Skip to main content

Singapura

Penutupan mengejut True Fitness, True Yoga: Anggota tuntut bayaran balik, dakwa kerugian lebih S$63,000

Penutupan mengejut True Fitness dan True Yoga pada Jumaat (11 Sep) menyebabkan ramai anggota terkejut, dengan sebahagian daripada mereka mahu mendapatkan semula bayaran bagi keanggotaan dan pakej yang belum digunakan.

Anggaran Waktu Membaca:
Penutupan mengejut True Fitness, True Yoga: Anggota tuntut bayaran balik, dakwa kerugian lebih S$63,000

Notis di luar gim True Fitness di pusat beli-belah Great World pada 11 September 2026 memaklumkan bahawa penyewaan premis itu sudah dilucutkan. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 11 Sep 2026 03:17PM Dikemas Kini : 11 Sep 2026 03:31PM
  • True Fitness dan True Yoga di Singapura ditutup secara mengejut pada 11 September, menyebabkan ramai anggota terjejas dan ingin menuntut bayaran balik keanggotaan serta pakej yang belum digunakan.
  • Penutupan berlaku kerana cabaran kewangan, persaingan daripada gim butik dan kemudahan lain, serta liabiliti syarikat menurut Kontafarma China Holdings.
  • Persatuan Pengguna Singapura (CASE) menerima 28 aduan dengan kerugian melebihi S$63,000, dan sedang berhubung dengan pengamal insolvensi untuk membantu anggota terjejas.
  • CASE menasihatkan pengguna supaya berhati-hati membuat bayaran pendahuluan besar dan akan terus memperkukuhkan perlindungan pengguna bersama pihak berkuasa serta industri.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Penutupan mengejut True Fitness dan True Yoga pada Jumaat (11 Sep) menyebabkan ramai anggota terkejut, dengan sebahagian daripada mereka mahu mendapatkan semula bayaran bagi keanggotaan dan pakej yang belum digunakan.

Beberapa anggota kelab itu yang ditemui CNA hadir ke cawangan masing-masing pada pagi Jumaat untuk mengesahkan penutupan itu.

Seorang anggota kelab berusia 43 tahun berkata beliau membayar lebih S$6,000 bagi keanggotaan "seumur hidup" lapan tahun lalu, yang memberinya akses ke kelab True Fitness di seluruh Asia.

Beliau, yang memulakan setiap pagi dengan bersenam di True Fitness, berkata penutupan itu membuatkannya berasa kehilangan kerana banyak persahabatan turut terjalin di gim tersebut.

Menurutnya, anggota cawangan Great World dimaklumkan sekitar sebulan lalu bahawa cawangan itu akan ditutup pada 13 September disebabkan isu penyewaan.

Namun, mereka menjangkakan masih boleh menggunakan cawangan True Fitness yang lain.

TRUE GROUP HADAPI CABARAN KEWANGAN

True Group mengendalikan 10 pusat kecergasan di Singapura menerusi tiga jenama - True Fitness, TFX dan Yoga Edition.

Syarikat induknya, Kontafarma China Holdings yang disenaraikan di Hong Kong, menyatakan pengarah True Fitness dan True Yoga di Singapura tidak dapat meneruskan perniagaan disebabkan liabiliti syarikat.

Antara cabaran yang disebut termasuk persaingan daripada gim butik, kemudahan senaman di kondominium dan kediaman privet serta peningkatan pilihan latihan digital.

Pusat-pusat kecergasan itu ditutup sebagai sebahagian daripada proses pembubaran, dengan pengamal insolvensi dilantik buat sementara waktu.

True Group ditubuhkan di Singapura pada 2004. Ia sebelum ini menarik diri dari Malaysia dan Thailand pada 2017 serta Taiwan pada 2025.

Di Great World pada sekitar 10.00 pagi, CNA mendapati wakil pemilik premis berada di dalam unit berkenaan tetapi tiada kakitangan gim di situ.

Notis di luar premis menyatakan pemilik premis, GWC Commercial, sudah mengambil semula unit tersebut dan penyewaannya dilucutkan.

Keadaan serupa dilihat di Millennia Walk, dengan notis di pintu masuk menyediakan alamat e-mel pengamal insolvensi sementara untuk dihubungi para anggota kelab.

ANGGOTA PERTIMBANG TUNTUT BAYARAN BALIK

Seorang lagi anggota, Rita Carolina, 45 tahun, berkata keanggotaan Yoga Edition selama tiga tahunnya akan tamat pada November.

Namun, beliau baru-baru ini membayar lebih S$1,000 bagi 50 sesi pilates dan baru menggunakan kira-kira separuh daripadanya.

Beliau kini mempertimbangkan untuk mendapatkan semula bayaran bagi sesi yang belum digunakan.

Pesara Eddy Koh, 65 tahun, pula membayar S$2,640 pada Jun bagi keanggotaan True Fitness selama dua tahun, dengan tambahan akses percuma selama setahun.

Encik Koh berkata beliau tetap akan cuba mendapatkan semula sebahagian wangnya walaupun tidak begitu yakin akan berjaya.

Beliau juga merancang memilih keanggotaan setahun atau bulanan bagi gim seterusnya.

CASE TERIMA 28 ADUAN, KERUGIAN LEBIH S$63,000

Persatuan Pengguna Singapura (CASE) menerima 28 aduan setakat Jumaat (11 Sep) daripada para anggota yang terjejas akibat penutupan tersebut.

Jumlah kerugian yang dilaporkan melebihi S$63,000 bagi keanggotaan, pakej dan khidmat yang belum digunakan.

Presiden CASE Melvin Yong berkata persatuan itu sudah menghubungi pengamal insolvensi sementara dan sedang mendapatkan penjelasan mengenai aturan bagi pengguna yang terjejas, termasuk maklumat yang diperlukan untuk mengemukakan tuntutan.

Pengguna yang masih mempunyai keanggotaan atau pakej prabayar yang belum digunakan dengan True Fitness atau True Yoga juga boleh mendapatkan bantuan CASE.

Encik Yong menasihatkan para pengguna supaya berhati-hati sebelum membuat bayaran pendahuluan yang besar bagi sesuatu khidmat dan mempertimbangkan aturan bayaran bagi tempoh lebih pendek jika boleh.

CASE juga akan terus bekerjasama dengan pemerintah dan industri untuk memperkukuhkan perlindungan pengguna daripada kerugian akibat bayaran pendahuluan.
Sumber : CNA/FD/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita