banduan, jika didapati bersalah, akan diuruskan sepenuhnya mengikut undang-undang," menurut SPS.
Sumber : CNA/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa