Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penyanyi, pelakon Aliff Aziz dipenjara 2 minggu, didenda $500

Aliff kelihatan tenang semasa Hakim Victor Yeo menjatuhkan hukuman tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mahkamah Negara hari ini (15 Sept) mengenakan hukuman penjara dua minggu dan denda $500 ke atas pelakon dan penyanyi Aliff Aziz, bagi kesalahan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam dan mencuri.

Aliff kelihatan tenang semasa Hakim Victor Yeo menjatuhkan hukuman tersebut.

Di mahkamah, Aliff, yang berpakaian serba hitam, ditemani oleh ibu, bapa dan salah seorang adik perempuannya.

Menurut Hakim Yeo beliau menimbangkan beberapa perkara, termasuk luahan rasa menyesal oleh Aliff, keadaan peribadi yang menyebabkan Aliff melakukan kesalahan.

"Saya juga tahu bahawa Aliff memberikan kerjasama yang baik kepada polis dan sudahpun membayar sepenuhnya wang yang dicuri. Alif juga menyatakan hasratnya untuk terus menyumbang kepada masyarakat," kata Hakim Yeo.

Menurut laporan pemeriksaan psikiatri yang dijalankan ke atas Aliff, pakar yang memeriksa menyatakan bahawa pelakon tersebut memang mengalami masalah psikologi pada waktu kejadian.

Aliff menjalani pemeriksaan psikiatri antara tahun 2014 dengan 2019 di beberapa hospital, termasuk di Institut Kesihatan Mental (IMH). Sekalipun demikian, keadaan yang dialaminya hanyalah "ringan" dan tidak mempengaruhi tindakannya pada ketika itu. Maka, Arahan Rawatan Mandatori (MTO) "tidak disarankan".

MTO bermakna pesalah tidak menjalani hukuman penjara tetapi menjalani rawatan psikiatrik wajib.

Menurut laporan itu lagi, Aliff pernah disabit kesalahan mencuri pada tahun 2014 dan dikenakan denda sebanyak $2,000. Bermakna, ini bukan kali pertama Aliff menyalahi undang-undang.

Lantaran itu bagi kesalahan mencuri di sebuah hotel, yang membawa hukuman mandatori, Hakim Yeo menjatuhi hukuman penjara dua minggu.

Bagi kesalahan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam pula, Aliff kenakan denda $500.

Selepas penghakiman selesai, menerusi peguamnya, Encik Murali Pillai, Aliff meminta masa lima hingga 10 minit untuk bersama keluarga dan mengucapkan selamat tinggal sebelum dibawa pergi oleh polis.

MENGAKU BERSALAH PADA 7 OGOS, JALANI PEMERIKSAAN PSIKIATRI

Aliff terlebih dahulu pada 7 Ogos lalu, sudahpun mengaku bersalah atas dua tuduhan - iaitu mencuri dan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam. Manakala satu lagi pertuduhan diambil dalam pertimbangan.

Hakim kemudian mengarahkan Aliff dirujuk ke IMH untuk menjalani pemeriksaan psikiatri untuk mengetahui sama ada Aliff boleh diletakkan di bawah Arahan Rawatan Mandatori (MTO).

Aliff Aziz di Mahkamah Negara pada 14 Sept. (Gambar: BERITAmediacorp)

Di bawah Arahan Rawatan Mandatori, pesalah yang didapati mengalami masalah psikiatri yang boleh dirawat akan diarahkan menjalani MTO sebagai ganti hukuman penjara.

CURI WANG AHLI POLITIK INDONESIA KERANA PERLU WANG

Berikut ini kronologi kes Aliff, yang pertama kali didakwa di mahkamah pada 3 September 2019.

Sekitar pukul 12.00 tengah malam pada 7 Jun 2019, Aliff bertemu dengan seorang pelakon dan ahli politik Indonesia bernama Raja Yunika Perdhana Putri , 32 tahun, di Hotel Studio M yang terletak di 3 Nanson Road.

Raja Yunika. (Gambar: Raja Yunika/Facebook)

Raja Yunika. (Gambar: Raja Yunika/Facebook)

Pertemuan itu bertujuan untuk mereka berbincang bagaimana Raja Yunika boleh membantu memperluaskan kerjaya nyanyian Aliff ke Indonesia.

Selepas berbincang, Raja Yunika naik ke tingkat dua biliknya, sekitar pukul 1.00 pagi untuk berehat. Beliau bagaimanapun meninggalkan begnya di tingkat satu bilik itu.

Semasa Raja Yunika berehat, Aliff membuka beg beliau dan mengambil wang sebanyak S$300 dan 1 juta rupiah (S$94), sebelum meninggalkan bilik tersebut.

Apabila Raja Yunika bangun kira-kira pukul 3.00 pagi beliau mendapati wangnya lesap. Beliau kemudian menelefon Aliff bertanyakan hal itu, namun Aliff tidak mengaku mengambil wang tersebut.

(Gambar: Facebook/Raja Yunika, Kiriman pembaca BERITAmediacorp)

(Gambar: Facebook/Raja Yunika, Kiriman pembaca BERITAmediacorp)

Raja Yunika kemudian membuat aduan polis.

Aliff akhirnya mengaku mencuri wang tersebut kerana dia memerlukan wang, yang kemudian digunakan untuk membeli makanan dan sebagai tambang pengangkutan.

Aliff sudahpun membayar balik wang sebanyak S$400 kepada Raja Yunika.

TERUS CETUS KEKECOHAN DI TEMPAT AWAM, MESKI DIARAH BERTENANG

Sekitar pukul 4.00 petang pada 10 November 2019, seorang pegawai polis yang juga saksi kes - Sarjan Lee Qi Theodore - tiba di Orchard Tower bersama rakan sejawatannya untuk menjalankan tugas.

Pada pukul 5.30 pagi, Lee terdengar bunyi bising.

Beliau kemudian ternampak Aliff, yang sedang dalam keadaan mabuk, menjerit-jerit serta menunjukkan isyarat tangan ke arah seorang individu lain. Kedua-duanya dikerumuni orang ramai, yang sebahagian daripadanya cuma untuk menenangkan keadaan.

(Gambar-gambar: Petikan daripada video di media sosial)

(Gambar-gambar: Petikan daripada video di media sosial)

Lee kemudian menghampiri Aliff dan menasihatinya agar bertenang. Aliff kemudian bertenang dan berlalu pergi.

Lee dan rakannya mengekori Aliff dari jauh untuk memastikan dia tidak mencetuskan kekecohan lagi. Bagaimanapun, sekitar pukul 6.25 pagi, Aliff mengulangi perbuatannya.

Aliff juga menghampiri sebuah teksi dan menendang bahagian kiri hadapan teksi tersebut. Namun tiada kerosakan berlaku pada teksi itu.

Meskipun Lee sekali lagi menyuruh Aliff bertenang, kali ini dia tidak menghiraukan arahan itu.

Aliff kemudian bertembung dengan seorang kenalannya dan berjalan bersama. Sekalipun demikian, Aliff dan kenalannya itu tiba-tiba bergelut dan mula saling menolak antara satu sama lain serta menjerit-jerit.

Lee dan rakannya kemudian menangkap Aliff. 

BELLA SUNTIK SEMANGAT DAN MOTIVASI BUAT ALIFF

Sementara itu, hanya beberapa jam sebelum tiba di mahkamah, Aliff memuat naik satu catatan di laman Instagramnya.

"Isteri saya kirimkan saya nota suara ini sebagai satu hadiah dan motivasi kepada saya sebelum saya menuju ke mahkamah sekejap lagi. Terima kasih banyak sayang," bunyi catatan tersebut yang ditulis dalam bahasa Inggeris.

Petikan gambar dari Instagram Aliff Aziz.

(Gambar: petikan dari Instagram Aliff Aziz)

Menerusi empat IG story, kedengaran suara isterinya Bella Astillah mendendangkan bait-bait lirik lagu Jangan Menyerah daripada kugiran Indonesia, D'Masiv.

Bait-bait lirik lagu itu seperti memberi Aliff semangat dan dorongan untuk terus bangkit setelah jatuh.

Aliff juga menggunakan hashtag #doakanyangbaikbaik dalam catatannya itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan