Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penyedia khidmat jagaan paliatif pertingkatkan sokongan di rumah sedang kadar kematian di SG naik saban tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Dec 2022 07:34PM Dikemas Kini : 30 Dec 2022 10:25PM

SINGAPURA: Membolehkan para pesakit menjalani kehidupan dengan baik hingga penghujung hayat mereka. 

Para penyedia khidmat jagaan paliatif sedang berkejar dengan masa untuk memenuhi misi itu di tengah-tengah kadar kematian di Singapura yang kian meningkat sedang para penduduk semakin menua.

Antara usaha yang dijalankan termasuk mempertingkatkan sokongan di rumah dan melibatkan masyarakat. 

Pasukan Dover Park Hospice melawat para pesakit akhir hayat sekitar tiga kali sebulan. 

Tujuannya adalah untuk meningkatkan mutu kehidupan para pesakit dan membantu memenuhi hasrat terakhir mereka. 

Meningkatkan khidmat jagaan paliatif, terutamanya di rumah, menjadi keutamaan Kementerian Kesihatan (MOH).

Lebih ramai penduduk mahu menjalani saat-saat terakhir kehidupan mereka di rumah, namun 60 peratus orang masih meninggal dunia di katil hospital.

Singapura menyasar untuk mengurangkan perangkaan itu sebanyak 10 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang. 

Kadar kematian di Singapura kian meningkat. Sebanyak 5.8 kematian dicatatkan dalam kalangan setiap 1,000 penduduk pada tahun lalu - iaitu lebih tinggi berbanding lima kematian dalam kalangan setiap 1,000 penduduk pada 2019. 

Dover Park Hospice menyediakan khidmat jagaan kepada sekitar 750 pesakit setiap tahun, lebih tinggi berbanding 400 pesakit, dua tahun lalu.

Walaupun jagaan paliatif biasanya disediakan kepada para pesakit barah, rumah jagaan itu mahu menyediakan khidmat kepada para pesakit yang mengalami masalah kesihatan lain. 

Sepanjang tujuh tahun lalu, jumlah pesakit di Asisi Hospice meningkat empat kali ganda. 

Untuk memenuhi permintaan, ia kini menyasarkan pertambahan 15 peratus setiap tahun dalam khidmat jagaan bagi pesakit yang dimasukkan ke rumah jagaan itu, selain jagaan di rumah dan jagaan seharian. 

Ia juga menyediakan pelbagai jenis kegiatan untuk mendampingi kliennya.

Ini juga merupakan visi HCA Hospice Care, yang menyediakan khidmat kepada sekitar 3,600 pesakit setiap tahun. 

Pusat harian terbaru itu membolehkan para pesakit untuk menikmati kegiatan seperti rawatan kecantikan kuku dan menonton filem kegemaran mereka. 

Pusat itu juga bertujuan untuk memikat lebih ramai sukarelawan dan melengkapkan mereka dengan kemahiran seperti sokongan emosi. 

Sumber : CNA/AI/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan