Penyedia khidmat haiwan peliharaan ambil langkah tambahan demi keselamatan kucing
Penyedia khidmat dandanan haiwan mengambil langkah-langkah keselamatan tambahan berikutan beberapa kes penganiayaan haiwan peliharaan tahun ini.

(Gambar: Syawal Yusoff)
Tahun ini sahaja, sekurang-kurangnya sudah tujuh kes penganiayaan haiwan dilaporkan melibatkan penyedia khidmat haiwan peliharaan.
Pada Julai lalu, seekor anjing mati apabila lehernya terjerat tali di kedai pendandan haiwan.
Ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan para pemilik haiwan peliharaan.
CIRI-CIRI KESELAMATAN JADI KEUTAMAAN THE KITTY CORNER
Bagi kedai pendandan haiwan seperti The Kitty Corner, mereka faham keprihatinan itu dan mengambil beberapa langkah keselamatan tambahan.
Ini termasuk memasang kamera di kawasan mendandan.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Kita tidak boleh meninggalkan kucing itu bersendirian tanpa diawasi. Kedua kita tidak menggunakan gunting pada kucing itu. Ketiga kita harus pastikan kolar kucing atau tali kucing ditanggalkan sebelum sesi dandanan dimulakan untuk memastikan keselamatan kucing itu," kata Pengasas The Kitty Corner, Hanisah Jumali kepada wartawan Syawal Yusoff.
Setiap hari, mereka menerima sekitar 12 ekor kucing untuk didandan di kedai yang terletak di Blok 264 Tampines Street 21 itu.
Oleh itu, Cik Hanisah dan pasukannya juga menitikberatkan kebersihan untuk elak jangkitan seperti 'Ringworm'.
"'Ringworm' itu adalah kurap. Kurap kucing sangat berjangkit jadi boleh menjangkiti manusia juga. Bagi setiap kucing yang datang ke kedai kita, kita akan periksa dahulu. Jika kucing itu sakit, kita tidak akan menerima. Kita juga tidak akan campur satu kucing dengan yang lain," tambahnya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Suaminya, Encik Saffri Mohd yang juga mendandan kucing di kedai mereka itu berkongsi: "Masalah pertama yang sering saya hadapi ialah masalah pada telinga kucing dipanggil 'ear mites'. 'Ear mites' ini boleh berjangkit dari satu kucing ke satu kucing yang lain. Dari situ kita akan membersihkan telinga kucing itu dan kita akan menerangkan pada pemilik kucing untuk ke doktor haiwan untuk dapatkan rawatan."
Bergantung jenis dandanan yang dipilih, setiap sesi dikenakan bayaran antara S$60 hingga S$100.
Cik Hanisah juga berharap lebih ramai pemilik kucing akan mengambil berat ke atas kesejahteraan kucing-kucing mereka.
"Ada sesetengah kucing itu memerlukan lebih perhatian. Terutama kucing muda, tua atau kucing yang sakit yang memerlukan penjagaan kerap untuk membersihkan diri mereka dengan lebih baik.
"Kalau kita ingin menghantar kucing kita untuk didandan, kita boleh teman mereka untuk menurunkan tekanan atau supaya kucing itu berasa lebih terjamin. Dengan memberikan kucing itu jaminan adalah sangat penting terutama bagi kucing-kucing sensitif," ujar Cik Hanisah yang menasihatkan agar kucing didandan setiap enam minggu.
Pasangan itu juga berharap dapat menyediakan khidmat dandanan panggilan rumah ke rumah agar dapat memberi lebih kemudahan kepada para pemilik kucing.
"Ini adalah untuk pelanggan-pelanggan kita yang jauh atau jika mereka mempunyai kucing yang sensitif, kucing yang tua atau kucing yang sakit. Ini adalah sesuatu yang baik untuk kucing-kucing itu sebab kebanyakan kucing lebih selesa apabila ia didandan di dalam rumahnya," jelasnya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
KHIDMAT DANDANAN DARI RUMAH DAPAT SAMBUTAN
Selain di kedai, para pemilik haiwan peliharaan kini ada satu lagi pilihan yang kian mendapat sambutan.
Khidmat dandanan yang ditawarkan Encik Muhammad Noor Hasan dari Max Fur Grooming yang beroperasi dari rumahnya misalnya sudah habis ditempah sehingga hujung tahun.
Ia juga menjadi pilihan kerana si pemilik boleh berada di situ menemani dan memastikan keselamatan kucing-kucing mereka.
"Selalunya apabila saya hantar kucing, saya akan duduk sampai selesai sesi. Sebagai pemilik saya rasa lebih selamat dengan cara beliau mendandan kucing kita dengan teliti dan sabar," kata pelanggannya, Encik Jasni Rifaeh yang mula menghantar dua kucingnya ke situ sejak April.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Jika tidak, mereka boleh pantau menerusi TikTok Live seperti yang dilakukan Max Fur Grooming.
Encik Noor Hassan mendapat idea tersebut selepas menonton beberapa pendandan di luar negara melakukan serupa.
"Pelanggan pasti suka dapat menonton sesi dandanan secara langsung sebab kebanyakan pelanggan tidak dapat melihat ketika kucing mereka didandan. Pelanggan saya dapat melihat secara 'LIVE' menerusi penstriman TikTok.
"Mereka dapat mengetahui adakah kucing mereka itu garang, manja, pendiam ataupun bising. Keselamatan yang harus saya ambil perhatikan ialah keselamatan mereka seperti menggunakan gunting, sikat dan pemotong kuku. Juga pada masa yang sama, kita tahu kucing ada kadar tekanannya," kata Encik Muhammad Noor Hasan, yang sudah mendandan lebih 400 kucing sejak mula menawarkan khidmat itu setahun lalu.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Selain para pemilik, siaran TikTok LIVE itu juga ditonton ratusan pengguna lain kerana beliau berkongsi tip dan nasihat penjagaan kucing.
Usahanya itu juga mendatangkan hasil apabila menerima ganjaran wang daripada para penonton yang bermurah hati.
Selain warga tempatan, ada juga penonton dari Eropah dan Amerika Syarikat.
"Ada juga yang ingin menghantar pada saya daripada luar negeri tapi saya katakan saya tidak boleh melakukannya. Untuk menerima kucing dari luar negeri itu bukan mudah," ujarnya.
Selain pujian dan kata-kata rangsangan bagi usahanya itu, beliau juga ada menerima tohmahan dan kritikan.
Namun demikian beliau bersikap positif dan akan terus memperjuangkan minatnya itu.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Mereka selalu akan mencari kesilapan saya tapi bagi saya, saya tahu apa saya buat. Penonton ini selalunya berikan saya semangat. Selagi saya ada minat, saya akan terus mendandan kucing," ujar Encik Muhammad Noor.
Selain itu, Encik Noor Hasan juga sentiasa mengikuti latihan dandanan dalam dan luar negara untuk meraih ilmu baharu bagi memastikan keselamatan haiwan-haiwan yang dibersihkan.
Beliau juga ada merancang untuk sertai satu kursus 'CPR' untuk menyelamatkan haiwan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.