Penyedia khidmat korban S'pura tinjau luaskan pilihan, buka ladang ternakan luar negara bagi tangani gangguan
Syarikat-syarikat penyedia khidmat dan tempahan ibadah korban perlu sentiasa membuat persediaan bagi sebarang kemungkinan gangguan bagi membolehkan masyarakat Islam setempat terus melaksanakan ibadah tersebut sekira adanya hambatan.
Gambar ihsan: Zahid & Shah Group
SINGAPURA: Syarikat-syarikat penyedia khidmat dan tempahan ibadah korban perlu sentiasa membuat persediaan bagi sebarang kemungkinan gangguan bagi membolehkan masyarakat Islam setempat terus melaksanakan ibadah tersebut sekira adanya hambatan.
Beberapa kejadian yang boleh menjejas pelaksanaan ibadah korban di Singapura termasuklah wabak penyakit, bencana alam dan sekatan import.
Semasa tempoh penularan COVID-19 ini misalnya, tiada ternakan hidup diimport bagi ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha di Singapura.
Dari 2020 hingga 2022, ibadah korban menerusi masjid-masjid setempat dilaksanakan di Australia dan dagingnya kemudian dihantar ke sini.
Ini selain satu lagi pilihan yang ada untuk umat Islam Singapura iaitu untuk melakukan ibadah korban di luar negara.
"Perkara-perkara sedemikian kita tidak tolak. Ada kemungkinan berlaku masalah atau gejala atau wabak pada masa-masa akan datang dan kita perlu sentiasa bersedia untuk memikirkan Pilihan B dan Pilihan C dalam menghadapi cabaran-cabaran sedemikian, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Halal Hub Consultants, Ustaz Azmi Abdul Samad.
Anak syarikat beliau, Al-Qiblah International Consultants menyediakan khidmat tempahan korban di Indonesia dan Kemboja sejak tahun 2005.
Ustaz Azmi berpendapat para pemain industri mempunyai tanggungjawab memikirkan dan memastikan bekalan haiwan korban sentiasa ada dan mereka tidak hanya bergantung kepada bekalan yang ada sekarang.
Namun korban di luar negara juga mempunyai risiko tersendiri seperti kejadian banjir dan wabak di tempat ibadah korban dilakukan. Satu cara untuk mengatasinya adalah meluaskan pilihan.
Misalnya SMART Qurban oleh Zahid & Shah Group menambah dua lagi tempat iaitu Makkah dan Syria untuk pelaksanaan ibadah korban tahun ini menjadikan kesemuanya 11 tempat yang ditawarkan.
"Di industri korban era pandemik ini apa yang boleh kami lakukan adalah mengenal pasti bagaimana Singapura boleh memainkan peranan dalam industri korban pada masa yang akan datang. Gangguan pada rantaian bekalan bakal berlaku tetapi kita mungkin boleh berfikir bagaimana untuk mencari sumber-sumber baru, bagaimana untuk mencari peluang di dalam kesukaran itu," kata Encik Mohamed Shah Reza Mohamed Anuar, CEO Zahid & Shah Group yang menganjurkan ibadah korban sejak tahun 2018.
TINJAU KEMUNGKINAN LADANG TERNAKAN SENDIRI
Menurut Smart Qurban, jumlah tempahan haiwan korban semasa penularan meluas COVID-19 dua tahun lalu adalah lebih tinggi berbanding tahun ini.
Selain tiada pilihan untuk melakukan korban secara fizikal di masjid-masjid di sini, beliau percaya pandemik COVID-19 menyerlahkan lagi semangat memberi dalam kalangan warga Muslim setempat untuk membantu masyarakat di negara-negara yang lebih memerlukan. Ini mungkin menyumbang kepada jumlah tempahan lebih tinggi pada tempoh tersebut.
