Penuntut politeknik & ITE akan dapat lebih banyak pendedahan industri, kurikulum fleksibel

Gambar fail Politeknik Singapura.
SINGAPURA: Penuntut politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) boleh mengharapkan untuk mendapat lebih banyak pendedahan industri dan mengikuti kurikulum yang lebih fleksibel mulai tahun ini.
Ini adalah beberapa saranan yang diumumkan hari ini (7 Jan) oleh jawatankuasa yang menyemak peluang-peluang dan laluan dalam pendidikan gunaan.
Jawatankuasa itu, yang dipimpin oleh Menteri Kedua Pendidikan Dr Maliki Osman, mahu mengumpulkan pendapat daripada lebih 2,000 pihak berkepentingan semasa semakan tersebut, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dalam satu kenyataan media.
Institut-institut tersebut akan melaksanakan saranan-saranan tersebut secara bertahap-tahap mulai tahun akademik 2022, tambah MOE.
Enam saranan tersebut meliputi tiga aspek - iaitu mempertingkat kesediaan pelajar dari segi kerjaya dan membina daya tahan bagi ekonomi masa depan, menawarkan lebih banyak fleksibiliti dan peluang serta membangunkan sistem sokongan yang lebih kukuh dan bersepadu, menurut MOE lagi.
"Dengan saranan-saranan tersebut, para pelajar politeknik dan ITE boleh menantikan perjalanan pendidikan gunaan yang lebih memuaskan dan lulus dengan kemahiran-kemahiran lebih tajam serta relevan kepada industri dan kemahiran hidup yang lebih luas dan lebih bersedia untuk merebut peluang-peluang pada masa hadapan," kata Dr Maliki hari ini.
"Para penuntut juga boleh mengharapkan pengalaman pelajar yang dipertingkat, dengan sistem sokongan yang lebih kukuh dan lebih holistik."
Program-program NITEC dan NITEC Lanjutan ITE akan diperkemaskan kepada program tiga tahun, bermula dengan lapan kursus ITE daripada penuntut 2022, menurut MOE.
Seperti yang diumumkan pada April 2021, para penuntut di bawah kurikulum itu akan mengikuti kursus selama tiga tahun bagi mendapatkan kelayakan NITEC Lanjutan - bukan empat tahun.
Jawatankuasa berkenaan juga menyarankan agar meluaskan peluang bagi pendedahan industri, yang merupakan "ciri utama" pendidikan gunaan, menurut kementerian itu lagi.
PENGALAMAN INDUSTRI
Di bawah struktur kurikulum yang dipertingkat, para penuntut akan melalui dua latihan amali dengan industri berkaitan, merangkumi pengalaman bekerja selama tiga bulan pada tahun kedua dan satu lagi pada tahun ketiga mereka selama enam bulan.
"ITE juga akan melibatkan para majikan untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam melatih para penuntut dengan melantik pembimbing yang lebih berpengalaman di tempat kerja," menurut kenyataan media tersebut lagi.
Politeknik-politeknik pula akan meneroka peluang pekerjaan pemerhati dan bekerja dalam tempoh yang singkat sebelum masuk tahun ketiga ataupun semasa cuti sekolah, tambah MOE.
Ini merupakan tambahan kepada latihan amali yang diwajibkan ke atas para penuntut tahun ketga bagi pendedahan industri.
"Politeknik-politeknik dan ITE sedia maklum pentingnya kerjasama industri yang kukuh dan akan terus mendampingi rakan-rakan industri untuk melakar peluang-peluang pendedahan tempat kerja yang bermutu untuk para penuntut," menurut MOE dalam kenyataan media tersebut.
Menerusi perbincangan kumpulan berfokus, MOE juga menerima maklum balas bahawa para pelajar akan meraih manfaat daripada lebih banyak peluang untuk menggunakan kemahiran mereka dalam konteks sebenar, menurut kementerian tersebut semasa satu taklimat.
KURIKULUM YANG FLEKSIBEL
Politeknik-politeknik juga akan meneroka kurikulum yang lebih fleksibel untuk para pelajar yang dipilih, seperti mereka yang lebih lemah dari segi akademik dan "yang akan mendapat manfaat jika pembelajaran mereka dapat dilanjutkan melebihi tiga tahun".
Ini bermakna mereka boleh mengikuti jumlah modul yang sama seperti penuntut lain, tetapi dibahagikan ke lebih banyak penggal, sehingga lima tahun.
Terdapat juga para pelajar yang harus mengambil cuti ketidakhadiran daripada sekolah untuk meneruskan usaha niaga mereka atau disebabkan minat dalam bidang sukan, menurut MOE.
"Pada masa hadapan, dengan kelonggaran ini, mereka kemudian akan dapat meneruskan modul kerja yang lebih ringan agar lebih penekanan dapat ditumpukan kepada mutu dan nilai pekerjaan," tambah MOE.
Setakat ini, sekitar tujuh peratus penuntut politeknik mengambil masa melebihi tempoh yang ditetapkan untuk menamatkan pengajian.
Yuran dibayar mengikut penggal. Tiada perubahan kepada yuran tersebut dan juga subsidi pemerintah yang diterima para pelajar, tambah MOE.
Selepas para penuntut menghabiskan enam penggal dan meneruskan dengan beban modul yang lebih ringan, yuran sekolah akan disesuaikan, menurut MOE.
SISTEM SOKONGAN
Kurikulum Kemahiran Hidup di politeknik-politeknik dan ITE akan disemak semula, menyusuli saranan jawatankuasa agar ia diperkukuhkan.
"Di dalam dunia yang bertambah dinamik dan saling berhubung ini, penting untuk para penuntut dilengkapkan dengan kemahiran bukan teknikal untuk mengharungi kerjaya dan kehidupan mereka," tambah MOE di taklimat tersebut.
Walaupun institut-institut itu sudah mempunyai pelbagai program untuk para pelajar dari segi celik digital dan kewangan, maklum balas daripada sesi-sesi pendampingan menunjukkan bahawa program-program tersebut boleh diperluaskan untuk meliputi aspek-aspek seperti daya bingkas dan kesedaran diri, menurut MOE lagi.
Politeknik-politeknik dan ITE akan mengkaji bagaimana untuk mempertingkatkan penyelarasan sokongan dan kebajikan supaya para pelajar dapat menerima apa yang diperlukan "tepat pada masanya dan dengan lebih berkesan".
Ini termasuk penyelarasan dengan kakitangan akademik, kaunselor dan pejabat bantuan kewangan, serta rakan-rakan masyarakat luaran, menurut MOE.
Latihan bagi para pembimbing peribadi di politeknik-politeknik dan ITE akan dimulakan untuk mempertingkatkan sokongan kebajikan buat para penuntut.
Oleh itu, guru-guru tersebut akan dilengkapi kemahiran untuk mengenal pasti gejala-gejala awal yang membimbangkan dan memberi sokongan dengan cepat.
Institut-institut tersebut akan terus mencari jalan untuk menyediakan lebih banyak waktu khas untuk guru-guru berkomunikasi dengan pelajar, tambah MOE lagi dalam kenyataan media tersebut.
Atas saranan jawatankuasa itu, bantuan kerjaya selepas tamat pengajian juga akan dipertingkatkan sedang para penuntut menjejakkan kaki ke dalam tenaga kerja atau meneruskan pengajian mereka.
Institut-institut itu juga akan mempertingkat usaha mendampingi para lulusan yang akan meraih manfaat daripada bantuan tersebut, termasuk mereka yang sudah selesai menjalani Perkhidmatan Negara (NS).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.