Skip to main content

Singapura

Penyedia latihan SkillsFuture dilarang guna khidmat pemasaran pihak ketiga

Penyedia latihan berdaftar di bawah SkillsFuture Singapura (SSG) tidak lagi dibenarkan untuk menggunakan khidmat pemasaran pihak ketiga mulai 1 Disember, menurut pengumuman agensi tersebut pada Rabu (8 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Penyedia latihan SkillsFuture dilarang guna khidmat pemasaran pihak ketiga

Pihak ketiga tidak lagi dibenarkan untuk menghubungi para pelajar secara langsung atau menggunakan data mereka mulai 1 Disember 2025. (Gambar fail: TODAY)

SINGAPURA: Penyedia latihan berdaftar di bawah SkillsFuture Singapura (SSG) tidak lagi dibenarkan untuk menggunakan khidmat pemasaran pihak ketiga mulai 1 Disember, menurut pengumuman agensi tersebut pada Rabu (8 Okt).

SkillsFuture, yang dilancarkan pada 2015, merupakan satu inisiatif pemerintah untuk menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan peningkatan kemahiran melalui kursus serta latihan. Warga Singapura berusia 25 tahun ke atas menerima kredit, bermula daripada S$500, yang boleh digunakan untuk kursus-kursus yang diluluskan.

Menurut SSG, langkah itu diambil susulan maklum balas orang awam mengenai ejen pihak ketiga yang menggunakan kaedah pemasaran yang “tidak wajar”.

Menurut SSG, terdapat pelajar yang berdepan dengan ejen pihak ketiga yang menawarkan ganjaran bagi menggalakkan pendaftaran kursus dan memujuk individu untuk menyertai kursus yang tidak sesuai dengan tahap kemahiran mereka.

Dalam beberapa kes, ejen pihak ketiga turut memujuk warga emas yang kurang mahir berbahasa Inggeris untuk mengambil kursus yang diajar dalam bahasa tersebut.

“Walaupun ia tidak berlaku secara meluas, SSG mengakui risiko lebih tinggi terhadap kemungkinan orang awam terdedah kepada salah tafsir, janji berlebihan atau pengaruh yang tidak wajar dengan pelibatan pihak ketiga,” menurut agensi itu.

SSG turut menimbulkan kebimbangan berhubung keselamatan data peribadi, dengan ejen pihak ketiga meminta maklumat individu bagi memudahkan proses pendaftaran kursus.

Larangan baharu itu bermakna penyedia latihan tidak dibenarkan lagi untuk menggunakan ejen pemasaran pihak ketiga untuk mempromosikan, mengiklankan atau memasarkan kursus mereka secara langsung kepada para pelajar.

Ejen-ejen tersebut juga dilarang berhubung secara langsung dengan para pelajar atau mengakses data mereka bagi tujuan pemasaran atau pendaftaran kursus.

Ini termasuk mendekati atau mengiklankan kursus kepada pelajar melalui interaksi bersemuka, panggilan telefon, aplikasi untuk menghantarkan mesej serta platform digital.

Selain itu, pihak ketiga juga tidak boleh membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan tentang kursus kepada pelajar, sama ada secara online, menerusi cetakan atau secara bersemuka.

Bagaimanapun, penyedia latihan masih dibenarkan untuk bekerjasama dengan SkillsFuture Queen Bees, Skills Development Partners dan perantara lain yang dilantik oleh SSG atau agensi pemerintah lain untuk mendekati kumpulan sasaran tertentu.

“Perantara seperti ini membantu memilih latihan yang relevan dan berkesan untuk kumpulan sasaran mereka, sambil mengumpulkan permintaan bagi penyedia latihan yang terlibat,” menurut SSG.

“Kerjasama seperti ini mungkin merangkumi aktiviti pemasaran dan promosi, yang kekal dibenarkan.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita