Penuntut NUS dipenjara kerana cabul kehormatan, hendap wanita
Penuntut NUS dijatuhi hukuman penjara dan sebat
NUS. (Gambar: Google Maps)
SINGAPURA: Seorang penuntut Universiti Nasional Singapura (NUS) dijatuhi hukuman penjara dan sebat hari ini (30 Jul), atas kesalahan menghendap seorang wanita di sebuah bilik mandi hostel dan mencabuli kehormatan rakan penuntutnya di sebuah makmal komputer di kampus NUS.
Nama pesalah berusia 26 tahun itu tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah. Dia melakukan kesalahan pertama pada 25 Nov, 2015.
Dia diberi amaran bersyarat berhubung insiden itu pada Februari 2017 tetapi selang beberapa bulan sahaja, dia mencabuli kehormatan seorang lagi wanita.
Dia mengaku bersalah pada Isnin (30 Jul) atas satu dakwaan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan dan satu lagi dakwaan melakukan satu gerak isyarat bertujuan menghina kehormatan wanita. Satu lagi tuduhan dipertimbangkan bagi hukuman yang dijatuhkan.
Hakim bersetuju dengan pihak pendakwa untuk menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan dan tiga sebatan rotan dengan mengatakan bahawa kesalahan berulang yang dilakukan dalam tempoh yang singkat adalah faktor-faktor yang memberatkan hukuman.
Bagi kesalahan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, disebat atau mana-mana gabungan hukuman tersebut.
Kesalahan menghina kehormatan wanita boleh menyebabkan dia dipenjara sehingga setahun dan didenda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.