Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penutupan sementara gelanggang bola sepak jalanan di Bedok North ekoran aduan bunyi bising cetus perbahasan hangat online

Anggaran Waktu Membaca:
Penutupan sementara gelanggang bola sepak jalanan di Bedok North ekoran aduan bunyi bising cetus perbahasan hangat online

Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY

Diterbitkan : 26 Dec 2023 11:23PM Dikemas Kini : 26 Dec 2023 11:24PM
SINGAPURA: Penutupan sementara gelanggang bola sepak jalanan di Blok 422 Bedok North Road disebabkan aduan bunyi bising, baru-baru ini mendapat perhatian netizen warga Singapura.

Mereka menyuarakan kebimbangan mengenai hilangnya "semangat kampung" di sini.

Bulan lalu, keputusan Majlis Bandaran Sembawang untuk mengepung separuh daripada kolong blok di Blok 638 Woodlands Ring Road, untuk mengelak budak-budak sekolah daripada bermain di kolong blok mengundang kecaman daripada netizen.

Keputusan untuk menutup gelanggang bola sepak jalanan Blok 422 diumumkan pertama kalinya oleh naib pengerusi Majlis Bandaran East Coast dan Anggota Parlimen (AP) bagi GRC East Coast Tan Kiat How dua minggu lalu di halaman Facebook dan Instagramnya.

Dalam hantarannya pada 12 Dis, Encik Tan berkongsi maklum balas penduduk mengenai "kumpulan pengguna gelanggang bola sepak jalanan yang tidak bertimbang rasa yang membuat bising pada lewat malam". Mereka menambah bahawa ia menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk yang tinggal berdekatan, terutama sekali warga emas dan pekerja syif.

"Saya telah meminta polis meningkatkan rondaan mereka di kawasan ini," tambah AP yang bertanggungjawab ke atas divisyen Kampong Chai Chee yang menyelia kawasan berkenaan.

"Saya juga sudah meminta Majlis Bandaran East Coast untuk menutup gelanggang bola sepak jalanan Blok 422 buat sementara waktu dan mempertimbangkan untuk mengubah tujuan ruang itu digunakan bagi kegunaan masyarakat lain, yang boleh memanfaatkan lebih ramai penduduk yang tinggal berdekatan, seperti ruang senaman bagi warga emas.

Hantaran awal itu oleh Encik Tan tidak disedari ramai sehingga pada Selasa (26 Dis) apabila platform berita alternatif, Wake Up Singapore mengundang perhatian mengenai khabar penutupan itu di akaun Instagramnya.

Berkongsi gambar notis fizikal yang dikemukakan oleh Majlis Bandaran East Coast , akaun itu menulis: "Dan kami tertanya-tanya mengapa bola sepak kita tidak dapat (mencatat kemajuan) ...

"Tidak boleh bermain di kolong blok.. Tidak boleh bermain di gelanggang bola sepak jalanan. Main di mana?

Notis itu menyatakan bahawa semasa penutupan prasarana itu, para penduduk boleh menggunakan gelanggang dan kemudahan yang tersedia di Heartbeat@Bedok, sebuah pusat masyarakat bersepadu yang terletak berhampiran.

Tinjauan Mediacorp pada pagi Selasa mendapati bahawa pintu pagar gelanggang bola sepak jalanan itu dikunci dengan rantai, dengan beberapa notis diletakkan di pekarangan itu.


NETIZEN SIFATKAN IA SEBAGAI LANGKAH 'EKSTREM'

Sebagai respons kepada hantaran Instagram Wake Up Singapore, netizen mempersoalkan mengapa gelanggang itu tidak boleh sekadar dikunci selepas 10.00 malam sahaja.

Namun, menurut petanda di pintu pagar gelanggang bola sepak itu, ia dibuka untuk digunakan hanya dari 9.00 pagi hingga 7.00 malam. Para penduduk di sana juga menyatakan demikian dalam komen hantaran itu.

Encik Tan turut mengesahkan demikian dalam komen susulan di Facebook bahawa pintu pagar dikunci pada waktu tetap sambil menulis: "Kanak-kanak adalah kanak-kanak. Sebahagian daripada mereka memanjat masuk selepas beberapa jam.

"Malangnya sesetengah daripada mereka dimarahi oleh penduduk dan bertindak balas dengan menghamburkan kata-kata kesat dan merosakkan harta bersama."

Sebilangan netizen bagaimanapun masih menyifatkan langkah penutupan sementara itu sebagai "ekstrem", dengan yang lain menyarankan jika majlis bandar itu boleh saja meningkatkan langkah penguatkuasaan di kejiranan tersebut.

Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY
TIADA 'SEMANGAT KAMPUNG'

Ada yang menyuarakan rasa kesal dengan hilangnya "semangat kampung" di Singapura dan pertimbangan bagi jiran-jiran. Salah satu komen yang dilihat dalam hantaran Wake Up Singapore berkata: "Kadang-kadang, mendidik kedua-dua pihak akan memberi lebih banyak manfaat kepada masyarakat.

Dalam satu hantaran susulan di Facebook yang dimuat naiknya, Encik Tan "mengalu-alukan peluang untuk memperhalusi keputusan ini" dan majlis bandaran itu sedang "meneroka alternatif daripada menutup gelanggang itu".

Beliau menambah: "Apabila profil penduduk berubah, saya dapat membayangkan bahawa keperluan mereka mungkin berbeza sekarang, misalnya, (mereka) mahukan ruang antara generasi bagi mereka dan cucu mereka, peralatan senaman untuk warga emas, kebun masyarakat."
 
Mediacorp sudahpun menghubungi Encik Tan dan Majlis Bandaran East Coast untuk mengulas mengenai hal tersebut.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan