Skip to main content

Singapura

Penutupan Jetstar Asia 'mengecewakan', namun syarikat tawar banyak sokongan, kata kakitangan

Anggaran Waktu Membaca:
Penutupan Jetstar Asia 'mengecewakan', namun syarikat tawar banyak sokongan, kata kakitangan

Kaunter Jetstar di Lapangan Terbang Changi. (Gambar Fail: CNA)

SINGAPURA: Penutupan syarikat penerbangan tambang jimat Jetstar Asia memberi kejutan kepada kakitangan yang tidak menjangka langkah sebegitu "ekstrem” akan diambil.

Namun begitu, kakitangan yang ditemui Mediacorp pada lewat Khamis (12 Jun) memuji syarikat tersebut atas sokongan yang diberikan setakat ini, termasuk pakej pampasan dan bantuan mendapatkan pekerjaan baharu.

Lebih 500 orang akan diberhentikan apabila syarikat penerbangan itu menamatkan operasinya pada 31 Julai.

Kakitangan Jetstar Asia berkata mereka dimaklumkan melalui emel syarikat sekitar jam 7.00 pagi pada Rabu, lebih awal daripada pengumuman kepada orang ramai.

Seorang juruterbang yang baru berkhidmat kurang setahun berkata “ia agak mendadak” dan “tidak ada bayangan jelas” bahawa sesuatu seperti ini akan berlaku.

“Kami ada dengar syarikat ini tidak begitu menguntungkan, namun paling tidak, kami jangkakan mungkin tiada kenaikan gaji atau bonus, dan itu pun kami sanggup terima,” kata juruterbang tersebut yang enggan dinamakan.
Seorang anak kapal yang sudah bekerja selama kira-kira tiga tahun berkata berita itu “menyedihkan dan mengecewakan”.

“Saya harus menaiki penerbangan sejurus selepas berita tersebar. Perasaan bercampur-baur, namun sebagai anak kapal, kami perlu kekal profesional,” tambahnya.

Beliau berkata rakan sekerjanya sudah menjadi seperti keluarga.

“Pihak pengurusan hubungi kami secara individu dan tanya keadaan kami sebab kami masih perlu bekerja,” katanya.

Pramugara tersebut, yang juga tidak mahu dikenali, berkata sesi perhimpunan syarikat telah diadakan sejurus selepas pengumuman rasmi itu.

Mesyuarat fizikal berkenaan diadakan di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi, dengan pilihan untuk hadir secara maya.

Semasa sesi itu, pihak pengurusan membincangkan cabaran yang dihadapi syarikat, termasuk kos operasi dan harga bahan api.

Ketua syarikat induknya, Qantas Group, berkata syarikat penerbangan tambang jimat itu menghadapi peningkatan kos pembekal, caj lapangan terbang yang tinggi, dan persaingan sengit di rantau ini.

“MEREKA MENANGANI DENGAN AGAK BAIK”

Kakitangan akan menerima pampasan empat minggu gaji bagi setiap tahun perkhidmatan, berserta bonus untuk tahun kewangan sedia ada.

Mereka akan turut diberikan bayaran khas penghargaan serta akses berterusan kepada manfaat perjalanan kakitangan untuk tempoh mengikut tahun perkhidmatan mereka.

“Pakej pampasan itu menarik,” kata juruterbang tersebut kepada Mediacorp. “Malah, agak baik, terutamanya bagi mereka yang sudah lama dalam syarikat.”

Jetstar juga membantu kakitangan mendapatkan pekerjaan dalam sektor penerbangan lain.

“Untuk juruterbang, mereka membantu menghubungkan kami dengan jabatan sumber manusia (HR) syarikat penerbangan lain agar kami boleh berpindah ke sana, atau mereka datang untuk beri taklimat tentang peluang pekerjaan,” katanya.

Pramugara itu juga berkata: “Mereka berikan kami jalan lain, dan kebanyakan daripada kami mungkin akan pergi ke syarikat lain.

“Mereka tangani ini dengan agak baik, mereka cuba beri kami peluang lain,” tambahnya.

“Bukan sahaja cabang Jetstar lain, tetapi juga saluran ke syarikat penerbangan lain.”

Ini termasuk Singapore Airlines, Emirates dan Qatar Airways, selain Jetstar Airways dan Jetstar Japan, menurut kakitangan.

Ketua buruh, Ng Chee Meng, sebelum ini berkata Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), bersama Kesatuan Pekerja Manual dan Perdagangan Singapura (SMMWU), sedang membantu kakitangan yang terjejas dengan penempatan pekerjaan dan sokongan nasihat kerjaya, khususnya dalam sektor penerbangan dan aeroangkasa.

NTUC dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) akan berada di Terminal 1 Changi mulai minggu hadapan untuk menawarkan khidmat seperti kaunseling kerjaya, peningkatan kemahiran dan bantuan daya kerja, katanya.

“Kami sedang meneroka peluang bersama Singapore Airlines Group, sebuah syarikat berkesatuan, untuk menyesuaikan pekerja Jetstar Asia yang terjejas termasuk anak kapal dan kakitangan korporat dengan peranan yang sesuai,” kata Setiausaha Agung NTUC itu.

“Kluster Aeroangkasa dan Penerbangan NTUC akan bekerjasama dengan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan Changi Airport Group (CAG) untuk mengenal pasti peluang bagi kakitangan yang terjejas juga.”

Juruterbang itu memberitahu Mediacorp bahawa walaupun Jetstar Asia akan mula “mengurangkan operasi” pada Julai menjelang penutupan pada hujung bulan, syarikat kini masih mengekalkan kekerapan penerbangan sebanyak mungkin.

“Pihak pengurusan jelaskan ia tidak akan ganggu jadual penerbangan... mereka mahu kekalkan penerbangan,” katanya.

“Mereka tidak mahu batalkan secara mengejut bulan ini sebab ramai akan terjejas, memandangkan sekarang musim cuti.”

Jetstar Asia telah membawa kira-kira 2.3 juta penumpang di Lapangan Terbang Changi pada tahun 2024, merangkumi sekitar 3 peratus daripada jumlah trafik penumpang di lapangan terbang itu.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita