Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penyakit jantung punca wanita maut selepas 9 bulan divaksin COVID-19: Pusat jantung

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Jan 2022 07:58PM Dikemas Kini : 27 Jan 2022 08:59PM

SINGAPURA: Seorang wanita yang meninggal dunia sembilan bulan selepas mendapatkan dos kedua suntikan vaksin COVID-19 tidak melaporkan rasa kurang sihat atau mengalami sebarang reaksi alahan selepas menerima kedua-dua dos pada April tahun lalu, menurut dua pusat jantung di Singapura.

Kes itu dirujuk kepada koroner dan siasatan menunjukkan beliau meninggal dunia disebabkan oleh kelemahan otot jantung, menurut Pusat Jantung Universiti Nasional Singapura (NUHCS) dan Pusat Jantung Nasional Singapura (NHCS) dalam satu kenyataan bersama pada Rabu (26 Jan).

NUHCS dan NHCS menjelaskan demikian selepas beberapa catatan di media sosial mengaitkan kematian wanita itu dengan vaksinasi COVID-19.

Wanita tersebut dikenal pasti di media sosial sebagai peminat setia bola sepak Christina Rodrigues Seah yang berusia 30-an tahun.

Menjelaskan lebih lanjut, dua pusat jantung itu menyatakan wanita tersebut dimasukkan ke NUHCS kerana masalah jantungnya pada Julai 2021.

"Pada masa itu, vaksinasi COVID-19 tidak dikenal pasti sebagai penyebab langsung kegagalan jantungnya," kata dua pusat jantung itu dalam satu kenyataan di Facebook.

"Penyebab lain seperti faktor genetik juga dipertimbangkan dengan mengambil kira sejarah keluarganya."

Pada September, beliau menjalani imbasan jantung MRI, dengan keputusannya "menunjukkan penyakit otot jantung sebagai penyebab keadaannya yang tersembunyi".

Pada Disember, Cik Seah mendapatkan pandangan kedua dan rawatan bagi keadaan jantungnya di NHCS.

"Semasa dirawat di hospital, pasukan perubatan berbincang dengannya dan keluarga beliau mengenai cara untuk menguruskan dengan lebih baik keadaan jantungnya dengan pilihan implantasi pelbagai peranti," menurut kenyataan itu.

"Memandangkan pesakit memerlukan masa untuk mempertimbangkan pilihannya, satu janji temu susulan dijadualkan pada Januari 2022."

Bagaimanapun, beliau meninggal dunia sehari sebelum janji temu perubatan tersebut.

Liga Perdana Singapura dan masyarakat bola sepak lainnya menyiarkan ucapan takziah dan penghormatan secara online pada 13 Januari.

NHCS telah bertemu dengan keluarganya dan berbincang mengenai kebimbangan mereka.

“Kami sedih dengan pemergiannya dan ingin mengucapkan takziah sedalam-dalamnya kepada keluarga yang bersedih,” menurut kenyataan itu.

"Kami meminta pemahaman orang ramai untuk mengelak spekulasi atau penyebaran khabar angin yang boleh menambah kesedihan keluarga ini semasa tempoh sukar ini."
 

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan