Penyanyi dan penulis lagu T:zi tampilkan karya lukisan bernilai hingga $12,000 dalam pameran solo pertama
Kalau dahulu beliau meluahkan perasaan dan pengalaman menerusi karya muzik, kini penyanyi dan penulis lagu Ahmad Tarmizi, atau lebih dikenali sebagai T:zi, berjinak-jinak pula dalam seni lukisan dan arca.
SINGAPURA: Kalau dahulu beliau meluahkan perasaan dan pengalaman menerusi karya muzik, kini penyanyi dan penulis lagu Ahmad Tarmizi, atau lebih dikenali sebagai T:zi, berjinak-jinak pula dalam seni lukisan dan arca.
Bahkan kini, orang ramai boleh menyaksikan lebih 20 hasil tangannya di satu pameran bernama ‘No Empty Canvases’ sehingga akhir bulan Julai ini.
Pameran solo pertama beliau itu menampilkan 25 lukisan cat minyak hasil tangannya.

Lukisan berjudul 'Berpijak Sang Kebenaran'
Antara lukisan yang ditampilkan berjudul Berpijak Sang Kebenaran, Cakar Langit dan Cahaya Lastri.
Bagi yang mahu membawa pulang lukisan-lukisan itu, mereka boleh membelinya pada harga antara $300 hingga $12,000.
Selain lukisan, T:zi juga mempamerkan tiga karya arca yang berjudul Martabat, Ranum dan Tujuh.
SENI LUKISAN SEBAGAI CARA LUAHKAN IDEA KEPADA MASYARAKAT
Walaupun dahulu dikenali sebagai seorang penulis lagu, bidang seni lukisan yang diceburinya sejak 2014 itu merupakan antara cara beliau meluahkan idea pemikirannya kepada masyarakat.

(Gambar: Facebook/T:zi)
"Lukisan dan muzik bagi saya perkara yang sama iaitu satu wadah bagi kita meluahkan apa yang di dalam dan menyampaikannya kepada masyarakat," kongsi T:zi.
Bagi anak seni berusia 42 tahun ini, menerusi seni lukisan, seseorang artis itu boleh mendekati bukan hanya masyarakatnya sendiri tetapi masyarakat lain juga.
"Apabila sesuatu karya itu bagus, bukan hanya masyarakat kita yang akan cuba mendekatinya, malah mereka dari bangsa dan kaum lain juga akan bertanya mengenai lukisan itu dan apa makna yang ingin disampaikan," kata beliau.

Meskipun tidak pernah mengikuti bengkel atau pendidikan rasmi dalam seni melukis, ia bukan suatu hambatan bagi T:zi mencipta nama dalam industri ini.
"Saya berseni secara sepenuh masa dan saya hidup dengan cara menjual lukisan dan bermain muzik. Walaupun saya tidak ada pendidikan dalam melukis tetapi saya cari pengalaman sendiri dan belajar sendiri cara-cara melukis," tambah beliau.
TONJOLKAN SENI RUPA ATAU 'ISM'

Bagi kurator pameran ini pula, Syed Muhd Hafiz, beliau cuba menonjolkan aspek seni rupa atau "ism" yang jarang diketengahkan dalam arena seni halus di Singapura.
Semestinya, menjayakan satu pameran bukan sesuatu perkara yang mudah. Menurut Encik Syed, pasukannya mengambil masa lebih dua bulan untuk membuat persediaan bagi menjayakan pameran berkenaan.
Ini termasuk menyediakan kandungan katalog pameran dan mencetaknya, serta menempah bingkai-bingkai buat lukisan.
Namun, segala cabaran yang perlu dihadapi mereka itu dapat diatasi dengan sokongan Art Outreach.

"Saya berterima kasih kepada Art Outreach kerana sudah memberi kami peluang untuk berkongsi idea-idea T:zi kepada orang ramai dan menyediakan satu ruang bagi pameran ini," ucap Encik Syed.
Harapannya kini adalah agar orang ramai datang mengunjungi pameran tersebut dan menikmati karya-karya seni yang ditampilkan.
"Kalau bukan rakyat Singapura sendiri, siapa lagi yang akan mengambil berat tentang artis Singapura bukan? Seperti saya selalu memberitahu orang ramai, salah satu cara untuk mengenali sesuatu masyarakat itu ialah melalui artis, seniman atau karya-karya yang dihasilkan mereka," kata Encik Syed.
Pameran itu akan berlangsung sehingga 30 Julai di Gillman Barracks.
Ia dibuka dari 11.00 pagi hingga 7.00 malam, dan orang ramai boleh menyaksikannya secara percuma.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.