Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penuntut Politeknik Nanyang, Muhammad Shahrul Haziq bertekad wakili SG dalam e-sukan berbasikal di Sukan SEA 2029

Anggaran Waktu Membaca:
Penuntut Politeknik Nanyang, Muhammad Shahrul Haziq bertekad wakili SG dalam e-sukan berbasikal di Sukan SEA 2029

(Gambar: Instagram/shahrulhzq)

SINGAPURA: Persekutuan Berbasikal Singapura (SCF) mengumumkan pada Jumaat (17 Mei) beberapa pertandingan e-sukan berbasikal.

Dua pusat latihan akan ditubuhkan untuk menyediakan kemudahan bagi para peminat sukan tersebut.

Menurut SCF, e-sukan berbasikal mula popular sejak pandemik COVID-19, dengan ramai orang terpaksa mencari alternatif lain untuk sukan tersebut.

Meskipun ramai bekerja dari rumah ketika itu, mereka tetap dapat berinteraksi menerusi alam siber dan dalam persekitaran yang lebih selamat.

Virtual Cycling SG dan HQ Foundry akan menyediakan kemudahan serba canggih, di samping menganjurkan pertandingan dan kegiatan e-sukan berbasikal.

Bermula 31 Mei 2024, Virtual Cycling SG akan menganjurkan Siri Kejohanan Individu e-Sukan Berbasikal, dengan peringkat akhir akan diadakan pada 21 September 2024.

HQ Foundry pula akan melancarkan Siri Super Pasukan e-Sukan Berbasikal Kebangsaan, yang dijadual bermula pada 11 Jun 2024.
(Gambar: Virtual Cycling SG)
Menurut Encik Shayne Bannan, Pengarah Prestasi Tinggi Persekutuan Berbasikal Singapura (SCF), inisiatif-inisiatif tersebut berfungsi sebagai wadah untuk menjadikan e-sukan berbasikal salah satu sukan yang disertakan dalam Sukan SEA 2029 di Singapura.

"E-sukan berbasikal mungkin salah satu sukan yang akan dipertandingkan pada Sukan Olimpik 2032. Ia satu usaha jangka panjang, sambil mempromosikan sukan ini dan melibatkan pelbagai individu yang diharap akan menggalakkan lebih ramai untuk berbasikal secara maya.
 
(Gambar: Virtual Cycling SG)
"Ia adalah peluang yang sangat baik untuk menganjurkan sukan ini di dalam persekitaran tertutup dan diadakan secara maya. Selain itu, inisiatif ini juga dapat menyediakan persekitaran yang lebih selamat untuk mereka yang bimbang atau takut untuk mengayuh basikal di jalan raya," tambah Encik Bannan.

Apabila ditanya sama ada sebarang kerjasama dimeterai dengan sekolah-sekolah tempatan, Encik Bannan berkata SCF sedang mengadakan perbincangan dengan Sekolah Sukan Singapura untuk menubuhkan sebuah pusat kecemerlangan e-sukan.

Dengan usaha tersebut, Encik Bannan berharap lebih ramai atlit e-sukan berbasikal dapat mewakili Singapura dalam pertandingan antarabangsa pada masa akan datang.
ATLIT MUDA BERHARAP DAPAT WAKILI PASUKAN E-SUKAN KEBANGSAAN PERTAMA

Bagi penuntut Politeknik Nanyang, Muhammad Shahrul Haziq, 20 tahun, minat dalam sukan berbasikal mula berputik sejak tujuh tahun lalu.
(Gambar: Instagram/shahrulhzq)
"Disebabkan keluarga saya gemar bersenam, saya terpengaruh dengan abang saya yang sering berbasikal", kata penuntut tahun terakhir kursus grafik itu.

Shahrul merupakan salah seorang anggota pasukan Burgeon Racing, sebuah kumpulan lumba basikal tempatan, yang sudah menganggotai pasukan pembangunan kebangsaan selama tiga tahun.
 
Muhammad Shahrul Haziq, bersama pasukan Virtual Cycling SG (Gambar; Instagram/virtualcyclingsg)
Dia juga merupakan anggota kumpulan pengurusan media Virtual Cycling SG.

"Antara tanggungjawab saya adalah untuk mempromosikan e-sukan berbasikal kepada orang ramai kerana ini adalah masa depan sukan berbasikal di Singapura."

Menurut Shahrul, e-sukan berbasikal pastinya lebih selamat berbanding berbasikal di jalan raya.

Tambahnya lagi, ramai dalam kalangan peminat sukan tersebut hanya terlibat secara kompetitif, atau setakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

"Objektif utama kami adalah untuk memperkenalkan sukan ini, dan akhirnya menubuhkan pasukan e-sukan yang akan mewakili Singapura di Sukan SEA 2029," tambah Shahrul, dengan Singapura bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2029.

Bagi maklumat lanjut tentang pertandingan dan kegiatan yang dianjurkan, anda boleh melungsuri laman Virtual Cycling SG dan HQ Foundry.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan