Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penuntut politeknik dipenjara 16 bulan, serang budak lelaki secara seksual

Qusyairi Matin Norhasrin mengaku bersalah atas tuduhan menyerang secara seksual budak lelaki berusia 11 tahun yang dikenali menerusi Carousell.

Anggaran Waktu Membaca:
Penuntut politeknik dipenjara 16 bulan, serang  budak lelaki  secara seksual

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

SINGAPURA: Seorang pelajar politeknik pada Selasa (23 Ogos) dijatuhi hukuman penjara 16 bulan kerana menyerang secara seksual seorang budak lelaki yang dikenalinya di wadah Carousell.

Qusyairi Matin Norhasrin, 22 tahun,mengaku bersalah atas satu tuduhan menyerang secara seksual seorang budak bawah umur. Tiga lagi tuduhan dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.

Identiti mangsa itu dilindungi di bawah perintah mahkamah. Budak lelaki itu berusia 11 tahun ketika kesalahan itu dilakukan.

Mahkamah diberitahu bahawa pada 2021, mangsa memuat naik catatan di Carousell bagi mencari rakan-rakan untuk bermain permainan video.

Qusyairi memberi respons dengan menggunakan identiti palsu. Mereka saling bertukar nombor telefon, memberitahu usia mereka dan mula berhubung melalui WhatsApp.

Lewat bulan itu, mereka bertemu untuk berbasikal. Selepas pertemuan itu, Qusyairi bertanya mangsa tentang kecenderungan seksualnya.

Qusyairi memberitahu mangsa dia pernah melakukan aksi seks ke atas rakan-rakannya dan bertanya jika budak lelaki itu mahu melakukan kegiatan serupa.

Selepas perbualan itu, mangsa bersetuju untuk bertemu Qusyairi bagi tujuan seks.

Tahun lalu, mereka bertemu di tandas lelaki di Kelab Masyarakat Bishan, memasuki salah satu bilik tandas dan mengunci pintu.

Mangsa bertanya Qusyairi bagaimana dia mahu lakukan perbuatan seksual itu. Qusyairi kemudian menyerang budak itu secara seksual.

Semasa serangan itu, mangsa berasa tidak selesa tetapi tidak menolak lelaki itu.

Selepas kejadian itu, Qusyairi dan mangsa terus berhubungan melalui WhatsApp.

Qusyairi juga meminta budak itu mengirimkan gambar-gambar dan video lucah dirinya.

Mangsa rasa tidak selesa dengan permintaan tersebut lalu memberitahu gurunya tentang apa yang berlaku. Guru itu memaklumkan ibu bapanya dan aduan polis turut dibuat.

Timbalan Pendakwa Raya Selene Yap meminta hukuman penjara 18 hingga 21 bulan.

Peguam bela Ashwin Ganapathy meminta mahkamah supaya mempertimbangkan hukuman probesen, atau penjara 13 hingga 15 bulan jika hukuman penjara dijatuhkan.

Beliau berhujah bahawa anak guamnya adalah pesalah muda dengan potensi dipulihkan. Anak guamnya itu juga menyesali dan malu atas perbuatannya.

Hakim Daerah Kow Keng Siong mendapati probesen tidak sesuai kerana kesalahan itu adalah serius, dan jurang usia mereka juga "besar".

Qusyairi boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan didenda atau sebat atas kesalahan itu.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan