Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penyalaan lampu Hari Raya lambang permulaan baru, kemajuan dan harapan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kawasan Geylang Serai kembali bergemerlapan dengan cahaya hiasan lampu Hari Raya tahun ini.

Penyalaan hiasan lampu itu dirasmikan oleh Presiden Halimah Yacob dalam satu majlis di Wisma Geylang Serai (WGS) malam ini (17 Mac).

Yang jelas, suasana di sekitar Geylang Serai cukup meriah.

BERMULANYA KEMPEN #RAYAGEMILANG

Seawal pukul 6.00 petang tadi, orang ramai sudahpun berkumpul di kawasan WGS untuk menyaksikan sendiri penyalaan hiasan lampu Hari Raya tahun ini.

Ini sekali gus menandakan bermulanya kempen Ramadan dan Hari Raya WGS tahun ini yang dinamakan #RayaGemilang.

Tetamu kehormat Presiden Halimah Yacob merasmikan kempen tersebut di atas pentas.

Mereka turut diiringi para menteri, Anggota Parlimen Melayu dan para penasihat WGS.

Tema tahun ini ialah ‘Masyarakat Gemilang’ dan ia melambangkan bagaimana masyarakat Melayu/Islam maju sebagai sebuah masyarakat, bangkit semula daripada pandemik, dengan mempamerkan ciri-ciri 3K iaitu kemahiran, keperibadian dan kewarganegaraan.

LAMBANGKAN PERMULAAN BARU, KEMAJUAN DAN HARAPAN

Jalan-jalan raya dan bangunan sepanjang Geylang Road dan Sims Avenue juga akan bermandikan cahaya dengan motif yang sinonim dengan budaya Melayu termasuk bulan sabit dan bintang, lampu colok dan bunga-bunga berwarna-warni.

Menurut WGS, ia melambangkan permulaan yang baru, kemajuan dan harapan.

Orang ramai boleh terus nikmati hiasan lampu ini sehingga 30 April.

Presiden Halimah dan para tetamu lain juga dibawa menaiki bas terbuka dua tingkat Hippo untuk menikmati keindahan suasana di sekitar Geylang Serai yang bermandikan cahaya lampu hiasan Hari Raya.

Sementara itu, para tetamu dan orang ramai pula terus dihiburkan dengan persembahan daripada artis-artis seperti Imran Ajmain, Hetty Sarlene, Taufik Batisah dan juga, Ratu Irama Tradisional dari Malaysia, Noraniza Idris.
Sumber : BERITA Mediacorp/AI/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan