Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penutupan Akaun Khas CPF & peluasan Skim Perlindungan Rumah bawa manfaat jangka panjang: Zaqy

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dua perubahan pada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang diluluskan parlimen pada Isnin (14 Okt) boleh membawa manfaat jangka panjang kepada penduduk.

Dalam satu wawancara bersama wartawan Nazirah Jamzuri, Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad berkongsi antara manfaat dan tujuan utama di sebalik langkah tersebut.

Dua perubahan:

1) Mulai separuh kedua Januari 2025, Akaun Khas (SA) CPF akan ditutup bagi mereka yang berusia 55 tahun ke atas.

2) Mulai pertengahan 2025, Skim Perlindungan Rumah (HPS) akan diperluaskan untuk juga beri perlindungan bagi mereka yang sudah ada masalah kesihatan.
 
Encik Zaqy dalam wawancara bersama wartawan Nazirah Jamzuri.
HPS ialah skim insurans yang melindungi pencarum CPF dan anggota keluarga mereka daripada kehilangan flat HDB sekiranya salah seorang anggota keluarga meninggal dunia, menghidapi penyakit yang boleh membawa kematian atau ketidakupayaan kekal.

Buat masa ini, hanya pencarum yang tidak mempunyai masalah kesihatan akan membayar premium kadar standard.

Namun ini menyebabkan permohonan sekitar 1,400 pemohon HPS ditolak setiap tahun kerana keadaan kesihatan sedia ada.

Encik Zaqy Mohamad berharap lebih ramai masyarakat Melayu/Islam yang layak akan menyertai skim itu.

"Dari segi perlindungan Alhamdulillah, lebih ramai daripada kita akan dapat dirangkumi oleh skim HPS ini dan kita berharap lebih ramai rakyat kita daripada masyarakat Melayu/Islam kita yang mempunyai kesakitan pra-wujud ini akan memasuki skim ini," kongsi Encik Zaqy kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Walaupun mereka membayar premium yang mungkin lebih tinggi, namun ini satu premium yang masih boleh dikatakan lebih rendah daripada apa yang dalam industri. Jadi kita berharap akan dapat melindungi lebih ramai keluarga yang mungkin terjejas jika seseorang pemilik dalam rumah itu mengalami kematian, kesakitan ataupun kecederaan parah," tambah beliau.

Bagaimanapun, untuk bilangan minoriti dengan keadaan kesihatan ketara seperti mereka yang sedang mendapat rawatan untuk penyakit barah, mereka tidak boleh menyertai HPS.

Dalam pada itu, selaras dengan amalan industri, anggota CPF perlu bayar premium yang lebih tinggi sejajar dengan kemungkinan tuntutan yang lebih tinggi.

Ia juga sejajar dengan amalan industri.

"Walaupun kita telah memberi laluan bagi mereka yang mempunyai penyakit seperti angin ahmar ataupun kesakitan jantung yang tertentu, namun kita tidak dapat memasukkan mereka yang mempunyai penyakit barah misalnya, yang memerlukan rawatan jangka panjang. Jadi ini adalah pertimbangan yang kita lakukan untuk memastikan bahawa tahap premium kita dapat diakses oleh semua," ujar Encik Zaqy.

AKAUN KHAS DITUTUP BUAT MEREKA BERUSIA 55 TAHUN KE ATAS BERMULA 2025

Berhubung penutupan Akaun Khas (SA), Encik Zaqy menjelaskan faedah yang lebih tinggi boleh dinikmati para pencarum menerusi Akuan Persaraan (RA) mereka.

Sebelum ditutup, baki jumlah dalam SA akan dipindahkan ke RA hingga Jumlah Penuh Persaraan, supaya pencarum masih dapat menikmati kadar faedah lebih tinggi pada lebih 4 peratus.

"Apabila kita mengemas kini Jumlah Persaraan kita, kita akan menggunakan had baharu tahun hadapan iaitu S$106,500 pada peringkat Jumlah Persaraan Asas (BRS) di mana apa yang dikumpulkan sehingga hari itu akan dikumpulkan dalam Akaun Persaraan dan jika seseorang itu mempunyai lebih daripada itu, ia boleh membolehkan mereka menyimpan dalam OA. Jadi ini menjadi lebih 'streamline' atau kemas, di mana seseorang itu dapat mengumpulkan Akaun Persaraan yang lebih tinggi dan pada masa yang sama, lebih untuk jangka masa yang panjang bagi pihak mereka ini memberi bayaran bulanan yang lebih tinggi sepanjang hayat bagi CPF mereka," jelas Encik Zaqy.

Jumlah baki SA akan dipindahkan ke RA dan dihadkan kepada Jumlah Penuh Persaraan. Jika ia melebihi had yang ditetapkan, ia akan dipindahkan ke OA.

Kedua-dua SA dan RA buat masa ini meraih faedah 4.14 peratus setiap tahun manakala kadar faedah OA pula, 2.5 peratus setiap tahun.
"Ini memberi mereka bayaran bulanan yang lebih tinggi sepanjang hayat dan ini adalah skim CPF yang telah kita masukkan melalui CPF LIFE dan kita ingin menggalakkan ahli CPF kita untuk mengumpulkan lebih banyak jika boleh sehingga ke Jumlah Persaraan yang Dipertingkatkan iaitu empat kali ganda wang CPF hari ini.

"Jadi bagi 99 peratus daripada rakyat Singapura, saya rasa mereka tidak terjejas oleh kerana ramai di antara mereka mungkin dalam lingkungan ini dan pada masa yang sama, bagi mereka yang mempunyai lebih daripada BRS, wang yang disimpan akan dikumpulkan di OA," kata Encik Zaqy.

Beliau juga menggalakkan lebih ramai pencarum CPF untuk menokok lebih banyak ke dalam RA supaya dapat kadar faedah dan bayaran bulanan lebih tinggi apabila mereka bersara sekaligus raih manfaat untuk jangka masa panjang.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan