Skip to main content

Singapura

Penyanyi Aspalela Abdulah meninggal dunia pada usia 79 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Penyanyi Aspalela Abdulah meninggal dunia pada usia 79  tahun
Diterbitkan : 08 Dec 2024 03:30PM Dikemas Kini : 08 Dec 2024 03:35PM
  • Penyanyi veteran, Aspalela Abdulah meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sekitar pukul 10.00 pagi Ahad (8 Dis).
  • Menurut cucu Allahyarham, Puteri Wan Nur Izzati Azhari, dia dan ahli keluarganya menyedari neneknya terjatuh semasa bangun menunaikan solat Subuh.
  • Allahyarham Aspalela tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan yang serius, sebaliknya, neneknya mempunyai masalah darah tinggi dan kolestrol yang terkawal.
  • Pernah meraih juara Bintang Radio 1968, Allahyarham Aspalela merupakan penyanyi lagu-lagu Melayu asli yang sangat disegani ramai.
Dijana oleh AI

KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran, Aspalela Abdulah meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sekitar pukul 10.00 pagi Ahad (8 Dis).

Allahyarham yang bakal genap usia 80 tahun pada 30 Januari depan sebelum itu jatuh dalam bilik air di kediamannya di Taman Melati, ibu negara.

Menurut cucu Allahyarham, Puteri Wan Nur Izzati Azhari, dia dan ahli keluarganya menyedari neneknya terjatuh semasa bangun menunaikan solat Subuh, lapor Astro AWANI.

“Mungkin nenek terjatuh ketika mahu membersihkan diri untuk menunaikan solat Subuh.

“Sebaik melihat keadaan nenek, kami segera menghubungi ambulans dan membawanya ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.

“Namun, doktor memaklumkan nenek meninggal dunia sekitar pukul 10.00 pagi tadi,” kata Nur Izzati ketika dihubungi Astro AWANI.

Nur Izzati berkata, sepengetahuannya, Allahyarham Aspalela tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan yang serius, sebaliknya, neneknya mempunyai masalah darah tinggi dan kolestrol yang terkawal.

Kata Nur Izzati, dari HKL, jenazah neneknya akan dibawa ke Masjid Salahuddin al-Ayubi, Taman Melati, Kuala Lumpur, sebelum dijangka dikebumikan selepas solat Asar kelak.

Pernah meraih juara Bintang Radio 1968, Allahyarham Aspalela merupakan penyanyi lagu-lagu Melayu asli yang sangat disegani ramai.

Sepanjang bergelar penyanyi, Allahyarham pernah merakamkan lima buah abum.

Allahyarham Aspalela menikahi bintang filem terkenal, Raja Ismail Raja Saat dan melalui pernikahan itu, pasangan tersebut dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Bagaimanapun, anak bongsu Allahyarham Aspalela dan Raja Ismail menghembuskan nafas terakhir beberapa tahun lalu, menurut laporan AWANI.

Allahyarham Aspalela juga mempunyai tiga orang cucu.


Selepas tidak lagi aktif menyanyi, Allahyarham Aspalela memberi tumpuan kepada aktiviti marhaban dan bacaan Yassin bersama-sama Kumpulan Artis Wanita Malaysia (KAWAN).

Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita