Penutupan Akaun Khas selaras dengan tujuan dan matlamat CPF: DPM Lawrence Wong
Langkah-langkah yang diumumkan semasa Belanjawan 2024 yang menjejas pencarum Tabung Simpanan Pekerja (CPF) "adalah selaras dengan tujuan dan matlamat CPF", kata Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Rabu malam (21 Feb).
Encik Wong, yang juga adalah Timbalan Perdana Menteri, mengulas tentang langkah untuk menutup Akaun Khas CPF dan reaksi para netizen terhadap pengumuman itu.
Mereka yang berusia 55 tahun ke atas tidak lagi mempunyai Akaun Khas mulai 2025, namun mereka boleh memasukkan lebih banyak wang ke dalam Akaun Persaraan.
Akaun Biasa menyimpan dana yang boleh dikeluarkan bagi bayaran perumahan dan ia meraih kadar faedah jangka pendek, manakala Akaun Khas adalah bagi tujuan jangka panjang justeru ia mempunyai kadar faedah lebih tinggi.
"Itu adalah prinsipnya," jelas Encik Wong dalam rancangan CNA 'Ask the Finance Minister', iaitu perbincangan panel pasca Belanjawan yang menyaksikan beliau menjawab soalan daripada empat anggota panel.
"Tentu sekali, pada usia 55 tahun, anda juga mempunyai Akaun Persaraan. Jadi daripada mempunyai Akaun Khas dan Akaun Persaraan, kami menyepadukannya menjadi satu akaun, iaitu Akaun Persaraan bagi jangka panjang, bagi keperluan persaraan anda."
Di bawah langkah itu, para pencarum CPF yang mempunyai lebihan dana dalam Akaun Khas boleh memindahkannya ke Akaun Persaraan - "sehingga Jumlah Persaraan yang Dipertingkatkan dan tetap mendapat kadar faedah sama seperti Akaun Khas", kata Encik Wong.
"Sebilangan besar rakyat Singapura boleh berbuat demikian. Dan jika mereka berbuat demikian, mereka akan mendapat lebih banyak dana dalam Akaun Persaraan. Dan akhir sekali apabila mereka bersara, mereka akan menerima bayaran CPF lebih tinggi bagi jangka hayat mereka."
MAJIKAN HARUS BANTU PEKERJA PERTENGAHAN KERJAYA PERTAJAM KEMAHIRAN, TIMBA KEMAHIRAN BAHARU
Encik Wong juga menyentuh tentang bagaimana para majikan perlu membantu para pekerja di pertengahan kerjaya, khususnya mereka yang berusia 40 tahun ke atas untuk meningkatkan kemahiran mereka.
Golongan warga Singapura ini akan mendapat tokokan S$4,000 kepada Kredit SkillFuture yang boleh digunakan untuk mengikuti kursus-kursus terpilih bagi meningkatkan daya pekerjaan mereka.
Beliau akur bahawa sesetengah syarikat mungkin tidak mahu memberikan para pekerja mereka waktu rehat untuk menceburi kursus-kursus tersebut, namun berkata pemerintah akan terus bekerja rapat dengan industri-industri dengan kesatuan.
Ini termasuk mendampingi syarikat-syarikat secara peribadi dan menubuhkan jawatankuasa latihan syarikat, iaitu antara sokongan tambahan bagi para pekerja.
Walaupun sesetengah syarikat memerlukan lebih banyak masa sebelum ia dapat melaksanakan usulan itu, pasaran pekerjaan akan "menyesuaikan diri kerana para individu akan mengetahui di mana terdapat majikan yang memahami dan mereka lebih cenderung beralih ke arah majikan tersebut", kata Encik Wong.
"Dan mereka yang tidak berubah akan merasakan tekanan, diharapkan melalui persaingan dalam pasaran, dapat mempertingkat amalan HR (sumber manusia) dan memperbaiki amalan pekerjaan dan menyokong para kakitangan dalam menjalani latihan."
MENAMBAH BEKALAN PRASEKOLAH
Encik Wong juga akur tentang perlunya lebih banyak pusat prasekolah dan memberi jaminan kepada ahli panel bahawa pemerintah sedang berusaha untuk menambah bekalan prasekolah.
"Terdapat sedikit kekurangan di sesetengah estet, terutama sekali estet-estet baharu dengan ramai pasangan muda. Dan dengan itu kita perlu membangunkan lebih banyak pusat. Kami sedang berbuat demikian, tetapi ia mengambil masa. Kami benar-benar sedang menambah bekalan," katanya.
Beliau menarik perhatian kepada prasekolah "berskala besar" di Punggol dan Woodlands dan berkata Pemerintah menyasarkan untuk membina lebih banyak pusat sedemikian.
Namun salah satu cabarannya adalah untuk mendapatkan jumlah guru yang mencukupi - dari guru prasekolah hingga penjaga di pusat jagaan bayi, kata Encik Wong.
"Kami juga sedang meningkatkan latihan dan diharapkan selepas sekian lama kami akan dapat memenuhi jurang itu. Namun ia sesuatu yang kami maklum dan sedang lakukan sedaya upaya untuk memenuhi permintaan yang ada."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.