"Pada tahun ini kami menjangkakan sedikit penurunan, kerana ekonomi sudah lebih terbuka, rakyat Singapura sudah mula keluar negara jadi pada tahun ini kami jangkakan sedikit penurunan berbanding tahun-tahun ketika COVID tapi ini sesuatu yang kami jangkakan", kata Encik Shah Reza yang mendedahkan 90% haiwan korban yang ditawarkan syarikatnya sudah ditempah.
Berdepan dengan era gangguan sekarang ini para penganjur ibadah korban percaya permintaan khidmat korban di luar negara akan berterusan.
Lantaran itu, mereka juga meninjau kemungkinan untuk membuka ladang ternakan sendiri di luar negara bagi tujuan ibadah korban pada masa hadapan.
"Syarikat kami mungkin akan melabur di beberapa sektor dalam khidmat korban seperti mempunyai ladang kambing sendiri atau kami akan memperkuat infrastruktur teknologi kami seperti dalam talian," kata Encik Shah Reza yang syarikatnya menyediakan khidmat korban di beberapa negara termasuk Afrika, Timur Tengah dan Asia Tenggara.
"Kita juga perlu fikirkan jangka panjang bagaimana masyarakat Islam Singapura boleh ada ladang sendiri, sama ada kita nak adakan sendiri di Lim Chu Kang mungkin agak mahal dari segi kos, ataupun mungkin kita boleh membukanya di Johor Bahru," tambah Ustaz Azmi.
BANTU BINA EKONOMI MAMPAN SETEMPAT
Selain memenuhi permintaan umat Islam di Singapura, satu lagi perkara yang wajar diambil kira adalah kemampanan jangka panjang industri korban.
Selain kecekapan kos, ia diharap membantu pasaran tempatan mewujudkan persekitaran ekonomi yang berdaya tahan untuk menggantikan ternakan hidup mereka dengan haiwan ternakan yang lebih sihat.
Encik Shah Reza menjelaskan pihaknya tidak hanya menitikberatkan tentang penyembelihan haiwan ternakan itu sendiri tetapi juga bagaimana mereka membantu masyarakat di tempat yang mereka lakukan penyembelihan itu.
"Bagaimana kami memberi daya saing kepada penternak-penternak haiwan ternakan. Kami memberi mereka sedikit modal untuk melakukan sedikit perniagaan.
"Kami membeli haiwan-haiwan ternakan dan kami mengajar mereka bagaimana untuk menguruskan ladang-ladang yang lebih berkesan dengan cara-cara yang sesuai. Dari situ kami memastikan cukup bekalan dari tahun ke tahun. Secara tidak langsung ia memberi mereka peluang, bagaimana untuk mengendalikan ladang mereka sendiri, memberi mereka peluang pekerjaan kepada lelaki dan wanita di desa tersebut dan merancakkan sistem ekonomi di desa tersebut," jelas Encik Shah Reza.
ALU-ALUKAN PILIHAN
Tahun ini, 54 masjid di Singapura menawarkan khidmat ibadah korban yang akan dilakukan di Australia.
Daging korban akan diterbangkan ke sini untuk dibekukan dan diagihkan kepada para jemaah yang mendaftar.
Encik Shah Reza berharap selain melakukan ibadah korban di luar negara, masyarakat Islam di sini akan berpeluang untuk melakukan ibadah korban di dalam negara sekali lagi bila keadaan membenarkan.
"Masyarakat Islam Singapura suka untuk diberikan pilihan. Semestinya saya masih mengharapkan korban ternakan hidup dapat dilakukan di Singapura pada masa hadapan untuk memberi didikan kepada anak-anak kecil di mana syiar Islam dapat dikembangkan," kata Encik Shah Reza.
"Walaupun ramai jemaah yang melaksanakan ibadah korban di luar negara namun kita janganlah sampai berlaku satu ketika di mana korban langsung tidak dapat dilaksanakan dalam negara kita kerana ibadah korban adalah salah satu daripada syiar Islam," tambah Ustaz Azmi.
Bagi sohibul korban yang membuat pendaftaran dan tempahan menerusi masjid-masjid iaitu di bawah SalamSG Korban, pengagihan korban akan dilakukan bermula 14 Julai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.