Skip to main content

Singapura

Penutupan Pasar Bukit Merah View dilanjutkan hingga 26 Jun

Penutupan Pusat Penjaja dan Pasar Bukit Merah View akan dilanjutkan selama 11 hari sehingga 26 Jun, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (15 Jun). Ia sebelum ini dijangka dibuka semula pada Rabu (16 Jun) setelah ditutup selama tiga hari menyusuli penemuan dua kes di sana.

Anggaran Waktu Membaca:
Penutupan Pasar Bukit Merah View dilanjutkan hingga 26 Jun

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 15 Jun 2021 11:26PM Dikemas Kini : 15 Jun 2021 11:28PM

SINGAPURA: Penutupan Pusat Penjaja dan Pasar Bukit Merah View akan dilanjutkan selama 11 hari sehingga 26 Jun, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (15 Jun). Ia sebelum ini dijangka dibuka semula pada Rabu (16 Jun) setelah ditutup selama tiga hari menyusuli penemuan dua kes di sana.

Dalam kemas kini berhubung situasi koronavirus di sini pada Selasa, MOH menyatakan satu kelompok jangkitan sebanyak 25 kes dikesan di tempat tersebut sejauh ini, dengan lagi sembilan kes ditambah kepada 16 kes yang dilaporkan pada Isnin (14 Jun).

"Dengan penemuan lebih banyak kes dalam kalangan kakitangan pusat penjaja dan pasar serta kontak rapat mereka yang membayangkan terdapat penularan berterusan secara meluas, penutupan Pusat Penjaja dan Pasar 115 Bukit Merah View akan dilanjutkan sehingga 26 Jun," menurut MOH.

MOH menyatakan kesemua kakitangan dan pemilik gerai yang bekerja di pasar itu dari 25 Mei sudah dikenakan kuarantin dan diuji bagi COVID-19.

"Bagi memutuskan sebarang rantaian jangkitan dalam masyarakat yang tidak dikesan dan berlaku secara meluas, kami melaksanakan operasi ujian khas pada 14 Jun ke atas semua kakitangan dan pemilik gerai yang bekerja di 116 Bukit Merah View mulai 25 Mei.

"Kami juga memperluaskan ujian COVID-19 secara percuma kepada orang awam yang mengunjungi kedai-kedai di 115 dan 116 Bukit Merah View antara 25 Mei dengan 12 Jun. Operasi ujian sedang dijalankan," menurut MOH.

Blok 115 merujuk kepada Pusat Penjaja dan Pasar Bukit Merah View manakala Blok 116 adalah blok berhampirannya.

Sesiapa saja yang mengunjungi kedua-dua blok itu pada tarikh tersebut dinasihatkan supaya memantau kesihatan mereka dengan rapi dan mengurangkan pergaulan sosial seberapa mungkin.

Secara berasingan, Pusat Penjaja Telok Blangah Drive akan ditutup dari Rabu hingga Jumaat bagi kerja-kerja pembersihan menyeluruh dan pembasmian kuman oleh Majlis Bandaran West Coast setelah satu kes COVID-19 dikesan di sana.

Dalam catatan Facebooknya pada Selasa, Anggota Parlimen GRC West Coast Rachel Ong berkata pusat penjaja itu akan ditutup selama tiga hari "sebagai langkah berjaga-jaga.".

MOH pada Isnin melaporkan bahawa seorang lelaki warga Singapura berusia 42 tahun - yang merupakan seorang penjaja di pusat penjaja itu - diuji positif COVID-19. Beliau terkait dengan Pusat Penjaja dan Pasar Bukit Merah View.

Pada Selasa, Cik Ong berkata Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Persatuan Pemilik Gerai dan Kedai Telok Blangah telah mendampingi para pemilik gerai untuk "membantu semua orang dari segi keprihatinan dan pertanyaan yang mereka ada".

Beliau juga menarik perhatian bahawa majlis bandaran itu sudah meletakkan notis pemberitahuan di pusat penjaja itu dan blok-blok berhampiran untuk memaklumkan para penduduk tentang penutupannya.

"Keselamatan para penduduk dan pemilik gerai adalah keutamaan kami dan kami akan terus berusaha untuk memastikan langkah berjaga-jaga sewajarnya dilaksanakan.

"Kami ingin menggalak semua penduduk dan teman-teman supaya memantau kesihatan masing-masing dan berjumpa doktor dengan segera jika berasa kurang sihat," kata Cik Ong.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita