Penutupan jalan dan lanjutan khidmat pengangkutan awam sempena Grand Prix SG
Beberapa jalan raya di kawasan Marina Centre dan Padang akan ditutup sepanjang tempoh tujuh hari pada Oktober sempena Grand Prix Singapura.
Pelumba McLaren, Lando Norris, mendahului saingan pada permulaan Formula 1 Grand Prix Singapura pada 22 September 2024. (Gambar fail: CNA/Raydza Rahman)
Penutupan jalan itu akan berlangsung dari 1 hingga 7 Oktober, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Jumaat (29 Ogos).
Perlumbaan F1 akan diadakan dari 3 hingga 5 Oktober, dan seperti edisi terdahulu, penutupan jalan diperlukan bagi memudahkan kerja-kerja pemasangan dan pemindahan prasarana perlumbaan, menurut LTA dalam kenyataan medianya.
Penganjur perlumbaan sudah membuat persiapan bagi mengurangkan gangguan lalu lintas, tambah pihak berkuasa.
Ia juga turut menasihatkan orang ramai serta pemegang tiket F1 supaya menggunakan pengangkutan awam sepanjang tempoh tersebut.
PENUTUPAN JALAN
Jalan raya yang ditutup bagi tujuan perlumbaan termasuk: St Andrew's Road, Esplanade Drive, Raffles Avenue, Raffles Boulevard, Republic Boulevard dan Bayfront Avenue.
Jalan-jalan yang terjejas akan ditutup mulai pukul 12.01 pagi pada 1 Oktober dan akan dibuka semula secara sepenuhnya pada pukul 5.30 pagi, 7 Oktober, menurut LTA.
“Bagi membolehkan akses lalu lintas dengan secepat mungkin, penganjur perlumbaan akan mengguna pakai pendekatan berfasa dan membuka semula jalan yang terjejas secara berperingkat selepas perlumbaan,” tambahnya.
Beberapa laluan jalan raya juga akan dibuka pada waktu-waktu tertentu bagi melancarkan lalu lintas semasa waktu puncak pagi dan malam.
Ini akan dilaksanakan pada:
Namun, bas dan kenderaan dengan nombor plat W, X dan Y tidak dibenarkan menggunakan laluan tersebut, menurut LTA.
Teksi dan motosikal boleh menggunakan akses satu lorong tersebut pada setiap masa kecuali ketika waktu perlumbaan F1, tambahnya.
Pegawai polis tambahan akan dikerahkan sepanjang tempoh penutupan jalan untuk mengawal lalu lintas dan memberikan bantuan kepada orang ramai.
Papan tanda arah juga akan dipasang di kawasan sekitar untuk memandu arah para pemandu. Tempat letak kereta di Suntec City, Millenia Walk dan Marina Square akan terus dibuka kepada orang awam.
PILIHAN BAGI PENGANGKUTAN AWAM
Perkhidmatan MRT juga akan dilanjutkan pada hari perlumbaan. MRT terakhir di Laluan Utara-Selatan dan Laluan Timur-Barat akan berlepas dari stesen MRT City Hall pada pukul 12.30 pagi pada 3 Oktobebr, dan pada pukul 1.oo pagi bagi dua hari berikutnya.
“Masa operasi bagi laluan MRT lain, kecuali perkhidmatan Lapangan Terbang Changi, juga akan dilanjutkan,” menurut LTA.
Waktu operasi bagi perkhidmatan bas tertentu yang dihubungkan dengan stesen MRT juga akan dilanjutkan.
“Orang ramai serta pemegang tiket F1 amat digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam untuk ke kawasan Marina Centre dan Padang dari 1 hingga 7 Oktober,” menurut LTA.
Teksi dan kereta sewa persendirian juga tersedia sebagai salah satu daripada pilihan alternatif bagi perjalanan, tambahnya.
Orang ramai boleh merujuk kepada Panduan Akses Jalan dan Pengangkutan Awam yang tersedia online untuk maklumat lanjut berhubung cara untuk merancang perjalanan mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.