Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penuntut warga asing dipenjara, curi beramai-ramai di Uniqlo guna kaunter layan diri

Anggaran Waktu Membaca:
Penuntut warga asing dipenjara, curi beramai-ramai di Uniqlo guna kaunter layan diri

(Gambar: Facebook/Uniqlo Singapore)

SINGAPURA: Sekumpulan penuntut warga asing yang berkongsi apartmen, berkomplot untuk mencuri pakaian dari Uniqlo, dengan mencabut tag harga dan cip Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) sebelum pergi ke kaunter layan diri.

Empat daripada mereka merupakan warga India berusia 20 hingga 26 tahun, dijatuhkan hukuman penjara antara 40 dengan 65 hari pada Rabu (22 Nov).

Mereka berdepan pelbagai tuduhan, sama ada bagi kesalahan mencuri beramai-ramai atau cuba mencuri dengan niat yang sama.

Shihora Ridham Mukeshbhai, 20 tahun, dijatuhkan hukuman penjara 65 hari; Hun Smit Ashokbhai, 21 tahun, dikenakan hukuman penjara 45 hari; Kuvadiya Milan Ghansyambhai, 26 tahun, dipenjara 40 hari; dan Chauhan Ruchi Sanjaykumar seorang wanita 25 tahun dijatuhkan hukuman penjara 50 hari.

Mahkamah diberitahu bahawa keempat-empat individu itu merupakan sebahagian daripada kumpulan enam rakyat India, yang belajar di sekolah berbeza di Singapura menggunakan pas pelajar.

Mereka tinggal bersama di sebuah apartmen. Beberapa lagi individu lain yang terlibat, sudah meninggalkan Singapura sebelum siasatan dimulakan. Kedai Uniqlo di Orchard Central menjadi ssaran mereka pada Oktober.

Beberapa anggota kumpulan itu akan memilih pakaian untuk dicuri, dengan yang lainnya mencabut tag harga.

Tag harga tersebut mengandungi cip RFID.

Jika tag harga dicabut, mesin pembayaran di kedai tidak akan mengesan pakaian itu, dan kumpulan tersebut boleh mencurinya tanpa menghidupkan penggera keselamatan ketika meninggalkan kedai.

Seorang pengawal keselamatan di kedai itu terperasan gelagat dua orang pencuri itu, yang tergesa-gesa menyimpan pakaian ke dalam beg tote.

Apabila diminta untuk menunjukkan resit sebagai bukti pembayaran, salah seorang daripada mereka berbohong bahawa resit itu ada bersama rakan di tempat lain, lalu meninggalkan tempat itu.

Seorang pembantu jualan membuat laporan polis pada hari yang sama mengenai percubaan mencuri itu. Polis meneliti rakaman televisyen litar tertutup di kedai berkenaan dan pasti pencuri. Mereka ditahan pada 30 Okt.

Siasatan mendapati kumpulan kedua telah cuba untuk mencuri 72 helai pakaian bernilai kira-kira S$2,300.

Pihak pendakwa berkata kesalahan tersebut dirancang, dan meskipun kesalahan mencuri mudah untuk dilakukan, ia sukar untuk dikesan dan memberkas pesalah.

Dua tertuduh Brahmbhatt Komal Chetankumar dan Christian Arpita Arvindbhai, tidak akan mengaku bersalah pada Khamis (23 Nov).

Mereka akan kembali ke mahkamah bagi persidangan sebelum perbicaraan lewat bulan ini.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan