Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penyambut tamu hotel dijel, berulang kali masuk kerja meski diberi MC semasa 'circuit breaker'

Selepas seorang tamu yang disahkan positif COVID-19 mengunjungi tempat kerjanya, Chan Foo Mun, yang bertugas sebagai penyambut tamu itu disuruh jangan datang kerja jika diberi sijil cuti sakit (MC).

Anggaran Waktu Membaca:
Penyambut tamu hotel dijel, berulang kali masuk kerja meski diberi MC semasa 'circuit breaker'

Gambar: Petikan skrin dari Google Maps

Diterbitkan : 10 Aug 2021 05:14PM Dikemas Kini : 10 Aug 2021 05:22PM

SINGAPURA: Selepas seorang tamu yang disahkan positif COVID-19 mengunjungi tempat kerjanya, Chan Foo Mun, yang bertugas sebagai penyambut tamu itu disuruh jangan datang kerja jika diberi sijil cuti sakit (MC).

Namun selepas diberi MC kerana mengalami batuk dan selesema, Chan tetap melaporkan diri ke tempat kerjanya di J8 Hotel di kawasan Lavender kerana mahu menerima gaji.

Pegawai penguatkuasa dari Kementerian Kesihatan (MOH) datang ke tempat kerjanya dan memberitahu Chan agar tidak keluar dari flatnya di Ang Mo Kio sepanjang tempoh MC lima hari yang diberi. Bagaimanapun, dia meninggalkan rumahnya pada keesokan hari untuk membeli makanan di sebuah pusat penjaja.

Chan, yang akhirnya tidak diuji positif bagi koronavirus, dijatuhi hukuman penjara lapan minggu pada Selasa (10 Ogos).

Warga Singapura berusia 44 tahun itu mengaku bersalah di sebuah mahkamah daerah atas dua tuduhan melanggar Akta Penyakit Berjangkit. Lima lagi tuduhan serupa diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Chan melakukan kesalahan-kesalahan tersebut pada April tahun lalu. Pada masa itu, Singapura berada dalam tempoh pemutus rantaian jangkitan yang membataskan pergerakan dan kegiatan-kegiatan demi mengekang penularan COVID-19.

Individu yang ke klinik dan menunjukkan gejala jangkitan pernafasan akut perlu menjalani ujian swab COVID-19 dan duduk di rumah sepanjang tempoh lima hari.

Pada Januari tahun lalu, hotel butik di mana Chan bekerja menerima tetamu yang didapati positif COVID-19. Hotel itu kemudian memperkenalkan peraturan di mana anggota kakitangan yang kurang sihat perlu berjumpa doktor dan mereka yang diberi MC harus duduk di rumah.

TIDAK PAKAI PELITUP SEMASA PULANG KE RUMAH

Pada 19 April tahun lalu, Chan telah pergi ke cawangan Care Family Clinic berdekatan tempat kerjanya.

Dia memberitahu doktor bahawa dia batuk tidak henti-henti dan hidung tersumbat selama dua tiga hari.

Setelah diperiksa, doktor meminta Chan tunggu di luar untuk mendapatkan MC dan ubat. Namun Chan meninggalkan klinik tanpa membayar dan langsung ke tempat kerjanya. Dia terus melaporkan diri di tempat kerja selama tiga hari dan sengaja tidak memberitahu penyelia atau rakan-rakan kerjanya bahawa dia telah diberi MC.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Kenneth Kee memberitahu mahkamah: "Tertuduh melakukan demikian kerana "ia menyusahkan"; tertuduh maklum tentang dasar hotel yang telah dikuatkuasakan dan tidak mahu gajinya dipotong kerana tidak dapat bekerja."

Sehari selepas menemui doktor, Chan meninggalkan rumahnya selama hampir setengah hari, untuk membeli makanan dan menaiki pengangkutan awam. Rakaman sistem televisyen litar tutup juga menunjukkan dia tidak memakai pelitup ketika di lobi lif rumahnya.

Pada 22 April, dua pegawai kementerian kesihatan pergi ke tempat tinggal Chan untuk bertanya tentang kunjungannya ke klinik tiga hari sebelumnya.

Dokumen mahkamah tidak menyatakan bagaimana pelanggaran-pelanggaran itu terbongkar.

DPP Kee meminta hukuman penjara sekurang-kurangnya tiga bulan, dengan berhujah bahawa Chan "melakukan tindakan secara sengaja" yang "tidak mempedulikan kesihatan awam dan keselamatan orang lain".

Dalam menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Jasvender Kaur berkata beliau tidak dapat menerima hujah peguam bela Cory Wong bahawa Chan tidak berkelakuan cuai.

Beliau menambah: "Meski saya maklum bahawa pelanggaran-pelanggaran itu tidak dilakukan atas sebab-sebab remeh dan dia bimbang tentang pendapatannya, ini mesti dipertimbangkan dengan fakta bahawa dia telah didiagnos dengan simptom pernafasan akut di tengah-tengah pemutus rantaian jangkitan, dan dia bersedia mengutamakan keperluan peribadinya sebelum kesihatan individu lain yang bertemu dengannya."

Chan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau didenda sehingga S$10,000, atau kedua-keduanya, bagi setiap tuduhan melanggar peraturan COVID-19.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan